
Foto: Gambar fail BERNAMA
Keadaan jerebu yang kembali menyelubungi beberapa kawasan di Malaysia kini bukan sahaja menjejaskan aktiviti harian, malah mula memberi kesan kepada sesi persekolahan. Dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa lokasi berada pada tahap Tidak Sihat hingga Sangat Tidak Sihat, kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak-anak semakin meningkat.
Mengambil kira situasi semasa, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi jaminan bahawa kesihatan dan keselamatan murid kekal menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), selain menjelaskan tindakan yang akan diambil sekolah berdasarkan bacaan IPU rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Saya faham kebimbangan ibu bapa melihat keadaan jerebu ketika ini.
“Tindakan ketika jerebu dibuat berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai rujukan rasmi.
“Apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan. Apabila IPU melebihi 200, sekolah ditutup,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam keadaan kualiti udara yang membimbangkan, Fadhlina turut memberi ruang kepada ibu bapa untuk membuat keputusan berdasarkan keadaan kesihatan anak masing-masing.
“Jika bimbang akan kesihatan anak, ibu bapa dibenarkan tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan pihak sekolah.”
Ini bermakna ibu bapa yang mempunyai kebimbangan khusus, termasuk anak yang sensitif terhadap pencemaran udara, boleh mengambil langkah berjaga-jaga tanpa perlu menunggu sekolah ditutup secara rasmi.
“KPM akan terus memantau bacaan IPU dan keadaan semasa dari semasa ke semasa, khususnya di kawasan yang terjejas.
“Kebimbangan ibu bapa kita dengar. Kesihatan dan keselamatan anak-anak tetap menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang kita ambil.”
Situasi jerebu ketika ini melibatkan banyak kawasan di seluruh negara.
Menurut laporan Bernama berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) pada pagi 7 September, Samarahan, Sarawak merekodkan bacaan IPU 226, sekali gus berada dalam kategori Sangat Tidak Sihat. Pada masa sama, sebanyak 40 kawasan mencatatkan bacaan Tidak Sihat, manakala 24 lagi berada pada tahap Sederhana.
Bacaan IPU boleh berubah mengikut keadaan cuaca, hujan dan pergerakan angin, justeru orang ramai disarankan terus menyemak bacaan terkini menerusi sumber rasmi JAS.
Kesan jerebu terhadap sekolah juga sudah dapat dilihat di Sarawak.
Sebanyak 54 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu serta Tatau/Sebauh ditutup dari 7 hingga 11 September selepas bacaan IPU Bintulu mencecah 206. Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan tersebut.
Pada peringkat serantau, keadaan juga masih belum menunjukkan tanda benar-benar reda.
ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) kini mengaktifkan Tahap Amaran 3 bagi rantau selatan ASEAN. Dalam kemas kini pada pagi 7 September, ASMC melaporkan keadaan kering di kebanyakan bahagian selatan ASEAN, selain aktiviti titik panas yang banyak dikesan di Kalimantan dan Sumatera.
Asap jerebu sederhana hingga tebal turut diperhatikan di beberapa kawasan, termasuk bahagian barat Semenanjung Malaysia dan utara Borneo. ASMC menjangkakan risiko jerebu rentas sempadan yang serius masih berterusan sekiranya keadaan kering dan aktiviti kebakaran kekal tinggi.
Unjuran bagi September hingga November pula menunjukkan El Niño dijangka kekal kuat, dengan kemungkinan hujan di bawah paras normal di sebahagian besar rantau maritim ASEAN. Keadaan kering berpanjangan ini boleh meningkatkan risiko kebakaran serta pembentukan jerebu.
Dalam situasi sebegini, keputusan menutup sekolah atau menghentikan aktiviti luar bukan dibuat berdasarkan keadaan visual semata-mata, tetapi berpandukan bacaan IPU.
Bagi ibu bapa pula, pemantauan perlu dilakukan dari hari ke hari. Jika anak mula mengalami batuk, iritasi mata, kesukaran bernafas atau mempunyai masalah pernafasan sedia ada, mengurangkan pendedahan kepada udara luar menjadi langkah yang wajar.
Selagi keadaan jerebu berterusan, pendekatan paling penting adalah untuk tidak mengambil ringan perubahan kualiti udara, khususnya apabila melibatkan kanak-kanak yang terpaksa berada di luar rumah untuk tempoh panjang.
