Roti jala antara hidangan pagi dan petang kegemaran ramai. Sekarang dah ada pula roti jala jelita dengan pelbagai warna.
Tapi sebelum buat yang itu kena tahu asas buat roti jala yang cantik iaitu cara bancuhan atau adunan tepungnya.
Bagi yang dah biasa buat mungkin sudah tahu sukatan atau bancuhan tepung yang sesuai, tapi buat yang baru mencuba atau amatur, boleh ikut tip mudah yang dikongsi oleh Huda Ayob ini.
Katanya untuk pastikan adunan roti jala dah cukup likat untuk ‘dijalakan’ dan hasilnya menjadi, boleh lihat lubang lusaran waktu kisar atau blend bancuhan.
Tip pastikan bancuhan roti cukup likat, tengok lubang pusaran
Saya cuba share ilmu mudah buat roti jala. Bagi pembuat roti jala amatur macma saya, setiap kali nak tau adunan tepung dah cukup likat untuk dijalakan cuma tengok “lubang pusaran”.
Pastikan lubang pusaran sebesar jari kelingking
Kalau besar lubang pusaran, tambah tepung sedikit sampai lubang sebesar “jari kelingking”.
Lubang pusaran sebesar jari kelingking ini tanda bancuhan dah sempurna dan likat untuk dijalakan.
Jika lubang pusaran kecil dari jari kelingking, tambah air sikit. Insya-Allah hasil menjala elok menjadi.
Cara buat roti jala
Disertakan juga resipi yang digunakan untuk 25 biji roti jala
Bahan-bahan
1 biji telur
2-3 sudu besar santan/susu segar
2 cawan tepung gandum
1 cubit pewarna kuning/kunyit
1 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
Air secukupnya
Cara membuat
1. Masukkan semua bahan dalam blender.
2. Kemudian masukkan air sampai tenggelam tepung (dalam 2 cawan air/ikut cawan sukatan tepung)
3. Kacau untuk sebatikan guna sudip panjang.
4. Kemudian boleh kisar. Waktu inilah kena perhatikan lubang pusaran.
5. Dah dapat bancuhan yang sesuai masukkan dalam botol 5 corong untuk dapatkan hasil jala yang halus.
Tip ini juga boleh digunakan sewaktu membuat bancuhan kuih ketayap. Cuma lubang pusaran perlu besar (tambah air) supaya senang untuk ratakan dalam pan.
Selamat mencuba.
Sumber: Huda Ayob