Cara Buat Kuetiau Goreng Basah Yang Sedap, Tak Lembik & Hancur

Share

Kuetiau goreng basah kalau nak masak memang ada caranya. Kalau tak kena memang tak menjadi boleh lembik dan hancur, memang takde rupa kuetiau jadinya.

Supaya hidangan yang diingini menjadi, boleh ikut cara dan resipi ini. Kuahnya tak terlalu banyak tapi cukup membasahi setiap helai kuetiau, pekat, pedas dan sedap. Pada masa yang sama kuetiau juga tak hancur dan lembik.

Resipi ini fleksibel, nak letak udang, ayam, atau kekal dengan fishball dan fishcake saja pun dah cukup sedap. Paling penting, tumisan cili mesti masak sampai pecah minyak supaya rasa benar-benar padu.

Cara Buat Kuetiau Goreng Basah Sedap, Tak Hancur

 

Bahan- bahan

1 bungkus kuetiau
1 labu bawang besar – ditumbuk
3 ulas bawang putih – ditumbuk
4 sudu makan cili kisar atau cili boh
Fishball dan fishcake secukupnya – dihiris nipis
Udang atau ayam (jika suka)
3 biji telur
2 cawan air
5 sudu makan kicap manis (mudim + habhal)
Sedikit sos cili
Sedikit sos tomato
Sos tiram (jika ada)
Garam, gula (disyorkan guna gula perang), serbuk cukup rasa/serbuk hilal
Tauge dan kucai secukupnya – dicuci bersih

 

Cara Penyediaan

1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar dan bawang putih yang ditumbuk hingga wangi dan kekuningan.

2. Masukkan fishball dan fishcake, goreng seketika hingga naik bau.

3. Tambahkan cili kisar, tumis hingga benar-benar pecah minyak.

4. Bila cili dah masak, masukkan udang atau ayam jika ada, bersama 2 cawan air.

5. Masukkan kicap manis, sos cili, sos tomato dan sos tiram (jika guna). Kacau sebati dan biar mendidih.

6. Perasakan dengan garam, gula perang dan serbuk hilal secukup rasa. Hati-hati letak garam jika dah guna sos tiram.

7. Pecahkan telur satu per satu ke dalam kuah yang mendidih, biarkan seketika tanpa kacau untuk hasil telur yang cantik dan gebu.

8. Masukkan kuetiau yang telah dibasuh bersih. Gaul perlahan-lahan supaya tidak hancur.

9. Jika suka lebih kuah, boleh tambah sedikit air. Boleh tambah lagi sedikit kicap untuk warna lebih gelap.

10. Akhir sekali, masukkan kucai dan tauge. Gaul perlahan, masak seketika dan sedia dihidang.

Tip Penting Buat Kuetiau Goreng Basah

  • Kuetiau mudah hancur jika terlebih kacau. Gaul perlahan dengan api kecil untuk tekstur lembut dan tidak berderai.
  • Telur pecah dalam kuah panas tanpa dikacau akan beri tekstur telur yang lembut dan lebih sedap.
  • Boleh tambah hirisan cili merah atau cili padi jika suka lebih pedas.

Sumber: Fateema Azzahra

Baca Lagi: Tip Buat Mi Goreng Basah Yang Sedap & Tak Kembang. Kuah Kekal Likat Sampai Esok Pagi

 

Published by
VK