
Konsidi jerebu di negara kita dilihat semakin membimbangkan apabila jumlah kawasan yang merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat meningkat kepada 12 lokasi, berbanding sembilan kawasan sebelumnya.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) setakat jam 2.30 petang, 11 daripada kawasan terbabit terletak di Sarawak, manakala satu lagi di Selangor.
Serian merekodkan bacaan tertinggi dengan IPU 190, diikuti Samarahan (169), Kuching (165), Bintulu (159), Samalaju (155), Mukah (154), Sibu (154), Sri Aman (154), Sarikei (153), Miri (146) dan ILP Miri (123).
Di Selangor pula, Johan Setia mencatatkan bacaan IPU 152.
Selain 12 lokasi tersebut, sebanyak 53 kawasan lain yang kebanyakannya berada di Semenanjung Malaysia merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana.
Mengikut pengelasan Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU antara sifar hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya. Data IPU dikemas kini setiap jam menerusi 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
Keadaan semasa turut dikaitkan dengan fasa Monsun Barat Daya yang sedang melanda negara. MetMalaysia sebelum ini memaklumkan monsun tersebut bermula pada 14 Mei dan dijangka berterusan sehingga September 2026, dengan keadaan lazimnya membawa kelembapan lebih rendah serta pengurangan pembentukan awan hujan di kebanyakan kawasan.
Timbalan Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional MetMalaysia, Ramlan Ab Rahman berkata, tiupan angin baratan yang lemah turut menyebabkan keadaan lebih panas dan kering selain mengurangkan taburan hujan.
“Bilangan titik panas juga meningkat mengakibatkan beberapa kawasan di selatan dan barat Sarawak mengalami cuaca jerebu. Keadaan ini dijangka berterusan untuk beberapa hari akan datang.
“Keadaan jerebu juga dilaporkan berlaku di kebanyakan kawasan di Semenanjung terutamanya di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Indonesia kini berdepan kebakaran hutan dan tanah yang semakin meluas dengan lebih 107,000 hektar dilaporkan terjejas setakat 10 Ogos. Pihak berkuasa negara itu mengerahkan 43 helikopter bersama ribuan anggota bagi menangani kebakaran di beberapa wilayah.
Enam wilayah yang diberikan perhatian termasuk Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Djamari Chaniago sebelum ini memaklumkan pihaknya meningkatkan usaha bagi mengawal kebakaran ketika musim kering yang semakin mencabar. Keadaan El Niño yang semakin menguat turut meningkatkan risiko kebakaran hutan dan tanah sepanjang kemuncak musim kering.
Situasi itu sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap jerebu rentas sempadan, terutama apabila keadaan angin dan cuaca memungkinkan asap dibawa ke negara jiran. Laporan Associated Press turut menyatakan Malaysia dan Singapura antara negara yang mula berdepan kemerosotan kualiti udara ketika kebakaran semakin meluas.
Dengan bacaan IPU beberapa kawasan kini menghampiri paras 200, orang ramai terutama mereka yang mempunyai masalah pernafasan, warga emas dan kanak-kanak perlu lebih peka terhadap perubahan kualiti udara serta mengurangkan aktiviti luar apabila keadaan semakin buruk. Nasihat mengurangkan aktiviti luar dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika IPU meningkat turut dikeluarkan pihak berkuasa alam sekitar sebelum ini.