Berita

Polis Tahan 15 Individu Terlibat Aksi Bahaya Bakar Suar & Tunggang Melulu Di Bukit Bintang

Share

Aksi sekumpulan individu membakar suar dan menunggang motosikal secara berbahaya di sekitar Bukit Bintang demi menghasilkan video promosi sebuah jenama pakaian akhirnya membawa padah apabila seramai 15 individu berjaya ditahan polis semalam.

Insiden yang sebelum ini tular di media sosial itu mengundang perhatian ramai selepas memaparkan beberapa individu melakukan aksi berisiko di tengah jalan raya awam sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Video tersebut memaparkan aksi membakar suar di atas sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Sultan Ismail berhampiran sebuah restoran makanan segera di Bukit Bintang.

Turut kelihatan dalam rakaman itu ialah dua lelaki menunggang motosikal jenis scrambler elektrik secara melulu dan berbahaya di kawasan sibuk ibu kota.

Ditahan Di Beberapa Lokasi Berbeza

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sazalee Adam berkata kesemua suspek termasuk seorang wanita berusia antara 17 hingga 30 tahun ditahan menerusi beberapa serbuan berasingan di sekitar Batu Caves, Shah Alam, Kajang dan Dengkil.

Menurut beliau, operasi tangkapan dilakukan bermula jam 12.30 tengah hari hingga 10 malam semalam.

“Siasatan awal mendapati kedai pakaian berkenaan milik seorang suspek lelaki berusia 24 tahun yang beroperasi di Dengkil.

“Manakala wanita berumur 24 tahun yang ditahan pula berperanan sebagai penyelaras bagi penggambaran tersebut,” katanya dalam sidang media.

Dibayar Untuk Lakukan Aksi Bahaya

Lebih mengejutkan, polis mendedahkan bahawa sebahagian individu yang terlibat sebenarnya diupah khas untuk melakonkan aksi berbahaya tersebut.

“Lapan daripada individu yang ditahan itu dikesan telah diupah untuk melakonkan aksi menunggang motosikal secara melulu dan membakar suar dengan bayaran antara RM50 hingga RM700,” jelasnya lagi.

Difahamkan, aksi tersebut dilakukan sebagai sebahagian rakaman video promosi sempena ulang tahun kedai pakaian berkenaan.

Polis Rampas Ford Raptor & Motosikal Scrambler

Dalam operasi sama, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Raptor yang disewa dan dipercayai digunakan semasa rakaman video tersebut dijalankan.

Selain itu, pakaian yang dipakai suspek ketika kejadian turut dirampas bagi membantu siasatan.

Tidak hanya itu, dua motosikal jenis scrambler elektrik turut disita selepas didapati tidak mempunyai pendaftaran sah.

Menurut pihak polis, motosikal berkenaan sebenarnya hanya sesuai digunakan untuk aktiviti luar jalan raya dan bukannya di atas jalan awam.

Kesemua Suspek Direman

Sazalee berkata kesemua suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah,” katanya lagi.

Kes tersebut kini disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk:

  • Seksyen 290 Kanun Keseksaan
  • Seksyen 279 Kanun Keseksaan
  • Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955
  • Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957
  • Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987
  • Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Jangan Jadikan Konten Sebagai Alasan

Dalam masa sama, polis turut mengingatkan mana-mana pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), produksi kandungan mahupun jenama komersial supaya mendapatkan kelulusan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang aktiviti penggambaran di kawasan awam.

Menurut Sazalee, tindakan menghasilkan kandungan tanpa kawalan sehingga mengganggu keselamatan awam bukan sahaja membahayakan pengguna jalan raya lain, malah boleh mencemarkan imej negara.

Fenomena penghasilan kandungan ekstrem demi perhatian media sosial kini dilihat semakin membimbangkan apabila ada pihak sanggup mempertaruhkan keselamatan awam semata-mata mahu menghasilkan video tular.

Lebih membimbangkan apabila aksi seperti ini turut berpotensi menjadi ikutan golongan muda yang melihatnya sebagai sesuatu yang “cool” atau normal.

Hakikatnya, jalan raya awam bukan lokasi untuk aksi stunt atau eksperimen kandungan media sosial yang boleh mengundang tragedi dalam sekelip mata.

Published by
MFI