
“Maaf tak sanggup cakap…” Pelawak Amir Raja Lawak dilaporkan mengalami jangkitan paru-paru sehingga terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan.
Perkhabaran mengenai keadaan kesihatan Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 37, dikongsikan oleh pelakon Lando Zawawi menerusi media sosial pada Selasa (10 November 2026).
Menurut Lando, beliau mendapat keizinan daripada ibu Amir, Puan Nizan, untuk berkongsi keadaan kesihatan anaknya selain memohon orang ramai mendoakan kesembuhan pelawak berkenaan.
Amir Raja Lawak Alami Jangkitan Paru-Paru, Ada Asma Sejak Kecil
Lando memaklumkan Amir mengalami jangkitan paru-paru dan mempunyai sejarah penyakit asma sejak kecil.
“Kini beliau sedang menunggu giliran di ICU untuk proses seterusnya. Maaf tak sanggup cakap tapi beliau terkena jangkitan paru-paru.
“Asma memang daripada kecil. Semoga Allah SWT masih beri peluang kita bersamanya,” katanya.
Dalam perkongsian sama, pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood itu turut mengingatkan individu yang masih mempunyai hutang dengan Amir supaya segera melunaskan tanggungjawab masing-masing.
“Sekadar peringatan buat pihak yang masih berhutang pada dia, eloklah selesaikan atau mohon maaf padanya,” ujarnya.

Terkini, Amir Sudah Masuk ICU Namun Tidak Ditidurkan
Menurut laporan Sinar Harian pada Rabu (11 November 2026), Amir sudah dimasukkan ke ICU HRPZ II kira-kira jam 11.30 malam Selasa.
Pembantu peribadinya, Muhammad Faris Che Ali memaklumkan keadaan Amir kini stabil, namun masih memerlukan alat bantuan pernafasan.
Difahamkan, kesihatan Amir mula merosot sejak beberapa hari lalu. Beliau sepatutnya mendapatkan rawatan lebih awal, namun menangguhkannya kerana mempunyai komitmen kerja sebagai pengacara majlis di Terengganu.
Selesai tugasan tersebut, Amir terus mendapatkan rawatan di hospital pada Jumaat lalu.
Dalam perkembangan terbaharu, isterinya, Nur Intan Syafinaz turut tampil menjelaskan bahawa suaminya sebenarnya tidak ditidurkan seperti dakwaan yang tular sebelum ini.
“Sekarang Amir tengah berehat, jadi dia tak boleh bercakap sangat.
“Dia bukan ditidurkan, cuma bergantung kepada alat bantuan pernafasan buat masa ini,” jelasnya kepada mStar.
Pernah Raih Tempat Ketiga Raja Lawak
Untuk rekod, Amir mula mencipta nama menerusi program realiti Raja Lawak musim ketiga pada 2009 dan berjaya meraih tempat ketiga.
Selain aktif dalam dunia hiburan, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu turut menjalankan beberapa perniagaan termasuk ayam goreng rangup APFC, jualan air jagung dan pakaian terpakai.
Perkhabaran mengenai keadaan kesihatannya turut mengundang kebimbangan dalam kalangan peminat dan rakan industri.
Semoga Amir diberikan kesembuhan, dipermudahkan segala urusan rawatan dan kembali sihat seperti sediakala.
Sumber: Sinar Harian, mStar dan perkongsian Facebook

sekarang!
