Tut Pokok Cara Paling Mudah Supaya Pokok Cepat Berbuah & Lebat Hasilnya

Share

Tut pokok adalah salah satu cara supaya pokok buah yang ditanam cepat menghasilkan buah dan lebat hasilnya. Selain itu ini juga cara untuk memastikan kita dapat pokok buah yang elok sama dengan pokok induk yang kita miliki.

Proses tut pokok buah ini juga boleh kita lakukan sendiri dengan mengikut langkah yang betul. Perkongsian dari Pyan Sempoy ini boleh dijadikan panduan untuk mereka yang mahu melakukan sendiri tut pokok buah yang sedia ada di rumah.

Beliau menunjukkan cara tut untuk pokok limau purut, dan kaedah yang sama boleh dilakukan pada pokok buat lain sama ada pokok jambu air, jambu batu, mangga, rambutan, lemon, tin dan sebagainya.

Tut pokok cara mudah

Sesiapa pun boleh buat insya-Allah. Saya tunjukkan step by step cara tut pokok limau purut dan ia juga boleh dibuat untuk lain-lain jenis pokok. Lain orang mungkin lain caranya, ini cara saya sebagai perkongsian.

Apa yang perlu ada?

  • Pokok yang mahu ditut
    Dalam tutorial ini saya tut pokok limau purut. Pastikan kalau pokok buah kena pilih pokok yg sudah atau sedang berbuah. Insya-Allah nanti hasilnya pokok tut akan cepat berbuah. Pilih ranting yang sihat dan bercabang elok.
  • Media tut
    Saya guna campuran cocoapeat 1 bahagian, sekam bakar + tanah hitam sawit masing-masing setengah bahagian. Boleh saja guna media yang dah sedia ada, cocoapeat saja pun boleh, sekam bakar atau tanah saja pun boleh. Ada peatmoss lagi bagus.Media perlu dilembapkan siap-siap. Boleh guna air biasa & lebih bagus kalau guna larutan penggalak akar (exotic/b1 dll) atau yg serbuk boleh gaul sekali dengan media.
  • Plastik & tali atau cable tie – untuk membungkus media tut (bunjut) dan juga mengikat tut di ranting.
  • Pisau yang tajam & bersih (steril)
  • Penggalak akar kalau ada. Tak kisah nak guna yang cair atau serbuk. Boleh juga guna barang-barang dari dapur contoh bawang merah, madu, serbuk kayu manis dan lain lain.
  • Aluminium foil atau plastik hitam. Tak wajib ada pun, sekadar utk tutup tut di lapisan luar. Tujuan supaya media tut kekal lembab tak mudah kering. Kalau gelap tak kena cahaya lebih mudah berakar.

Cara tut

1. Pilih ranting yang sihat & bercabang elok.

2. Buat kelaran cincin lebih kurang 1-2 inci bergantung saiz batang. Buang kulit & kikis lendir (kambium) sampai kering.

3. Kalau ada penggalak akar, sapu pada bahagian atas kelaran, tempat yang akan dibungkus

4. Sediakan media tut, lembapkan siap-siap.

5. Bungkus media guna plastik & ikat ketat. Istilah popular ini panggil bunjut tut.

6. Belah tengah bunjut tut begini.

7. Tangkupkan ke bahagian yang disapu penggalak akar tadi & ikat ketat. Nak mudah guna cable tie.

8. Akhir sekali balut dengan aluminium foil atau plastik hitam. Siap sudah proses tut. Tunggu lebih kurang sebulan insya-Allah berakar dan sedia untuk dipotong & ditanam.

Cara tanam tut

Apabila akar sudah penuh dalam bunjut tut, boleh potong di bahagian bawah akar tersebut. Pindahkan tut ke dalam bekas bersisi tanah campuran.

Pemindahan perlu dilakukan berhati-hati. Walau pun sudah keluar banyak akar tidak bermakna akar itu kuat. Jika tidak dilakukan berhati-hati akar turut boleh tercedera dan pokok tut lambat membesar. Ini kerana pokok terpaksa menumpukan nutrien dan tenaga bagi membaiki akar pokok yang rosak

Elak menekan pangkal tut apabila selesai ditanam, siram pula hanya keliling tut saja. Lebih elok pindah dulu tut ke dalam polibeg sebelum ke tanah agar akar anak pokok tut sempat stabil dan tumbuh dengan subur.

INFO

Proses tut tak semestinya berjaya. Kena sabar, ada pokok yg mudah & cepat berakar contoh pokok tin, limau kasturi, lemon, jambu air, jambu batu. Pokok limau purut agak susah untuk berakar & ambil masa lebih lama.

Begitu juga durian, rambutan, mangga (pokok-pokok besar) lagi lama proses nak berakar. Ada yang 1 bulan dah boleh potong & tanam, ada yang sampai 3-4 bulan baru ada akar. Jadi kena sabar.

Semoga bermanfaat

Sumber:

Artikel berkaitan: Kepala Ikan Bilis Pun Boleh Buat Baja, Berkesan Lebatkan Pokok Cili & Pokok Bunga

IKLAN