Warna hijau dah biasa, kita buat pula onde-onde atau buah Melaka warna biru dari bunga telang. Kalau di rumah ada pokok bunga ini boleh manfaatkan.
Bukan saja cantik tapi juga ada khasiat tersendiri. Bunga telang ini mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi dan bermanfaat pada kesihatan rambut dan juga kulit.
Selain itu khasiat antioksidan ini juga berkemampuan untuk menstabilkan kadar gula dalam darah bagi pesakit diabetes.
Jika nak cuba buat onde-onde bunga telang ini boleh ikut perkongsian daripada Siti Khairun Nur Akmal.
Onde-onde dari bunga Telang, cantik dan ada khasiat
Bahan-bahan:
2 cawan tepung pulut
4 sudu besar tepung beras
30 kuntum bunga Telang(rebus bunga & tapis ambil air sahaja & sejukkan)
Gula melaka (dipotong kecil)
1 biji kelapa muda parut (putih sahaja)
Sedikit garam (gaul dengan kelapa parut)
Sedikit air kapur
3 helai daun pandan (disimpul)
Cara membuat:
1. Kukus sebentar kelapa parut supaya tahan lebih lama. Kemudian gaulkan bersama sedikit garam.
2. Bancuh tepung pulut, tepung beras dengan air Bunga Telang & air kapur.
3. Gaul sedikit demi sedikit sehingga adunan tidak melekat di tangan.
4. Ambil adunan sebesar ibu jari dan leperkan. Masukkan gula Melaka yang dipotong kecil di tengah adunan.Tutup adunan kemas dan bulatkan sehingga sekata.
5. Panaskan air di dalam periuk bersama simpulan daun pandan sehingga mendidih. Masukkan bebola tepung tadi (api sederhana).
6. Apabila bebola timbul di permukaan air, bolehlah diangkat dan ditoskan. Gaul bersama kelapa parut ketika onde-onde masih panas.
Selamat mencuba.
Sumber: Siti Khairun Nur Akmal