Ads

Lelaki Cuba Buka Pintu Kecemasan Dalam Pesawat Batik Air, Penumpang dan Kru Bertindak Pantas

Bayangkan anda sebagai penumpang di dalam sebuah pesawat pemnerbangan komersial berdepan dengan situasi seseorang ingin membuka pintu kecemasan ketika penerbangan tinggi di udara. Pastinya mencemaskan! Dalam satu kejadian yang telah tular, seorang lelaki telah ditahan selepas didakwa cuba membuka pintu keluar kecemasan ketika berada dalam penerbangan Batik Air dari Kuala Lumpur menuju Kochi, India.

Insiden membabitkan penerbangan OD231 itu berlaku pada Rabu lalu apabila suspek yang berusia 36 tahun dikenali sebagai Jamsheer Athanikkal didakwa merosakkan panel tingkap pintu kecemasan sebelum cuba membukanya ketika pesawat masih dalam penerbangan.

Memetik laporan The Indian Express, kejadian twersebut berlaku antara jam 9.30 malam hingga 11 malam ketika Jamsheer dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya.

Polis Lapangan Terbang Kochi turut memaklumkan lelaki berkenaan bekerja dalam sektor hospitaliti di Malaysia dan duduk di kerusi 12A ketika kejadian berlaku.

“Jamsheer adalah penumpang di tempat duduk bernombor 12A. Tanpa sebarang provokasi, dia cuba membuka pintu keluar kecemasan dan merosakkan panel tingkap pintu tersebut.

“Dia mengancam penumpang lain dan kru yang cuba menghalangnya. Kemudian, dia berjaya ditundukkan oleh penumpang lain bersama kru,” kata seorang pegawai polis.

Dakwa ‘Terasa Mahu Melakukannya’

Apa yang lebih mengejutkan, suspek dilaporkan memberikan alasan ringkas apabila ditanya mengenai tindakannya.

Menurut pegawai penyiasat, Jamsheer memberitahu bahawa ketika itu dia “terasa mahu melakukannya”.

Ads

Siasatan awal turut mendapati lelaki tersebut tidak kehilangan pekerjaannya seperti yang mungkin disangka, sebaliknya sedang dalam perjalanan pulang untuk bertemu anaknya yang baru dilahirkan.

Kejadian itu kemudiannya mendapat perhatian ramai selepas sebuah video berdurasi 35 saat yang dipercayai dirakam dalam pesawat berkenaan tular di Facebook.

Seorang penumpang yang berada dalam penerbangan itu mendakwa suspek cuba membuka pintu kecemasan ketika kebanyakan penumpang sedang tidur.

“Kami terjaga apabila terdengar bunyi angin yang kuat dan menakutkan.

“Syukurlah, disebabkan reka bentuk pesawat dan tekanan kabin, pintu itu kekal tertutup.

Ads

“Penumpang lain dan kru Batik Air Malaysia bertindak segera, menahannya dan menghalang keadaan daripada menjadi lebih buruk,” tulis saksi terbabit dalam kapsyen video berkenaan.

Batik Air Sahkan Berlaku Kerosakan Kecil

Dalam satu kenyataan, Batik Air mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan individu tersebut menyebabkan kerosakan kosmetik kecil pada panel tingkap dalaman pintu keluar kecemasan.

Suspek juga didakwa melakukan serangan fizikal terhadap seorang penumpang lain ketika insiden berlaku.

“Kru kabin bertindak segera mengikut protokol keselamatan antarabangsa. Dengan bantuan seorang penumpang yang berkeupayaan, kru berjaya menahan individu tersebut tanpa sebarang kejadian lanjut, sekali gus memastikan keselamatan semua penumpang dan kru sepanjang baki penerbangan.

“Penerbangan OD231 mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Cochin (COK) seperti dijadualkan. Selepas mendarat, pihak penguat kuasa tempatan menaiki pesawat, menahan individu berkenaan dan memulakan siasatan rasmi,” menurut Batik Air.

Ads

Syarikat penerbangan itu turut memaklumkan pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan berhubung insiden tersebut.

Polisi Sifar Toleransi Terhadap Ancaman Keselamatan

Jamsheer kemudiannya ditahan atas beberapa pertuduhan termasuk intimidasi jenayah, melanggar peraturan keselamatan dan sekuriti serta membahayakan keselamatan awam.

Batik Air turut menegaskan semula dasar sifar toleransi terhadap sebarang tingkah laku yang boleh menjejaskan keselamatan penerbangan, sekuriti atau kesejahteraan penumpang.

Syarikat penerbangan berkenaan turut memuji tindakan pantas dan profesional kru kabin yang berjaya mengawal keadaan sebelum ia menjadi lebih serius.

Penghargaan turut diberikan kepada penumpang yang membantu kru menahan suspek sepanjang penerbangan.

Walaupun pesawat berjaya meneruskan perjalanan dan mendarat dengan selamat, insiden tersebut sekali lagi memperlihatkan betapa pentingnya tindakan pantas kru serta kerjasama penumpang apabila berlaku situasi tidak dijangka di dalam kabin.

Dalam ruang tertutup pada ketinggian ribuan meter, sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan pesawat bukan sahaja membahayakan seorang individu, malah berpotensi mengancam keselamatan semua yang berada di dalamnya.

Dapatkan tip memancing, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Cerita Lain