
Prosiding pengesahan lafaz taklik membabitkan pasangan pelakon Linda Hashim dan Beego sekali lagi menjadi perhatian apabila mahkamah menetapkan dua tarikh baharu bagi meneruskan kes tersebut.
Prosiding yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini ditangguhkan ke 18 Jun dan 9 Julai depan selepas mahkamah mendengar keterangan daripada pihak plaintif, Linda Hashim.
Kes berkenaan didengar di hadapan Hakim Syarie, Nadia Khamis.
Linda Puas Hati Dengan Prosiding
Peguam syarie mewakili Linda, Nurul Fadzilah Kamaruddin berkata anak guamnya berpuas hati dengan perjalanan prosiding walaupun kes masih berada dalam proses siasatan.
“Alhamdulillah, hakim memberi respons yang sangat baik dan anak guam saya juga berpuas hati dengan prosiding hari ini.
“Bagaimanapun, kes ini masih dalam proses siasatan dan mahkamah menetapkan dua tarikh baharu iaitu 18 Jun dan 9 Julai depan.
“Jika keterangan tidak sempat diselesaikan pada 18 Jun, prosiding akan diteruskan pada tarikh berikutnya. Hakim juga memaklumkan jika boleh, kes ini akan diselesaikan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di perkarangan mahkamah.
Menurutnya lagi, pihak defendan memilih untuk tidak melafazkan cerai pada prosiding hari ini dan mahu meneruskan pembelaan mengikut proses mahkamah.
Pihak Beego Belum Sempat Soal Balas
Sementara itu, peguam syarie mewakili Beego, Muhammad Akmal Amzan menjelaskan prosiding hari ini hanya sempat merekodkan keterangan daripada pihak Linda selaku plaintif.
“Keterangan Linda sudah direkodkan, namun pihak kami belum sempat menjalankan soal balas berikutan kesuntukan masa sebelum mahkamah berhenti rehat pada jam 1 tengah hari tadi.
“Justeru, pada 18 Jun nanti, prosiding akan diteruskan dengan agenda soal balas daripada pihak kami terhadap dakwaan berkaitan pelanggaran taklik,” katanya.
Linda Dakwa Beego Enggan Lafaz Cerai
Dalam pada itu, Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim turut mendakwa Beego memilih untuk tidak melafazkan cerai walaupun hakim syarie dikatakan ada mengemukakan soalan berkaitan perkara tersebut dalam prosiding hari ini.
“Sebenarnya ada soalan juga daripada hakim untuk dia melafazkan, tetapi masih tidak mahu memberi kerjasama apabila tak nak lafaz juga.
“Dia terus defend untuk proses seterusnya,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Linda lagi, Beego tetap mahu meneruskan kes berkenaan sehingga menyebabkan proses perbicaraan menjadi lebih panjang.
“Tidak ada alasan kenapa Beego enggan lafaz cerai. Dia memang cakap yang dia tak nak lafaz hari ini.
“Dia tetap teruskan kes, jadi panjang lagi perbicaraan kami,” ujarnya.
Prosiding Bermula Lewat
Linda turut menjelaskan prosiding hari ini bermula lewat kerana peguam mewakili pihak defendan difahamkan mempunyai urusan kes lain di mahkamah berbeza.
“Pada perbicaraan hari ini, saya memberi keterangan. Cuma masa sudah suntuk disebabkan peguam dia datang lambat kerana ada kes di tempat lain.
“Jadi perbicaraan kami terpaksa bermula lewat.
“Bila mula lambat dan keterangan kami juga panjang sebab memang berat dan detail, maka bila dah hampir waktu makan tengah hari menyebabkan prosiding terpaksa dihentikan dulu,” katanya lagi.
Pernah Bercerai Sebelum Ini
Untuk rekod, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013.
Pasangan tersebut pernah bercerai talak satu pada Mac 2023 sebelum kembali rujuk dalam tempoh edah.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 12, Anggun Cassandra, 11, dan Indah Camelia, 7 tahun.
Kini, perhatian ramai tertumpu kepada prosiding seterusnya yang dijadual berlangsung pada Jun depan bagi menentukan perkembangan lanjut kes berkenaan.
Sumber: Gempak
Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI
Download
sekarang!




