
Pelakon veteran Eman Manan kini bergelar Datuk selepas dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.).
Eman atau nama sebenarnya Abdul Manan Embong, 68, merupakan antara penerima darjah kebesaran berkenaan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-64 Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Istiadat pengurniaan berlangsung di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu dan disempurnakan oleh Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Pengiktirafan itu cukup bermakna buat Eman yang sudah lebih empat dekad mencurahkan bakti dalam dunia seni lakonan tanah air.
Memulakan kerjaya lakonan menerusi filem Matinya Seorang Patriot pada tahun 1984. Menerusi lakonan hebatnya, dia dinobatkan sebagai pelakon lelaki terbaik Festival Filem Malaysia kali ke-5.

Beliau kemudiannya membina nama sebagai antara pelakon lelaki paling disegani dalam industri.
Sepanjang perjalanan seninya, beliau pernah membintangi pelbagai filem dan drama termasuk Bintang Malam, Buai Laju-Laju, Lenjan dan Femina.
Bakat besar Eman dalam bidang lakonan turut mendapat pengiktirafan apabila beliau tiga kali memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia yang pertama menerusi Matinya Seorang Patriot dan seterusnya menerusi Bintang Malam dan Buai Laju-Laju.
Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada tahun 1992 selain meraih beberapa anugerah lain sepanjang kerjayanya.
Terbaharu, pada 2025 Eman turut memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2024 menerusi filem Takluk: Lahad Datu.
Selepas puluhan tahun mewarnai dunia seni tanah air, pengurniaan gelaran Datuk ini menjadi satu lagi penghargaan terhadap sumbangan serta perjalanan panjang Eman Manan sebagai antara pelakon tersohor negara.

sekarang!
