Berita

Bekas Pelajar Menang Saman RM452,000, Mahkamah Putuskan Sekolah Cuai Dalam Kelas PJK

Share

Seorang bekas pelajar sebuah sekolah menengah di Segamat berjaya memperoleh ganti rugi melebihi RM452,000 selepas Mahkamah Tinggi Muar memutuskan pihak sekolah cuai dalam menjalankan tanggungjawab penyeliaan sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan kekal pada mata dan otak ketika mengikuti kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK).

Keputusan itu bukan sahaja memberi keadilan kepada mangsa, malah menjadi peringatan bahawa aspek keselamatan pelajar sepanjang aktiviti sekolah tidak boleh dipandang ringan. Setiap guru dan pihak pentadbiran mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk memastikan aktiviti yang dijalankan berada dalam keadaan selamat serta diawasi dengan sewajarnya.

Insiden Berlaku Ketika Kelas PJK

Memetik laporan The Star, Muhammad Syakir Irfan Syed Ali, kini berusia 21 tahun, memfailkan saman terhadap sekolah berkenaan susulan insiden yang berlaku ketika dia masih berada di Tingkatan Dua di SMK Chaah pada 17 September 2019.

Oleh kerana mangsa masih bawah umur ketika kejadian, saman itu difailkan melalui bapanya, Syed Ali Syed Hussein yang bertindak sebagai wakil litigasi.

Menurut fakta kes, kelas PJK berlangsung antara jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi. Guru yang bertugas bersama seorang lagi guru terlebih dahulu mengasingkan pelajar mengikut jantina sebelum menjalankan aktiviti frisbee.

Selepas aktiviti tersebut selesai, Muhammad Syakir mengambil raket badminton milik sekolah untuk bermain secara santai bersama seorang rakan sekelas.

Namun, dalam kejadian yang tidak diduga, batang besi raket badminton itu tiba-tiba tercabut daripada pemegang sebelum terkena mata kiri mangsa.

Cedera Parah Hingga Alami Kecacatan Kekal

Insiden tersebut mengakibatkan Muhammad Syakir mengalami kecederaan yang sangat serius.

Antara kecederaan dialami termasuk kecederaan tembus pada mata kiri, keretakan pada tengkorak serta pendarahan akut pada otak.

Lebih membimbangkan, kecederaan itu turut menyebabkan mangsa mengalami kecacatan klinikal kekal yang menjejaskan penglihatan serta fungsi neurologinya.

Kesan tersebut bukan sahaja memberi impak kepada kehidupan harian mangsa, malah berpotensi menjejaskan masa depan dari segi pendidikan, pekerjaan dan kualiti hidup.

Mahkamah Putuskan Pihak Sekolah Cuai

Dalam saman berkenaan, defendan yang dinamakan ialah guru aktiviti sekolah, Nur Badruzzanan Mohamad; pengetua sekolah, Maziah Mohammad; Ketua Pengarah Pendidikan serta Kerajaan Malaysia.

Hakim Mahkamah Tinggi Muar, Kalyana Kumar, selepas meneliti semua keterangan dan bukti yang dikemukakan, memutuskan bahawa kesemua tuntutan berpihak kepada plaintif..

Foto hiasan

Mahkamah menetapkan liabiliti sebanyak 100 peratus ke atas defendan kerana gagal menyediakan penyeliaan yang mencukupi, munasabah dan berkesan sepanjang aktiviti berlangsung.

Menurut penghakiman, ketika kejadian berlaku, pelajar berada di bawah jagaan, kawalan dan tanggungjawab operasi guru yang bertugas. Oleh itu, pihak sekolah mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keselamatan pelajar sentiasa terpelihara.

Ganti Rugi Lebih RM452,000

Mahkamah turut memerintahkan pembayaran ganti rugi kepada plaintif yang merangkumi:

  • Ganti rugi am: RM400,000
  • Ganti rugi khas: RM12,809
  • Kos guaman: RM40,000

Secara keseluruhan, jumlah pampasan yang diterima mangsa melebihi RM452,000.

Kes ini menjadi satu peringatan penting bahawa keselamatan pelajar bukan sekadar tanggungjawab moral, malah merupakan tanggungjawab undang-undang yang perlu dipikul oleh semua pihak yang mengendalikan aktiviti di sekolah.

Published by
MFI