Antara barang paling kotor sekali di dapur kita selain span basuh pinggan adalah tuala dapur.
Semua kotoran kita lap menggunakan tuala ini dan ada yang tidak dibasuh dalam tempoh yang lama hingga menimbulkan bau busuk.
Bila dah lama dalam keadaan begini basuh pun tetap akan ada baunya. Itu belum lagi kotoran yang melekat.
Jadi macam mana cara terbaik untuk membasuh tuala dapur ini supaya kotorannya terhapus dan bau busuknya hilang.
Bahan diperlukan:
- Air suam
- Cuka
- Baking soda
Cara basuh:
- Rendam tuala dapur yang kotor dalam air suam bersama dengan cuka.
- Taburkan juga 1 sudu besar baking soda untuk menyahkan baunya. Rendam paling kurang 15 minit.
- Sekiranya masukkan sekali peluntur jika tuala putih.
- Kemudian bilas menggunakan air panas.
- Perah dan terus jemur, jangan biarkan ia terperap.
TIP
- Sebaiknya basuh tuala dapur selepas digunakan beberapa hari. Jangan tunggu ia berbau.
- Biasakan menjemur tuala dapur selepas digunakan untuk memastikan ia kering. Tuala dapur yang lembap akan memerangkap kuman dan juga menyebabkan bau busuk.
Cara Buat Rendang Ayam Hancur, Lagi Sedap Makan Dengan Ketupat & Lemang
Ada yang cakap rendang ayam hancur itu sebenarnya rendam tak menjadi. Tapi tak juga ada ramai yang suka rendang sebegini.
Sebenarnya ia sangat sedap dimakan dengan ketupat dan lemang. Senang saja isi ayam dicarik.
Bagi yang nak cuba boleh ikut resepi rendang ayam hancur yang dikongsi oleh Fateema Azzahra. Resipi ini untuk satu ekor ayam.
Resipi rendang ayam hancur
Bahan kisar :
Bawang besar 3-4 labu
Bawang putih 5 ulas
Cili hidup merah & hijau 5 tangkai (ni rahsia saya)
Lengkuas, halia, kunyit hidup 1 inci
Serai 2 batang diracik
Buah keras 2 biji
Bahan lain :
Rempah 3 beradik (kayu manis, pelaga, lawang)
Cili kisar 2 senduk
Serbuk kari ayam
Kerisik segar 3 packet kecil atau 300gram
Santan segar 1 cawan
Gula kabong /nisan
Garam, serbuk hilal (perasa)
Daun kayangan (daun kunyit) diracik haluss
Daun pandan
Cara membuat:
1. Tumis rempah 3 beradik, daun pandan dan masuk bahan kisar, tumis sampai bau wangi. Wajib garing dan naik bau wangi.
2. Kemudian masukkan cili kisar dan rempah kari yang telah dicampur air. Tumis dalam api sederhana sehingga pecah minyak. Biar bagi pecah minyak bebetul. Perlahankan api.
3. Selepas itu masukkan kerisik, ayam seekor dan santan. Masak sampai pekat. Pastikan api perlahan.
4. Masak rendang kena sabar. Masuk garam, gula kabong, serbuk perasa. Ayam bahagian isi akan auto hancur. Bahagian bertulang akan kekal cantik.
5. Bila dah dapat tekstur pekat boleh off api dan tabur daun kunyit. Nak letak daun limau pun boleh tapi saya tak letak.
6. Serius sedap di tekak bagi yang suka versi hancur. Lengkap ada rasa manis, pedas, masin dan lemak dari gula kabong. Hancur di sini bukan hancur lebur ya, hancur-hancur manja gitu.
Selamat mencuba.
Sumber: Fateema Azzahra
Masalah Siling Atau Dinding ‘Leaking’ Di Kediaman Bertingkat, Unit Atas Kena Bertanggungjawab, Bayar Kos
Bila duduk di kediaman bertingkat sama ada apartment atau kondo masalah siling bocor atau dinding leaking boleh menyebabkan konflik dengan jiran atas dan sebelah.
Mana tidaknya kediaman kita dah cantik di deko tapi dek kerana paip bocor jiran atas atau sebelah, habis bertompok dinding atau siling. Apa juga jiran yang tak mengaku puncanya dari kediaman mereka.
Jadi apa nak buat bila berdepan dengan masalah begini? Peguam Hartanah Syazwan Mohd Jafri memberi panduan untuk anda yang dalam situasi ini.
ADUHAI TAK CUKUP DENGAN SILING BOCOR, DINDING PUN SAMA LEAKING. PENING!
Ketahui hak anda dalam situasi ini
Jika anda menetap di rumah strata seperti kondo/apartment, pasti PERNAH mengalami atau dengar kisah orang lain yang mengalami masalah SILING BOCOR atau DINDING BERAIR.
Namun siapa yang patut dipertanggungjawabkan, anda sendiri atau pemilik unit atas/tepi? Jadi apakah hak anda di bawah undang-undang? Perkongsian singkat hari ini.
Unit atas akan bertanggungjawab
HAK ANDA DI BAWAH AKTA PENGURUSAN STRATA (AKTA 757)
Seksyen 142 Akta 757 menyebut – Unit atas akan dipertanggungjawabkan untuk membayar kos membaiki kebocoran melainkan ada bukti yang menunjukkan sebaliknya. Ini maksudnya bukanlah unit atas secara automatik akan bersalah, tetapi kebarangkaliannya amat lah tinggi.
HAK ANDA DI BAWAH PERATURAN PENGURUSAN STRATA 2017 (PUA 107)
Peraturan 55 PUA 107 menyebut – Kebocoran boleh diertikan sebagai apa-apa kebasahan, kelembapan atau kesan penembusan air pada siling. Cukup sekadar kelihatan tompokan air dan tidak perlu ditunggu sehingga menjadi teruk sampai air menitik-nitik jatuh.
APAKAH TINDAKAN YANG PATUT ANDA LAKUKAN DALAM SITUASI INI?
Pertamanya, pastikan kita lapor segera kepada pihak pengurusan. Seterusnya siasatan akan dijalankan untuk cari puncanya.
Sekiranya pemilik tidak beri kerjasama untuk siasatan, pihak pengurusan boleh menguatkuasakan Peraturan 63 PUA 107 – yang membolehkan pemilik unit didenda tidak lebih RM50,000.00 atau penjara maksimum 3 tahun.
Jika jiran tak mahu beri kerjasama
Untuk isu dinding bocor, Peraturan 67 PUA 107 menyebut – undang-undang yang sama terpakai seperti isu siling bocor. Jadi tidak perlu risau.
Peraturan 61 PUA 107 menyebut – Jika unit atas/tepi tidak beri kerjasama baiki kerosakan, pihak pengurusan boleh ambil tindakan baiki sendiri kerosakan, dan tuntut semula kos kepada pemilik tersebut.
KESIMPULAN
Biasa kita dengar isu kebocoran di unit strata. Siling bocor, unit atas perlu bertanggungjawab. Dinding bocor, unit tepi lah. Perkongsian kali ini adalah untuk memastikan anda tahu hak anda jika ditimpa musibah ini.
Sumber: Syaz.MJ
Peguam Hartanah Anda
Tip Basuh Cadar & Tuala Putih, Jangan Guna Pelembut Sekali Dengan Nila. Baru Bersih Sekata, Naik Berseri
Cadar putih yang dibentang pada katil memang akan buat bilik nampak lebih kemas dan cerah. Sebab itu ramai yang suka pilih warna ini. Begitu juga dengan tuala. Nampak bersih saja.
Tapi satu masalah bila menggunakan fabrik warna putih ini adalah lama kelamaan warnanya akan jadi sedikit kekuningan atau off white. Bukan saja cadar atau tuala, pakaian pun sama.
Jika suka menggunakan cadar warna ini di rumah sebaiknya kena tahu cara betul mencucinya selain cara mengembalikan keserian warna putih ini. Boleh gunakan tip yang dikongsikan oleh Zaza Zalina ini.
Tip basuh cadar, tuala putih supaya putih sekali, kembali berseri
Cadar putih ni memang cantik, nampak cerah dan bersih bila di bentang atas katil. Begitu juga dengan tuala putih.
Masalah bila cuci selalu ada karat kotoran dari air paip. Kaedah mudah untuk elakkan air karat menjejaskan pakaian warna putih adalah dengan menggunakan tuala tangan kecil.
Cara elak kain cucian kuning akibat air karat
Masukkan tuala kecil ke dalam tempat letak sabun. Jadi sebelum air sampai ke kain cucian ia terlebih dulu ditapis.
Dapatlah mengurangkan air karat terus mengalir ke kain cucian. Alhamdulillah dah tiada kotoran itu lagi.
Tip cadar putih bersih berseri
Sesekali boleh gunakan nila untuk nampak berseri. Cuma bila guna nila jangan letak pelembut kain sekali ya. Ia akan menyebabkan nila bertompok-tompok tak sekata pada kain cucian.
Kaedah cucian putihkan kembali baju putih yang dah kuning
Selain itu jika ada pakaian warna putih yang semakin kuning cara untuk memutihkannya kembali adalah dengan merendamnya dengan Clorox kemudian cuci dengan sabun. Letak sedikit nila, Insya-Allah pakaian putih akan kembali putih berseri.
Selamat mencuba.
Sumber: Zaza Zalina