Ini antara komen-komen yang VK baca bila mengikuti instagram sebuah keluarga Melayu yang menetap di Perancis iaitu light.km.
Video kanak-kanak perempuan bernama Jade, anak kepada seorang wanita berasal dari Malaysia ini menarik perhatian netizen bila dia bukan saja boleh berbahasa Melayu tapi bercakap ikut loghat Negeri sembilan.
Salah satu videonya yang tular memaparkan aksi lucunya memotong timun sambil memuji kerajinan diri sendiri ketika membantu ibunya, Norazmimah Mohd Karim.
Banyak memuat naik aksi-aksi bersama tiga anak-anaknya dalam akaun instagram namun sering menjadi perhatian dan mendapat puluhan ribu tontonan adalah keletah Jade yang berusia 6 tahun.
“Sebenarnya ayah saya yang berasal dari Lenggeng, Negeri Sembilan. Di sini ada masa saya memang akan bercakap nogori dengan anak-anak.
Ads
“Jade ni cepat tangkap dan suka mengajuk apa yang saya cakap walaupun dia sebenarnya bukanlah fasih mana pun loghat nogori.
“Kadang-kadang saya panggil dia, tetiba dia jawab ‘apokobondo eh.’ Pernah juga di sekolah dia bercakap dengan kawan terkeluar ayat “ekau nak apo”. Tercengang kawan-kawan dia,”cerita Norazmimah atau dipanggil Kak Nor yang sudah 16 tahun menetap di Perancis ketika dihubungi VK.
Ujar ibu kepada tiga orang cahaya mata yang berhijrah ke Perancis setelah mendirikan rumah tangga dengan suaminya yang berasal dari sana, walaupun tinggal jauh dari Malaysia tapi kesemua anaknya fasih berbahasa Melayu.
Ads
Malah anaknya iaitu Adam Daniel Moulin, 15,Ida Aili Moulin, 11 dan Jade Nur Moulin,6, juga fasih berbahasa Perancis dan Inggeris.
Tahu akan videonya tular di Malaysia, Jade kata Norazimah bagaimanapun tidak kisah tentang perkara tersebut memandangkan dia masih kanak-kanak.
Bagi wanita yang mengusahakan perniagaan penghantaran nasi ayam di Paris ini pula video tersebut hanya sebagai perkongsian tentang anak-anak semata-mata.
“Tapi kalau ianya dapat membuka pintu rezeki dan jalan bagi kami untuk pindah ke Malaysia, bersyukur sangat-sangat,”ujarnya yang kini hamil anak keempat.
Bagi yang nak tengok lebih banyak cerita mereka sekeluarga boleh lah follow instagram light.km . Selain Jade, VK juga suka tengok keletah anak lelakinya yang pemalu dan aksi anak perempuannya Ida yang comel. Sebahagiannya VK belanja kat sini.
Sebak membaca kisah dugaan saat disahkan hamil yang dihadapi ibu ini. Saat Datuk Siti Nurhaliza bergembira dengan kehamilan dia pula sebaliknya.
Ini kehamilannya yang ketujuh dan sebenarnya dilarang oleh doktor kerana boleh menyebabkan dia kehilangan nyawa dan dia pernah berdepan situasi yang sama dalam dua kehamilan sebelum ini.
Dia nekad teruskan kehamilan walaupun tidak disarankan doktor. Tapi ajaibnya kuasa Tuhan, apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Ikuti kisah yang ditulis bak novel perjuangan Nor atau dikenali sebagai Bonda Nor dalam meneruskan kehamilan anak ke tujuh.
Siti Nurhaliza. Saya menonton rakaman video Siti menemani menantunya bersalin ketika itu. Dari sekalian yang ada, Siti yang tampak teruja sekali.
Sebaik sahaja bayi tersebut lahir, beliau bagai tidak tentu arah.. bertepuk tangan, meraup muka sambil tersenyum gembira.. berjalan ke sana ke mari dengan wajah yang cukup berseri-seri.
Saya sebak! Masya-Allah. Siti tampak begitu teruja dengan kelahiran seorang bayi hingga terdetik doa sepintas lalu di hati saya.
“Ya Allah, kurniakanlah anak untuknya. Berilah dia peluang untuk merasai pengalaman melahirkan anaknya sendiri.”
Sungguh. Rasa kasih kepada insan sebaiknya buat rasa kasihan memenuhi jiwa. Lalu doa dan harapan dikirimkan kepada yang Maha Mendengar di langit sana.
Saya memohon kepada Allah agar Siti boleh hamil. Ketika itu saya sendiri sedang hamilkan anak yang ketujuh.
Ironinya, saya mendoakan Siti agar hamil seperti yang dirancang, walhal ketika itu saya sendiri sedang berdepan dengan satu kehamilan yang ‘dilarang’.
Throwback – kisah pelahiran terdahulu : ya – saya hampir saja kehilangan nyawa. 2 times retained placenta. Uterine Inversion. Bleeding. Red alert. HB menjunam ke level orang nazak. Allahu.. Sakit yang terpaksa saya tempuhi ketika itu, jangan cakaplah. Trauma!
Ia komplikasi yang sangat berisiko tinggi akan berulang lagi. Maka saya akur pada nasihat pakar O&G agar tidak mengandung lagi.
Tapi takdir tidak begitu. Bicara takdir seringkali berbeza dengan kehendak manusia. Yang tidak mahu, Dia beri. Yang teringin sangat, Dia sekat.
Lihat saja betapa banyaknya bayi yang dibuang merata-rata tanda kehadirannya tidak dipinta. Kita juga lihat betapa ramainya orang disekeliling kita yang sudah lama berumahtangga namun masih tidak beroleh cahaya mata. Meruntun jiwa mendengar rintihan pengharapan mereka. Allah..
Demikianlah yang dinamakan ujian. Sengaja Allah mahu lihat respons kita. Tentang sejauhmana kita mahu percaya pada aturan takdir-Nya. Sejauh mana kita mampu berusaha dan mahu reda apa adanya.
Semalam, saya terbaca kisah perjuangan Siti untuk mendapatkan zuriat. Subhanallah. Termenung panjang saya.
Bergelut dengan usaha untuk beroleh zuriat sedang dalam masa yang sama harus bergelut juga tuntutan kariernya – ternyata perjuangan Siti untuk merentasi ujian ini tidak semudah yang disangka.
11 tahun Siti mencuba rawatan ini, rawatan itu. Dalam kesibukannya, beliau tetap tidak berputus asa. Berjuang habis-habisan walaupun terpaksa berdepan pula dengan masalah berat badan dan ‘krisis rawatan’ Ya. Siti tidak peduli bahkan terus berusaha lagi dan lagi.
Akhirnya, sesudah 11 tahun, hasratnya untuk hamil kini menjadi kenyataan. Siti mengandung 4 bulan. Subhanallah. Satu berita yang cukup indah dan disambut dengan penuh syukur oleh jutaan insan yang mengasihinya.
Ujian. Saya dan Siti sama-sama diuji dengan kisah zuriat. Walaupun jalan cerita kami jauh berbeza, tapi ada sesuatu yang sama. Mujahadah untuk melepasi ujian Allah!
Siti berjuang untuk hamil. Saya pula terpaksa berjuang setelah disahkan hamil. Beliau menyambut berita kehamilannya dengan penuh syukur dan gembira tanda ujian tersebut sudah hampir sampai ke penamatnya.
Saya pula menyambut berita kehamilan saya dengan penuh keliru tanda ujian baru saja bermula.
“Ini soal nyawa. Risikonya – nyawa puan. Anak-anak puan masih kecil. Masih perlu perhatian dan kasih sayang seorang ibu!”
Gugurkan kandungan ini? Allahu Rabbi. Bergeloranya rasa hati bila terpaksa berdepan dengan pilihan ini. Nyawa si anak atau nyawa sendiri? Sungguh! Dalam kesibukan tugas harian, saya mengalami kemurungan!
Berita kehamilan saya menjadi khabar rahsia walaupun kepada ahli keluarga. Walaupun pada mak. Walaupun pada ibu mentua. Sengaja saya rahsiakan kerana tidak mahu ada yang mendesak saya agar menggugurkannya!
Begitulah. Saya nekad. Kehamilan diteruskan dan saya sedang berdepan dengan satu pertaruhan. Hidup atau mati. Di saat genting seperti itu, doa adalah senjata yang tidak pernah saya tinggalkan. Pantang bertemu waktu mustajab doa, hati dan lidah berlumba-lumba merayu belas dari Allah.
Pelbagai jenis ubat dan rawatan kami usahakan. Berulang alik dari klinik ini, klinik itu, hospital swasta, hospital kerajaan, homeopati, rawatan tradisional. Air zam-zam juga bahkan setia menemani bacaan al-Quran saya setiap hari!
Memang. Hati sekejap bergolak, sekejap tenang. Namun saya berusaha melawan semua bisikan negatif yang singgah. Hampir setiap malam, saya bangun solat hajat dan terus menerus melakukan solat istikharah. Waktu orang lain lena, saya sedang menangis mengadukan resah hati kepada Allah. Memohon Allah memberikan kekuatan. Memohon keselamatan.
Perut yang semakin membesar saya usap dengan penuh yakin bahawa nyawa bayi di dalamnya akan selamat. Tapi nyawa saya sendiri… sungguh saya tidak pasti. Menghitung hari kelahirannya bagaikan menghitung hari kematian sendiri. Sayu!
Krisis emosi yang berlaku agak parah juga. Tapi saya keraskan hati saja. Ketika saya sepatutnya seronok membeli baju baby, rasa ngilu yang menusuk hati. Diam-diam menyeka airmata.. Hati tertanya-tanya….Ya Allah, baju ini… sempatkah aku yang memakaikannya?
Itu belum masuk detik menawan keperitan berdepan si kecil 2 tahun saya yang masih mahu dimanjakan. Tersedar tengah malam cari mama. Allah… Menitik-nitik airmata setiap kali dia tertidur di atas pangkuan saya. Tertanya-tanya lagi.. Bagaimana dia jika saya mati?
Namun rasanya detik paling sayu bagi saya ialah sewaktu menyiapkan beg pakaian untuk ke hospital. Saya yang memang jarang berkain batik terpaksa menyelongkar almari untuk mencarinya.
Sewaktu membelek-belek beberapa helai kain batik yang ada, tiba-tiba terpegang sehelai kain batik lepas – kain batik yang belum berjahit, entah pemberian siapa. Yang pasti, hanya itu satu-satunya kain batik lepas yang saya ada.
Lama saya terpaku memegangnya. Ada satu rasa yang sangat sukar digambarkan. Ngilu. Pilu.
“Abang, kalau apa-apa jadi nanti, ini kain batik lepas ya. Kat rumah kita ada sehelai ni je. Ada simpan kat sini.”
Saya menuturkannya secara bersahaja. Berjuang menahan airmata dari tumpah. Suami saya tampak terkedu. Kemudian hanya tunduk memandang sejadah.
Diam. Sama-sama terdiam.
Ya, kami sama-sama faham. Kain batik seperti itu, yang selalu digunakan untuk menutup jenazah. Justeru agak lama juga kami terdiam. Masing-masing melayan bicara hati sendiri. Allahu Rabbi. Beratnya menanggung sesuatu yang tidak pasti.
Hope for the best. Prepare for the worst. Memang saya berusaha untuk memperjuangkan kehamilan anak ini, saya masih mahu untuk terus hidup, tapi saya tahu yang saya tetap perlu bersedia dengan apa pun kemungkinan yang bakal terjadi.
Berita kehamilan saya hanya mula tersebar pada bulan terakhir. Ia saat kritikal untuk saya mengharapkan senjata terakhir – doa daripada sesiapa saja yang sudi mendoakan.
Tak terungkap rasa sayu dan terharu setiap kali menerima mesej seperti…
“Kami semua di sini buatkan solat hajat.”
“Saya baru lepas bacakan Yaasin untuk…”
Takdirnya begitulah. Entah mujarab rawatan yang mana, entah berkat doa siapa, yang pastinya, saya selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Alhamdulillah, selamat tanpa pembedahan walaupun itu yang pakar dan ramai doktor sarankan.
Masya-Allah. Tabarakallah. Nikmat Allah yang mana mahu saya dustakan?
Ini kisah perjuangan. Kisah mujahadah. Berapa ramai daripada kalangan kita yang diam-diam sedang bermujahadah merentasi ujian Allah? Semua! Semua kena! Tidak ada yang terlepas!
Kawan, satu perkara yang ingin saya pesankan.. keajaiban itu masih ada. Ya, keajaiban sentiasa ada selagi kita percaya bahawa bantuan Allah itu semudah lafaz KUNFAYAKUN saja.
Sebagai manusia, memang kadang kita rasa lemah bila berdepan dengan ujian. Kalau ikut logik akal kadang rasa mahu mengalah saja.
Tapi kita juga telah lihat dan dengar sebegitu banyaknya kisah-kisah yang memberi inspirasi kepada kita. Yang berbelas tahun tiada zuriat, akhirnya hamil. Yang sepatutnya tiada harapan untuk hidup lagi masih bernyawa hingga ke hari ini.
Episod ujian Siti dan perjuangannya untuk mendapatkan zuriat berakhir sebaik saja beliau hamil. Episod ujian saya dan perjuangan untuk zuriat juga tamat sebaik saja anak ketujuh ini dilahirkan dengan selamat.
Namun pasti saja akan ada episod ujian yang seterusnya. Justeru bekalan pengalaman dan kekuatan daripada ujian ini seharusnya menjadi guru yang baik untuk kami terus percaya bahawa setiap berdepan dengan ujian, yang perlu terus menerus dilakukan ialah berjuang untuk menang. Bukan mengalah dengan mudah hingga terlupa bahawa Allah itu ada dan kita sama sekali tidak boleh berputus asa!
Masya-Allah. Betapa indahnya hidup bila usaha dan tawakkal sentiasa mengiringi kita. Percayalah. Jika Allah ada di hati kita, Insya-Allah walau sedahsyat mana pun laut berkocak, kita masih mampu menjinakkan ombak!
Kanser ovari selalu dikaitkan wanita yang berusia namun pada di Malaysia, sudah ada kes kanser ini dikesan pada usia seawal 26 tahun.
Meski menakut namun kanser ovari yang dikesan di peringkat awal dan dirawat peratusan untuk pulih sangat cerah.
Dalam hal ini wanita perlu mengetahui tanda-tanda awal kanser yang sering kali dikaitkan sebagai pembunuh senyap wanita.
Ini kerana di peringkat awal, kanser ovari jarang menyebabkan apa-apa gejala kalau ada pun ia sering disalah anggap sebagai masalah biasa walhal sebenarnya cukup berbahaya.
Berikut adalah 7 gejala awal kanser ovari yang selalu dianggap biasa oleh kaum wanita
1. Haid selepas menopaus, pada waktu sepatutnya wanita tidak lagi mengalami haid tapi pendarahan berlaku.
2. Keluar keputihan yang berlebihan – ramai wanita yang mengalami keputihan namun jika ia berlebihan dengana warna berbeza pemeriksaan adalah perlu.
3. Sakit atau tekanan di bahagian bawah perut atau di antara bahagian tulang pinggul.
4. Sakit belakang
5. Perut rasa kembung, bawah perut membengkak atau terasa penuh
6. Cepat rasa kenyang semasa makan.
7. Perubahan tabiat dalam bilik mandi, seperti kerap membuang air kecil, sembelit atau cirit-birit.
Jumpa doktor jika lebih dua minggu
Beri perhatian perubahan yang berlaku pada diri kita. Perhatikan apa yang normal dan apa perubahan luar biasa yang berlaku.
Jika mempunyai tanda-tanda yang disebutkan di atas selama dua minggu atau lebih, sila berjumpa doktor.
Gejala-gejala ini mungkin disebabkan oleh sesuatu yang bukan kanser, tetapi satu – satunya cara untuk mengetahui adalah dengan berjumpa doktor.
Bagi anda yang ada dalam 5 golongan disaran tidak berlengah untuk pemeriksaan bila mengalami tanda-tanda awal kanser ini. Anda termasuk yang dalam golongan wanita yang lebih berisiko atau lebih mudah menghidap kanser ovari.
1. Berada pada usia pertengahan, usia lebih 40 tahun atau lebih.
2. Mempunyai ahli keluarga terdekat (seperti ibu,kakak,ibu saudara atau nenek) sama ada sebelah ibu atau bapa yang menghidap kanser ovari.
3. Mengalami kanser payudara atau kanser kolorektral.
4. Tidak pernah melahirkan anak atau mempunyai masalah untuk mengandung.
5. Mempunyai endometriosis (keadaan di mana tidu daripada lapisan dinding rahim tumbuh di tempat lain.
Rawatan paling berkesan adalah apabila kanser ovari ditemui dan dirawat di peringkat awal. Meski penyakit yang serius tapi tak mustahil untuk disembuhkan.
Ramai bekas pesakit kanser yang dapat meneruskan hidup dengan sihat selepas menerima rawatan. Malah pada 3 Ogos nanti VK akan berkongsi panduan daripada bekas pesakit kanser ini dalam Malaysia International Sport Fitness Fair.
Kebelakangan ini anak gadis Norman Hakim dan bekas isterinya Abby Abadi kerap jadi perhatian.
Bertudung litup, belajar di sekolah agama dan pemalu membuatkan aksi Marissa Dania Hakim yang selalu dimuat naik oleh Norman nampak begitu comel.
Sebenarnya ramai yang mungkin terlupa bahawa anak ini sejak kelahirannya 12 tahun lalu sudah menjadi tumpuan media di Malaysia apabila Abby melahirkannya dalam kereta dibidankan oleh Norman Hakim sendiri.
Dalam kejadian yang berlaku pada 3 Julai 2005 itu Abby yang sarat mengandung tidak sempat tiba di klinik di Taman Melawati untuk bersalin.
Norman yang memandu pada masa itu terpaksa memberhentikan keretanya tak jauh dari rumah mereka di Ukays Perdana untuk menyambut kelahiran bayinya.
Ha…bayi itulah Marissa Dania Hakim yang kini sudahpun bergelar gadis sunti.
Mengimbas kisah Abby bersalin dalam kereta yang mendapat liputan meluas akhbar pada waktu itu ujar Norman dia menyangka Abby hanya mengalami sakit perut seperti kebiasaan wanita sarat mengandung memandangkan tarikh jangkaan bersalin belum tiba.
Namun begitu katanya selepas memandu lebih kurang 500 meter keluar dari rumah, Abby menjerit menyatakan bahawa kepala bayinya hampir keluar.
Tanpa berlengah dia berhenti ke tepi jalan dan terus menurunkan tempat duduk Abby lalu menyambut bayi dengan tenang dan diazankan.
Selepas membidankan Abby, Norman juga sempat menghubungi doktor untuk mengetahui cara memotong tali pusat namun dia diminta membawa terus bayi baru mereka ke klinik.
Lucunya sewaktu dalam perjalanan ke klinik kedua mereka ketawa mengingatkan apa yang berlaku malah sempat berhenti dua kali di tepi jalan untuk mengambil gambar kenangan menggunakan kamera telefon bimbit.
Tak sangka kan anak yang dilahirkan dalam kereta ini sudah menjadi anak gadis yang comel sekali.
Selain Marissa, Norman dan bekas isterinya Abby turut mempunyai seorang lagi anak iaitu Mohd Danish Hakim yang kini berusia 13 tahun.
Bahagia dengan keluarga mereka sendiri, Norman yang mendirikan rumah tangga dengan Memey Suhaiza juga memiliki dua anak.
Menariknya mereka sekeluarga tetap menjalinkan hubungan yang baik dengan Abby walaupun tiada lagi ikatan dan dilanda konflik hebat satu ketika dulu.
Astro BizOne Rewards bantu outlet F&B lebih dikenali menjadi perhatian apabila kempen terbaharu ini dilihat mampu memberi pendedahan tambahan kepada pemilik restoran, kafe dan...