Niat kita mungkin ingin menambah pahala membantu melancarkan ibadah korban dengan menolong melapah, memotong atau mengagihkan daging korban tapi tanpa disangka berakhir mendapat dosa.

Jangan terkejut perkara ini boleh berlaku dan paling malang tanpa kita sedari. Demikian perkongsian Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin atau DrMAZA.com tentang ibadah korban yang perlu kita fahami.

1. Ambil dulu bahagian yang disukai tanpa izin

Antara dosa yang sering berlaku semasa pengurusan korban ialah mencuri daging korban ataupun bahagian korban. Ini berlaku apabila ada pihak yang mengambil daging korban atau bahagian dari binatang korban tanpa terlebih dahulu meminta izin dari empunya korban.

Biasanya hal ini dilakukan oleh penyembelih, pelapah dan mereka yang terlibat dengan proses pengurusan penyembelihan. Tanpa terlebih dahulu meminta izin dari individu yang melakukan ibadah korban itu, mereka mengambil bahagian korban yang mereka sukai. Ini terutama bahagian-bahagian yang menarik untuk mereka.

Biasanya, mereka akan meletakkan bahagian itu berasingan untuk mereka ambil selesai urusan pelapahan haiwan korban korban. Mereka menyembunyikan lebih awal ataupun tanpa malu mengambil secara terang-terangan.

Jika seekor lembu yang dibahagikan tujuh, maka ketika pembahagian tersebut bahagian-bahagian tertentu telah pun dicuri terlebih dahulu. Walaupun mungkin tuan empunya tidak membuat bantahan, namun itu bukan bererti dia bersetuju memberikan.

Mungkin dia malas bergaduh ataupun tidak tahu. Namun perbuatan mengambil daging korban tanpa terlebih dahulu diberikan oleh empunya, merupakan perbuatan yang haram.

Jangan Buat 2 Perkara Ini Kalau Bantu Lapah & Agih Daging Korban, Supaya Niat Baik Tak Jadi Dosa
Kredit foto: www.duniakorban.com

2. Ambil daging korban atas dasar upah kerja

Kemudian mereka wajib tahu bahawa tidak boleh untuk mereka mengambil daging korban atas dasar upah kerja mereka. Mereka hanya boleh menerima upah berbentuk wang atau apa sahaja selain bahagian korban yang mereka terlibat.

IKLAN
Selain itu:  7 Pergerakan Bayi Yang menandakan Ada Sesuatu Tak Kena!

Larangan memberikan daging atau selainnya sebagai upah kerja kepada penyembelih adalah termaktub dalam hadis-hadis yang sahih yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim. Daripada `Ali bin Abi Talib r.a, katanya:

أنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهُ أَنْ يَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ، وَأَنْ يَقْسِمَ بُدْنَهُ كُلَّهَا، لُحُومَهَا وَجُلُودَهَا وَجِلاَلَهَا، وَلاَ يُعْطِيَ فِي جِزَارَتِهَا شَيْئًا
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku membahagikan kesemuanya; daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Di dalam riwayat al-Imam Muslim ditambah dengan ucapan Saidina `Ali:
نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا
“Kami memberikan kepada penyembelih dan pelapah upah daripada (harta) kami sendiri”.

Dibolehkan sekiranya…

Walau bagaimanapun pemberian kepada penyembelih dan pelapah dari bahagian korban dibolehkan sekiranya ia diberikan bukan di atas dasar upah.

IKLAN

Perkara ini dapat diukur dengan diandaikan sekiranya penyembelih atau pelapah tidak melakukan kerja-kerja tersebut pun sememangnya bahagian tersebut ingin diberikan kepadanya.

Sebaliknya jika diandaikan jika tidak kerana kerja yang dilakukan maka sudah tentu dia tidak memperolehi bahagian tersebut, maka ini dianggap sebagai upah. Ia merosakkan korban.

Kata Wahbah al-Zuhaili dalam Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: “Jika diberi kepada penyembelih dari apa yang dikorban disebabkan kefakirannya atau sebagai hadiah maka ini tidak mengapa“. (3/633. Damsyik: Dar al-Fikr).

Hendaklah diingatkan bahawa mereka seperti mana orang lain, hanya boleh perolehinya jika diberikan oleh tuan empunya korban dengan hati yang redha, bukan dengan mereka pandai-pandai mengambilnya.

IKLAN

Firman Allah:
ياأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ
(maksudnya) “Wahai mereka yang beriman, jangan kamu makan harta kamu antara kamu dengan cara yang batil (salah)” (Surah al-Nisa: 29).

Selain itu:  Berjaya Turunkan Berat Badan 13KG Sejak Februari Lalu, Ini Tip Diet Dikongsi Pasangan Suami Isteri!

 

Sumber: DrMAZA.com

 

 

 

 

Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI