Berita

MyKad Generasi Baharu Mula Dikeluarkan, 53 Ciri Keselamatan Tapi Tak Semua Perlu Tukar Segera

Share

Bermula hari ini, 17 September 2026, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mula mengeluarkan MyKad Generasi Baharu secara berperingkat, membawa peningkatan besar dari segi reka bentuk, ketahanan dan keselamatan.

Kad pengenalan generasi ketujuh itu kini mempunyai 53 ciri keselamatan, berbanding 23 pada versi terdahulu. Namun bagi pemegang MyKad sedia ada, pengenalan kad baharu ini tidak bermaksud semua orang perlu segera beratur di pejabat JPN untuk membuat penggantian.

Malah, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berpusu-pusu membuat penukaran kerana pelaksanaannya dilakukan secara berfasa dan MyKad sedia ada masih sah digunakan.

Siapa Yang Perlu Tukar?

Menurut JPN, pemegang MyKad biasa tidak perlu menukar kad semata-mata kerana versi baharu telah diperkenalkan, selagi kad berkenaan masih dalam keadaan baik.

Namun terdapat beberapa kategori kad lama yang perlu digantikan kepada MyKad Generasi Baharu, iaitu:

  • Kad Pengenalan Plastik (KPP)
  • Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT)
  • MyKad tanpa ghost image

Penggantian juga boleh dibuat bagi kes biasa seperti kad rosak, hilang, cip bermasalah atau apabila terdapat perubahan maklumat tertentu.

Apa Yang Baharu Pada MyKad Ini?

Perubahannya bukan sekadar pada rupa.

Antara ciri keselamatan baharu ialah penggunaan bahan polikarbonat berketahanan tinggi, ukiran laser, ghost image, corak Guilloche, cetakan warna pelangi serta cip pintar generasi baharu.

Bernama turut melaporkan kad baharu mempunyai elemen seperti Dynamic Security Hologram dan Transparent Window di bahagian hadapan, selain Enforcement QR Code dan Dual-Interface Chip di bahagian belakang.

Struktur ini diperkenalkan bagi meningkatkan perlindungan terhadap risiko pemalsuan, pengklonan dan manipulasi identiti.

Maklumat peribadi dan gambar pemegang kad pula diukir terus menggunakan teknologi laser, menjadikannya lebih sukar untuk diubah tanpa merosakkan kad.

Nombor MyKad Tak Berubah

Bagi yang bimbang nombor kad pengenalan akan bertukar selepas menerima MyKad baharu, jawapannya tidak.

JPN menjelaskan nombor pengenalan seseorang kekal sama, manakala maklumat peribadi terus berdasarkan rekod rasmi sedia ada.

Ini bermakna proses tersebut hanyalah penggantian dokumen fizikal, bukannya pendaftaran identiti baharu.

Baki SARA Juga Tidak Hilang

Pertukaran kad juga tidak menjejaskan bantuan kerajaan yang menggunakan MyKad sebagai medium pengesahan.

Bagi penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA), JPN menjelaskan baki dan kelayakan bantuan disimpan dalam sistem SARA, bukannya secara fizikal di dalam cip MyKad.

Justeru, menukar kepada MyKad Generasi Baharu tidak akan menyebabkan baki SARA hilang.

Satu lagi perubahan penting ialah kemudahan Touch ’n Go tidak lagi disediakan dalam MyKad Generasi Baharu. Pengguna yang masih mahu menggunakan perkhidmatan tersebut perlu menggunakan kad Touch ’n Go berasingan atau Touch ’n Go eWallet.

Berapa Lama Proses Siap?

Bagi permohonan yang memenuhi syarat, MyKad baharu sudah mula dikeluarkan pada 17 September.

JPN mempunyai 40 cawangan dengan kemudahan cetakan yang boleh menyiapkan kad pada hari sama. Bagi cawangan tanpa kemudahan tersebut, proses boleh mengambil masa sehingga lima hari bekerja.

JPN turut menggalakkan pemohon membuat janji temu terlebih dahulu sebelum hadir bagi memudahkan urusan di kaunter.

Jadi, Perlu Tukar Sekarang?

Ringkasnya, tak perlu jika MyKad anda masih elok dan berfungsi seperti biasa.

Pelaksanaan MyKad Generasi Baharu ialah proses peralihan secara berperingkat, bukan arahan supaya seluruh rakyat Malaysia menukarnya serta-merta.

Kalau kad dalam dompet masih sah, tidak rosak dan cipnya masih berfungsi, terus gunakan seperti biasa. Apabila tiba masa untuk menggantikannya, barulah versi generasi baharu akan mengambil tempat.

Published by
MFI