Kalau di rumah ada menanam pokok kunyit dan subur membiak sampai tak tahu nak buat apa, boleh ikut perkongsian Akmal Al Yahya ini yang berkongsi cara menghasilkan serbuk kunyit.
Dah tanam buat sendiri pulak serbuk kunyit untuk penyediaan makanan keluarga memang sihat sungguh. Tiada pengawet atau pewarna. Kalau nak cuba boleh ikut panduan yang dikongsi.
Cara tuai kunyit sampai jadi serbuk kunyit
1. Ini hasil tuaian kunyit. Kalau tak salah, ada juga dalam 8-12 bulan baru sesuai di tuai hasilnya.
Perlu diingatkan, jika tuan/puan suka menuai daun kunyit maka rizom yang terhasil akan lebih kecil berbanding dengan pokok kunyit yang tidak selalu dituai daunnya.
Rizom yang telah mengeluarkan daun kami keratkan dan asingkan untuk disemai semula bagi tanaman akan datang.
2. Ini pula proses untuk membuat serbuk kunyit. Pertama, bersihkan rizom kunyit dari tanah yang melekat, sebersih bersihnya. Kami gunakan berus gigi tau, licin semuanya di kerjakan.
3. Langkah seterusnya adalah rizom kunyit tadi direbus/dikukus dalam jangka masa 45 minit. Kemudian dipotong halus-halus bagi memudahkan proses jemuran kelak.
Mengapa perlu rebus/kukus? Jika kita tanam sendiri maka kita tahu baja yang kita gunakan. Proses rebusan atau kukus ini bertujuan untuk melucutkan segala macam jenis kandungan baja yang tertinggal.
Jika baja kimia mungkin tak berapa kita geli. Tetapi kami khuatir jika baja tersebut daripada baja urea, baja tinja ayam, kambing atau lembu yang diproses masih ada pada rizom.
Jika tuan/puan nak skip bab rebus/kukus ini boleh sahaja. Terpulang lah ye.
4. Kunyit yang telah dipotong tadi, dijemur pula. Elakkan dari jemur terus di bawah sinaran matahari, paling baik di bawah pokok atau garaj kereta.
5. Setelah 5 hari, ini lah rupa kunyit yang telah dikeringkan. Masukkan ke dalam pengisar, kisar sehingga betul-betul lumat.
6. Tapiskan dan ayak kunyit yang telah dikisarkan tadi. Serbuk kunyit yang terhasil adalah serbuk kunyit paling baik digunakan kerana tiada sebarang pengawet malah tiada sebarang pewarna tambahan juga pada serbuk kunyit ini.
Simpan serbuk kunyit tadi di dalam balang yang kedap udara, jika ada balang kaca jauh lebih baik dari balang plastik.
7. Ini pula rizom yang berdaun tadi. Kami lebih suka semai dahulu sementara menunggu batas untuk sedia untuk digunakan.
Semoga bermanfaat & selamat mencuba
Sumber: Akmal Al Yahya