
Sebuah Toyota Hilux yang menggunakan logo Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta dilengkapi lampu mata arah mencetuskan perhatian selepas video kenderaan itu tular di media sosial, sekali gus membawa kepada penahanan beberapa warga asing menerusi satu operasi khas.
JIM dalam tindakan susulan berjaya mengesan seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai individu dalam video berkenaan menerusi Operasi Khas yang dijalankan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Ahad lalu.
Menariknya, siasatan awal mendapati rakaman yang tular itu bukanlah video baharu. Ia dipercayai dirakam pada April 2025 sebelum dimuat naik semula menerusi status WhatsApp oleh isteri lelaki terbabit pada 7 Ogos lalu ketika wanita berkenaan berada di Indonesia.

Operasi Di Setapak dan Jalan Kuching
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dijalankan kira-kira jam 4.30 petang di PV3 Platinum Hill Condominium, Setapak serta sekitar Jalan Kuching, Kuala Lumpur.
Hasil pemeriksaan dan serbuan di sebuah premis di Setapak, pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan video tular berkenaan.
Pemeriksaan lanjut di lokasi sama turut menemukan seorang wanita warga Indonesia yang didapati tinggal lebih masa di Malaysia.


Selain itu, pihak berkuasa menemukan dua naskhah pasport Indonesia yang dipercayai milik individu lain dalam milikan lelaki Pakistan tersebut.
Menurut Zakaria, lelaki itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63.
Wanita Indonesia berkenaan pula ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Hilux Ditemukan Di Kedai Cuci Kenderaan
Siasatan kemudian membawa pasukan operasi kepada Toyota Hilux bernombor pendaftaran VLH8773 yang dipercayai digunakan dalam video tular itu.
Kenderaan berkenaan ditemukan di sebuah kedai cuci kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur sebelum pemilik sebenarnya, yang juga seorang lelaki warga Pakistan, turut ditahan.
Hasil siasatan awal mendapati pemilik kenderaan mengakui memasang logo JIM serta lampu mata arah pada Hilux berkenaan untuk kegunaan peribadi dan bukan bagi sebarang urusan rasmi.

Dia turut mendakwa tidak mengetahui tindakan memasang logo serta kelengkapan tersebut merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.
Menurut siasatan awal, logo JIM dan lampu mata arah berkenaan juga sudah ditanggalkan sebelum video lama itu kembali tular di media sosial.
Lapan Lagi Warga Asing Ditahan
Pemeriksaan di premis kedai cuci kenderaan berkenaan turut membawa kepada penahanan lapan lelaki warga asing yang bekerja di situ.
Mereka terdiri daripada empat warga Bangladesh, tiga warga Pakistan dan seorang warga India.
Pemilik Hilux ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, manakala lapan pekerja warga asing berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama.

Kesemua individu yang ditahan bersama kenderaan terbabit kemudiannya dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Zakaria menegaskan bahawa JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan logo atau identiti jabatan, terutama perbuatan yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Penyalahgunaan identiti agensi penguat kuasa bukan sahaja boleh mewujudkan persepsi salah terhadap sesuatu kenderaan atau individu, malah berpotensi menjejaskan imej serta integriti jabatan.
Kes ini juga menjadi peringatan bahawa penggunaan logo, lambang atau kelengkapan yang menyerupai identiti rasmi agensi kerajaan bukan perkara yang boleh dilakukan sesuka hati, walaupun atas alasan kegunaan peribadi.
Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI
Download
sekarang!

