
Mahkamah Tinggi Sungai Petani mengekalkan keputusan yang memerintahkan seorang wanita bersama tiga penjaminnya membayar semula pinjaman pendidikan MARA berjumlah RM857,000 selepas gagal dalam rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini.
Pesuruhjaya Kehakiman, Darmafikri Abu Adam dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan minggu lalu memutuskan bahawa rayuan yang dikemukakan tidak mempunyai merit dan tiada alasan untuk mahkamah campur tangan terhadap keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah perbicaraan.
Menurut beliau, dapatan Mahkamah Sesyen adalah munasabah serta disokong oleh keterangan yang dikemukakan sepanjang prosiding.
“Penemuan Mahkamah Sesyen adalah munasabah, disokong oleh keterangan dan tidak menunjukkan sebarang kesilapan yang nyata,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan perayu membayar kos sebanyak RM10,000.
Kes tersebut melibatkan Siti Norbaya Ahmad Nor, 45, yang menerima dua pinjaman pendidikan daripada MARA bagi melanjutkan pengajian di United Kingdom.
Pinjaman pertama diterima pada tahun 2011 untuk mengikuti pengajian peringkat sarjana di University of Manchester.
Beliau kemudiannya menerima pinjaman kedua pada tahun 2013 bagi menyambung pengajian Doktor Falsafah (PhD) di University of Cambridge.
Tiga ahli keluarganya iaitu Siti Zaliha Ahmad Nor, Siti Farhana Ahmad Nor dan Jamilah Long bertindak sebagai penjamin bagi kedua-dua pinjaman tersebut.
MARA kemudiannya memulakan tindakan undang-undang selepas mendakwa Siti Norbaya gagal memenuhi syarat perjanjian serta tidak membayar balik pinjaman seperti yang ditetapkan.
Dalam rayuannya, Siti Norbaya berhujah bahawa beliau berjaya menamatkan pengajian sarjana dalam tempoh yang ditetapkan dan mendakwa tuntutan MARA berkaitan pinjaman tahun 2011 telah terhalang oleh Akta Had Masa 1953.
Bagaimanapun, mahkamah mendapati isu utama tertumpu kepada perjanjian pinjaman bagi pengajian PhD yang dimulakan pada tahun 2013.
Menurut Darmafikri, syarat dalam surat tawaran dan perjanjian pinjaman dengan jelas menetapkan bahawa pengajian PhD perlu diselesaikan dalam tempoh empat tahun.
“Menerusi surat bertarikh 15 Februari 2017, Siti Norbaya mengakui dia tidak dapat menamatkan pengajiannya dalam tempoh tajaan dan diberikan lanjutan sehingga Ogos 2017. Bagaimanapun, dia masih gagal menamatkan pengajiannya.
“Mahkamah mendapati kegagalannya menamatkan pengajian dalam tempoh empat tahun dan tujuh bulan adalah satu kemungkiran kontrak,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa berdasarkan Klausa 3.5 perjanjian pinjaman berkenaan, MARA mempunyai hak untuk menuntut keseluruhan jumlah pinjaman apabila berlaku pelanggaran syarat kontrak.
Mahkamah turut menolak hujah bahawa status reinstatement atau kemasukan semula yang diperoleh daripada universiti berkenaan boleh mengubah tanggungjawab peminjam terhadap MARA.
Menurut Darmafikri, sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak universiti tidak mengubah terma perjanjian yang telah dipersetujui antara peminjam dan MARA.
“Walaupun dia mendakwa mendapat status reinstatement daripada universiti itu, perkara itu tidak membabitkan mahupun mengikat MARA,” katanya.
Mahkamah juga mengambil kira dapatan Mahkamah Sesyen bahawa sehingga tarikh perbicaraan dijalankan, Siti Norbaya masih belum menamatkan pengajian PhD tersebut.
Selain isu kegagalan menamatkan pengajian, mahkamah turut meneliti hujah berkaitan had masa tindakan undang-undang.
Siti Norbaya mendakwa tuntutan yang dibuat MARA telah melepasi tempoh yang dibenarkan di bawah Akta Had Masa 1953.
Namun mahkamah berpendapat MARA mempunyai budi bicara kontrak untuk menentukan bila bayaran balik perlu dimulakan.
Darmafikri menjelaskan bahawa MARA telah menangguhkan tuntutan pembayaran ketika peminjam masih meneruskan pengajian di bawah pinjaman kedua.
Oleh itu, tindakan undang-undang yang difailkan pada tahun 2022 masih berada dalam tempoh sah yang dibenarkan oleh undang-undang.
Dalam penghakimannya, Darmafikri turut menegaskan bahawa mahkamah perlu menghormati dan menguatkuasakan terma yang telah dipersetujui oleh pihak-pihak yang menandatangani sesuatu kontrak.
Menurut beliau, niat dan syarat yang terkandung dalam perjanjian pinjaman MARA adalah jelas sejak awal dan tidak boleh ditafsirkan semula bagi mengelakkan tanggungjawab yang telah dipersetujui.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Siti Norbaya bersama tiga penjaminnya kekal bertanggungjawab untuk membayar semula jumlah pinjaman pendidikan berkenaan yang mencecah RM857,000.
Kes berkenaan dikendalikan oleh peguam Nik Nur Amirah Nik Nuzul bagi pihak perayu, manakala MARA diwakili oleh Anis Amirah Amran.