
Ibu bapa yang memberi kebebasan penggunaan telefon kepada anak-anak mereka perlu lebih berhati-hati selepas ini.
Ia berikutan kewujudan Momo Challenge, cabaran baru yang tular menggalakkan kanak-kanak membunuh diri.
Daily Mail melaporkan Momo Challenge mula mendapat perhatian sejak kebelakangan ini dan ia mencabar pengguna berkomunikasi dengan individu tidak dikenali.
Keadaan tersebut menyebabkan pihak berkuasa di seluruh dunia telah mengeluarkan amaran kepada ibu bapa tentang challenge (cabaran) baharu yang semakin tular menggalakkan kanak-kanak membunuh diri.
Cabaran itu meminta pengguna menambah kenalan dan menghubungi seseorang digelar ‘Momo’. Ia kemudiannya menghantar imej menakutkan dan mesej ganas yang menggalakkan keganasan atau bunuh diri.
Imej avatar dengan wajah perempuan agak menyeramkan itu menggunakan patung artis Jepun, Midori Hayashi yang tiada kaitan dengan permainan tersebut.
Menurut Buenos Aires Times, cabaran itu juga didakwa ada kaitan dengan kematian kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Argentina yang dipercayai membunuh dirinya sendiri.
Jika perkara itu disahkan polis, budak terbabit akan menjadi mangsa pertama Momo Challenge.
Cabaran itu dilaporkan telah tersebar secara meluas menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook. Sehingga kini, pihak berkuasa tidak tahu motif sebenar pelaku.
Walau kejadian berlaku di luar negara tak mustahil dengan teknologi media sosial yang canggih ia akan sampai ke negara kita.
Sumber: Sinarharian
Suplemen Untuk Tambah Ketinggian, Doktor Kata Tak Perlu Jika Umur Lebih 21 Tahun. Tak Membantu!

Pengacara, pelakon dan usahawan Neelofa sekali lagi menjadi bahan bualan netizen apabila mempromosikan satu produk suplemen untuk menambah ketinggian di instagram.
Informasi mengenai produk itu dimuat naik ke akaun instagram Neelofa baru-baru ini. Mungkin kerana ia mendapat kritikan, posting itu tidak lagi kelihatan di Instagram Neelofa.
Bagaimanapun screen shot tentang posting tersebut telah banyak dikongsi di media sosial dan mendapat respon netizen. Kemudian ditambah pula dengan posting dari pelakon muda Elfira Loy di media sosial yang mendakwa produk peninggi badan ini berkesan buat dirinya hingga mendapat kecaman.
Tidak mahu pengguna terpedaya ramai pengamal perubatan memberi respon terhadap isu ini. Salah seorangnya adalah Kamarul Ariffin Nor Sadan.
Menurut beliau produk peninggi tubuh yang banyak dijual di pasaran adalah paling memusykilkan. Beliau memberikan tiga fakta yang seharusnya difikirkan oleh pengguna akan kelogikannya sebelum mengambil produk ini.
PUTIH, KURUS, & TINGGI : Itulah definisi cantik pada mata masyarakat kita.
Oleh itu, permintaan untuk produk pemutih, kurus atau peninggi, amat rencam. Antara produk ketiga-tiga produk ini, peninggi adalah yang paling banyak memusykilkan.
1. Ada produk menjanjikan tambahan ketinggian tidak terikat pada umur pengguna. Hakikatnya, selepas umur 19-21 tahun, secara fisiologinya, ketinggian tubuh sudah tidak bertambah kerana tulang sudah matang dan tidak akan memanjang.
2. Ada produk menggambarkan kadar peninggian sebanyak 1 cm seminggu, dan penambahan maksimum sebanyak 5-15 cm. Ketika kanak-kanak pesat membesar, kadar peninggian pun hanya lebih kurang 1-1.5 cm sebulan.
3. Ada produk yang dakwa negara-negara Asia lain melihat penambahan ketinggian rakyatnya secara umum kerana meraka mengambil produk peninggi. Ini tak benar sama sekali.
Jika anda dah lebih 21 tahun, tak perlulah kiranya ambil apa-apa produk untuk tambah ketinggian. Tak membantu.
Cantik itu adalah bila tubuh kita sihat!
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Unit Rehabilitasi Medtweetmy
Mudah dan ringkas penjelasan doktor ini. Harapnya pengguna faham, tak perlulah nak membazir duit beli produk begini. Rugi duit ok lagi tapi kalau kesihatan terjejas dek pengambilan ubat yang tak diketahui statusnya ini lagilah menyesal tak berguna.
Sumber: Kamarul Ariffin Nor Sadan
10 Fakta Menarik Pasal Orang Kidal. Salah Satunya Tiada Kena Mengena Dengan Faktor Keturunan

Hari ini 13 Ogos dan merupakan Hari Orang Kidal Sedunia. Dirayakan setiap tahun sejak tahun 1996.
Sepuluh peratus daripada jumlah penduduk dunia adalah orang kidal. Sebagai golongan minoriti, jadi mereka perlulah belajar menyesuaikan dirin dengan gajet, alat tulis, kelengkapan memasak dan juga peralatan sukan.
Otak dan tubuh orang kidal berfungsi secara berbeza dengan orang tangan kanan. Begitu juga dengan orang yang boleh menggunakan kedua-dua belah tangannya.
Berikut adalah 10 fakta menarik mengenai orang kidal
1. Orang kidal cenderung mengunyah makanan di sebelah kiri.
2. Bagi pramatang selalunya akan membesar menjadi orang kidal.
3. Hanya 25 peratus sahaja orang kidal akan melahirkan anak yang juga kidal. Tiada kena-mengena dengan keturunan.
4. Orang kidal lebih mudah stres berbanding mereka yang cenderung guna tangan kanan.
5. Otak orang kidal bekerja lebih cepat ketika bersukan. Misalnya atau bermain game komputer.
6. Orang kidal selalu dikatakan lebih bijak.
7. Orang kidal lebih pemalu dan cepat cemas kalau buat salah.
8. Lebih ramai orang lelaki kidal berbanding perempuan.
9. Orang kidal lebih mudah kena alahan. Ini kerana mereka lebih mudah migrain dan sukar tidur.
10. Antara personaliti terkenal yang kidal ialah Angelina Jolie, Tom Cruise, Kim So Hyun, Park Shin Hye, Justine Bieber dan Oprah Winfrey.
Sumber: Mingguan Wanita
‘Saya Dikecam, Dicaci, Dinista Hanya Kerana Saya Seorang Di ‘Barisan Hadapan’ TV3!’ Izwan Luah Apa Yang Terbuku Di Hati

Isi Kandungan
Toggle
Selepas tumbangnya kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum 14 beberapa hari lalu, banyak kisah yang selama ini terpendam mula disuarakan secara terbuka.
Daripada ahli politik hinggalah artis yang selama ini memendam rasa. Terbaru melakukan perkara yang sama adalah personaliti TV3 iaitu Mohd Izwan Azir Saleh.
Sebagai pembaca berita untuk slot Buletin Utama TV3, stesen tv yang dikaitkan dengan pro BN tak dapat dinafikan dia sendiri banyak menerima tempiasnya.
Jika selama ini berdiam diri, semalam melalui posting di Facebook Izwan yang duduk di barisan depan stesen tv ini meluahkan apa yang dirasa.
Saya dibaling botol, ‘diboo’
Tidak ramai yang tahu, apa yang saya perkatakan ketika melakukan lintas langsung BERSIH dari balkoni Persatuan Bola Keranjang Malaysia pada 2007. Yang ramai tahu hanya aksi saya di’boo’ dalam video yang diambil seorang peserta yang sedang berarak yang disebarkan di Youtube.
Ketika melakukan lintas langsung itu, saya mengatakan bahawa ‘peserta BERSIH sanggup untuk meredah hujan lebat dan menunjukkan semangat yang berani, tidak mempedulikan kawalan polis untuk berkumpul di Stadium Merdeka bagi menyatakan hasrat mereka’.
Sebelum itu, ketika mereka sedang menuju ke sana, dari balkoni itu saya melambai malah memberi tabik hormat kepada beberapa peserta dan mereka juga tersenyum kepada saya. Namun ketika dihalau polis, mereka berpatah balik dan melalui kawasan lintas langsung saya, membaling saya dengan botol air TANPA mengetahui apa yang sebenarnya sedang saya perkatakan ketika lintas langsung itu. Pengadilan dibuat kepada saya, hanya kerana saya memegang mic dengan logo TV3.
Itulah yang berlaku kini, diambang Malaysia Baharu.
Saya dikecam, dicaci, dinista, hanya kerana saya seorang di ‘barisan hadapan’ TV3. Sedari dahulu lagi, sayalah yang menanggung kata-kata nista ini termasuk menghukum saya masuk neraka. Namun kerana menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan, saya berusaha untuk melakukan yang terbaik.
Dihukum kerana berkhidmat dengan TV Pro-BN
Rakan-rakan saya di TV3 tahu, Izwan Azir Saleh adalah seorang yang tidak gemar politik. Ketika bertugas di Parlimen, saya lebih suka tidur daripada sibuk mencari ahli yang berhormat. Namun ketika saya harus berlintas langsung, saya akan pastikan yang saya kelihatan tip-top, segak dan tahu apa yang berlaku.
Semua itu saya lakukan supaya apabila kerja saya selesai dengan baik, saya boleh pulang segera tanpa ditanya lagi oleh boss dan melanjutkan kehidupan harian saya, menikmati masa-masa bersama keluarga atau bersendirian tanpa diganggu urusan kerja.
Saya kini dihukum hanya kerana berkhidmat dengan sebuah saluran TV Pro-BN. Saya menjadi seperti Allahyarham Nordin Ahmad atau Sharif Doll yang diludah di Jalan Ampas, Singapura hanya kerana watak antagonis Datuk Laksamana Megat Seri Rama dalam filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang atau Samseng Kampung Pinang Sebatang dalam filem Pendekar Bujang Lapok.
Dalam suasana Malaysia yang baharu, janganlah kalian menilai hanya dari kulit, tapi bacalah isi kandungannya. Fahami bahawa golongan barisan hadapan ini adalah mentimun. Digolek juga lenyek, menggolek juga lenyek. Saya hanya cuba melaksanakan tugas saya dengan baik.
Anda akan lihat lagi wajah ‘ahli neraka’ ini ke udara
Ramai yang tidak tahu, ketika Datuk Seri Shafie Apdal dipecat daripada pentadbiran terdahulu, sayalah bersama pasukannya, membersihkan pejabat Menteri sehingga larut malam, dan berpelukan dengan rakan-rakan saya yang terpaksa meninggalkan pejabat dengan segera.
Tetapi saya tidak perlu menceritakan semua ini, atas dasar persahabatan bersama mereka. Mereka kenal saya. Pemimpin kerajaan kini juga kenal saya, malah ada antara mereka yang sering berhubung dengan saya. Mereka tahu siapa yang saya maksudkan.
Malam ini, anda akan melihat wajah ‘ahli neraka’ ini lagi ke udara. Menyampaikan berita dan menyebut Tun Mahathir Mohamad, Perdana Menteri dan pembangkang yang akan diketuai Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Bila diarah bersiaran, saya lakukan yang terbaik
Biarkanlah saya melaksanakan tugas secara profesional seperti yang telah saya lakukan selama ini. Walaupun pedas tuduhan yang anda lempar, tetapi akhirnya saya cuma manusia biasa. Penyampai Berita bukan pembuat dasar.
Apabila diarah untuk bersiaran, saya akan lakukan yang terbaik dan apabila diarah berhenti daripada bersiaran, seperti ketika saya diminta meninggalkan pasukan Malaysia Hari Ini (MHI) Januari lalu, saya taat dan keluar dengan seikhlas hati. Itulah saya.
Saya sudah melihat sinar politik matang dikalangan pemimpin kita sekarang. Yang menang meneruskan tanggungjawab, yang kalah telah mengucapkan tahniah. Tetapi, kita dibawah ini juga perlu bersikap matang supaya Malaysia Baharu yang kita inginkan, akan benar-benar tercapai bukan sekadar dengan tulisan tapi dirasai dan meresap kedalam dalam hati sanubari setiap rakyat Malaysia.
Terima kasih anda yang faham dan mahu memahami tugas kami sebagai pemberita. Jika yang tidak mahu faham, cubalah sekali sekala memakai kasut kami. Anda akan mengerti.
Salam Hormat.
Luahan panjang Izwan ini mendapat banyak reaksi netizen, Meski ada yang mula memahami situasi Izwan tapi ramai juga yang tetap mengecam beliau.
Mereka memperkatakan tentang reaksi mimik muka Izwan ketika membaca berita satu ketika dahulu yang seolah-olah melambangkan pendiriannya.
Izwan sudah meluahkan apa yang dirasa, terpulang pada netizen untuk menilainya.
Sumber: Mohd Izwan Azir