
Kulit telur, kulit bawang dan teh. Tiga bahan ini memang selalu kita gunakan untuk masakan dan minuman. Selepas guna biasanya kita terus buang. Walhal bahan ini sangat bermanfaat untuk tanaman kalau diolah semula.
Dikongsi oleh Alin Lin beliau menunjukkan cara untuk menggunakan semula bahan ini menjadi baja yang berguna untuk tanaman.
Serbuk teh
Serbuk teh yang telah kita guna boleh dikumpul setiap hari. Kemudian jemur teh ini hingga kering. Selepas itu simpan dalam bekas.
Serbuk teh ini bertindak sebagai kompos atau juga sebagai agen mengekalkan kelembapan tanah. Cara penggunaan gaul saja dengan tanah untuk bercucuk tanam atau tabur saja di atas batas atau dalam pasu.
Kulit telur
Kulit telur yang sudah digunakan ini basuh bersih dan jemur. Selepas kering kisar halus lalu simpan dalam bekas.
Serbuk kulit telur ini membekalkan kalsium yang membantu pokok membina sel-selnya. Cara penggunaan ia boleh ditabur saja di pangkal pokok.
Kulit bawang
Lepas kupas bawang, kulitnya kita simpan. Untuk dijadikan baja jemur kulit bawang ini sampai betul-betul kering macam keropok. Selepas itu kisar kering dan simpan dalam bekas.
Kulit bawang ini boleh digaul dengan tanah. Ia akan membantu pokok jadi lebih subur, menggalakkan pertumbuhan pucur baru dan mempercepat proses bunga, buah serta membunuh hama serangga.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Alin Lin
Kalau Tanam Pokok Limau Purut Tapi Daun & Buah Tak Lebat, Guna Teknik Tarik Ranting Ini

Pokok limau purut ini memang ramai yang tanam di kawasan rumah. Banyak guna untuk masakan dan kesihatan baik daun atau buahnya.
Tapi selalu terjadi pokok yang ditanam tak rimbun dan tak banyak buahnya. Bagi yang dah bertahun-tahun tanam tapi masih lagi begini keadaannya boleh praktikkan tip yang dikongsi oleh Mohd Amri.
Tipnya cukup mudah iaitu guna teknik tarik dan lentur ranting.
Cara mudah lebatkan daun dan buah pokok limau purut
Kali ini saya berkongsi cara saya lebatkan pokok limau purut menggunakan kaedah atau petua yang dikongsikan oleh “orang lama”.
Memang menjadi jadi pokok lebat daun juga buahnya. Tapi kena ingat, ini adalah satu teknik untuk melebatkan pokok sahaja. Perkara asas seperti baja, cahaya, booster, siraman tetap kena on.
Caranya;
1. Buat ring guna kawat atau dawai besi sekeliling pasu.
2. Ambil tali, panjang tak kisah berapa pun.
3. Cari mana-mana ranting lalu ikat dengan tali, tapi jangan sampai lukakan ranting.
4. Tarik tali yang diikat pada ranting dan sangkut tali pada dawai yang dibuat pada pasu tadi.
5. Ranting akan jadi dalam melengkung. Bila melengkung pucuk baru dan dahan akan keluar.
Ini yang dipraktikkan untuk pokok limau purut yang berusia 3 tahun namun penuh buah serta rimbu daunnya.
Boleh juga klik SINI tonton video untuk lebih jelas.
Selamat mencuba.
Sumber: Mohd Amri.
9 Kegunaan Garam Epsom Pada Tanaman. Boleh Maniskan Buah & Rawat Pokok Bermasalah

Jika bercucuk tanam di rumah selain baja, garam Epsom ini wajib ada kerana ada banyak kegunaan atau manfaat untuk pokok. Garam ini selalu digunakan di spa kecantikan tapi zat magnesium dalam garam ini juga sangat berguna untuk pokok sayur atau buah.
Antaranya menjadikan hasil pokok buah lebih manis, benih cepat bercambah, rawat daun pokok sayur kuning, kerinting, mengelak serangan perosak dan banyak lagi.
Untuk cara penggunaan garam ini dan sukatannya boleh ikut panduan yang dikongsi oleh Puan Liyana Poad
Garam Epsom kena ada kalau bercucuk tanam
Manfaat dan cara penggunaan
1. Meningkatkan Percambahan Benih
Magnesium membantu percambahan benih dan membantu menguatkan dinding sel benih.
Cara penggunaan: 1 cawan garam per 100 kaki persegi tanah atau campuran 1 – 2 sudu gaul dengan tanah semaian
2. Meningkatkan Penyerapan Nutrien (Akar Pokok)
Banyak baja komersial menambah magnesium untuk membantu akar tumbuhan mengambil nutrien penting (nitrogen, fosforus, sulfur.) Bagi yang menggunakan bahan-bahan organik untuk memberi ‘makan’ kepada pokok, menambah garam Epsom kepada tanah akan meningkatkan lagi penyerapan secara semula jadi.
Cara penggunaan:1 sudu 1 pokok tabur pada tanah sekeliling pokok
3. Mengelak Transplant Shock (pokok terkejut selepas alih pasu atau ke tanah)
Sesekali selepas alih anak semaian atau pokok-pokok dari bekas kecil ke bekas besar atau dari pasu ke tanah, pokok akan layu (terkejut). Ini kerana akar pokok mungkin tercedera ketika proses pengalihan tersebut. Bagi mengelak pokok layu selepas dialih boleh gunakan garam Epsom.
Cara penggunaan: Tabur Epsom salt ke sekeliling pokok selepas alih dan tutup semula dengan lapisan tanah.
4. Rawat Daun Kekuningan
Tumbuh-tumbuhan yang tidak mendapat magnesium yang cukup boleh dikenal pasti dengan daun yang menguning. Ini kerana magnesium merupakan komponen penting dalam pengeluaran klorofil. Cuba percikan Epsom garam sekitar tanaman anda untuk mendapat dedaun yang sihat.
Cara penggunaan: Tabur/ siram lebih kurang 1 sudu besar setiap pokok sebulan sekali akan memberi manfaat kepada tumbuh-tumbuhan di taman sayur-sayuran anda, serta mana-mana pokok, pokok renek, bunga dan rumput anda akan hijau semula.
Kadar : Siraman 1 sudu + 4 liter air 2 minggu sekali.
5. Elak Daun kerinting Untuk Pokok Cili
Mencegah masalah daun kerinting/leaf curling dengan Epsom salt. Daun kerinting disebabkan oleh kekurangan magnesium- dalam tumbuh-tumbuhan. Sekali lagi, tambah garam Epsom untuk tanah di sekeliling pangkal pokok yang sakit.
Secara alternatif, untuk penyerapan yang lebih cepat anda boleh mencampurkan 2 sudu besar Epsom garam dalam segelen air dan siram terus kepada daun.
Cara penggunaan: 2 sudu + 4 liter air, siram pada daun sebulan sekali
6. Mengelak Perosak Tanaman
Garam Epsom boleh digunakan untuk elak siput, ulat bulu, bena, boleh juga untuk mengelak jentik jentik di dalam bekas hidroponik. Perlu diingat bahawa garam Epsom larut dengan mudah larut dalam air, hujan akan mencairkan garam ini.
Cara penggunaan: Tabur pada tempat yang bermasaalah.
7. Memaniskan Buah
Tabur garam Epsom pada pokok buah-buahan, pokok kacang, sayuran, dan anggur menggunakan kaedah sama dan kuantiti yang dinyatakan di atas untuk meningkatkan tahap klorofil dalam sel tumbuhan membolehkan pokok menghasilkan hasil buah yang manis. Boleh juga diguna pada pokok tomato.
Cara penggunaan: Kadar siraman 1 sudu + 4 liter air 2 minggu sekali. Tabur 1 sudu setiap pokok 1 bulan sekali.
8. Melebatkan Buah Cili, Buah lebih besar, Lebih Pedas
Pokok cili perlu diberi magnesium setiap dua minggu untuk mencapai hasil yang lebih tinggi daripada buah-buahan yang lebih besar.
Cara penggunaan: Taburkan 1 sudu garam Epsom untuk setiap kaki persegi 2 minggu sekali
9. Pokok Rose Lebih Cantik, Bunga Lebih Besar
Guna garam Epsom untuk pokok lebih cantik, bunga lebih besar dan lebat dan daun lebih gelap. Guna ketika awal penanaman ketika nampak pertumbuhan baru dan ketika bunga berkembang.
Semoga bermanfaat
Nak beli garam Epsom boleh klik sini https://invle.co/cleuqub
Tip Tanam Pokok Kantan Supaya Tak Putus Berbunga & Subur. Kena Selalu Tabur Serbuk Ini

Bunga kantan antara yang selalu kita guna dalam masakan. Harga pun boleh tahan mahalnya. Jadi kalau kerap menggunakannya elok juga tanam sendiri di sekitar rumah.
Bagi yang nak cuba tanam pokok kantan ini boleh ikut tip yang dikongsi oleh Ibrisam Wossali. Cara yang dipraktikkan ini katanya bukan saja membolehkan pokok kantan yang ditanam hidup subur tapi juga tak pernah putus berbunga.
Tip pokok kantan yang ditanam tak putus berbunga
Pokok kantan saya ni memang rajin berbunga. Tak pernah putus berbunga. Seawal umurnya hampir setahun lepas tanam dah belajar berbunga.
Saya dapat tunjuk ajar dan petua menanam pokok kantan ni dari seorang rakan berkebun.
- Mengikut pengalamannya nak tanam pokok kantan kena kawasan 100% kena cahaya matahari.
- Sediakan lubang tanaman dengan tanah campuran baja organik. Biarkan seminggu lebih.
- Selepas seminggu lebih, boleh tanam rizom kantan ataupun anak pokok kantan yang dah ditanam dalam polibeg terlebih dahulu.
- Selepas tanam, buat sungkupan di sekeliling perdu pokok. Bertujuan mengekalkan kelembapan tanah. Siram dua kali sehari.
- Bila pokok dah besar sikit beri baja NPK hijau ataupun baja kopi. Waktu ini kena selalu tabur serbuk kulit telur. Serbuk kulit telur ini menjadi baja kepada pokok kantan.
Alhamdulillah saya ikut caranya seperti yang diajar. Setelah hampir setahun pokok kantan saya berbunga buat pertama kalinya.
Sampai sekarang dah hampir 3 tahun pokok kantan saya tak pernah putus berbunga. Itulah rahsianya saya selalu tabur serbuk kulit telur dan beri baja NPK biru.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Ibrisam Wossali
Jika nak beli rizom kantan atau anak pokok kantan boleh klik SINI