Cara Mudah Tanam Kentang, Dalam Polibeg Pun Menjadi. Tip Isi Banyak, Kena Tambah Tanah

Share

Selalu kita beli saja di kedai runcit, tapi sebenarnya kalau suka bercucuk tanam kentang pun kita boleh tanam sendiri.

Kalau ada tanah lapang boleh buat batas tapi kalau tiada boleh juga tanam dalam polibeg, tiada masalah. Cara penanamannya pun mudah, untuk benih beli saja kentang di kedai tu ya.

Dikongsi oleh Mahadzir Hashim ini cara penanaman kentang jika ingin cuba tanam di rumah.

Cara mudah tanam kentang di laman rumah

Keperluan untuk menanam kentang :

  • Ubi kentang
  • Tanah sebagai media penanaman batas atau polibeg
  • Baja NPK
  • Sungkupan (bahan tambahan jika ada ie. cocopeat)

Langkah penanaman

Langkah-langkah menanam kentang dan penjelasannya seperti di bawah.

1. Cambahkan ubi
Kumpulkan ubi kentang yang sudah mempunyai beberapa tunas pada setiap biji. Susun ubi kentang secara menegak di dalam bekas atau kotak. Letakkan di dalam bilik yang gelap selama 2 minggu. Pada peringkat ini, ubi kentang tidak perlu disiram. Selepas 2 minggu, pucuk akan mula keluar dari tunas pada ubi kentang.

2. Sediakan batas
Ukuran batas yang terbaik ialah dengan kedalaman 6 – 8 inci dan jarak antara batas 2-3 kaki. Bagi penanaman dalam polibeg paling sesuai ialah 24 x 24 inci.

3. Tanam ubi
Bagi penanaman di atas batas, aturkan ubi kentang dengan jarak 1 – 2 kaki antara setiap ubi.

Bagi penanaman di dalam polibeg pula, isi tanah di dalam polibeg sebanyak separuh daripada ketinggian polibeg tersebut. Tanam satu ubi atau satu potongan tunas sahaja di dalam setiap polybag. Kemudian, kambus ubi dengan ketinggian tanah kira-kira 4 inci.

4. Siraman dan pembajaan
Penyiraman dan pengairan amat penting bagi tanaman kentang. Pastikan tanaman kentang mendapat kadar air secukupnya dengan tanah sentiasa lembap tetapi tidak menakung air.

Kedua-dua jenis pembajaan organik dan kimia sesuai diberikan kepada tanaman kentang. Baja organik boleh dicampurkan dalam tanah sebelum penanaman dilakukan. Kadar pembajaan kimia pula ialah NPK Biru dengan kadar 0.5 kg per 100 kaki persegi.

Pembajaan perlu dimulakan 2 minggu selepas menanam dan diulangi setiap 4 minggu kemudiannya. Hentikan pembajaan 2 minggu sebelum menuai.

5. Tambah tanah
Bagi tanaman kentang, penambahan tanah adalah perlu. Berlainan dengan tanaman makanan lain lebih-lebih lagi bagi pokok kentang yang ditanam di dalam polibeg.

Tanah perlu ditambah 3 – 4 inci lebih tinggi dari permukaan tanah sedia ada. Tujuannya ialah untuk membanyakkan penghasilan kentang oleh pokok kentang.

6. Tuai
Pokok kentang mengambil masa 70 – 120 hari untuk matang dan menghasilkan ubi. Tuaian boleh dilakukan apabila daun pada pangkal tanaman mula menguning.

Selamat mencuba

Sumber:Mahadzir Hashim

 

IKLAN