Puteri Sultan Johor Terima Mas Kahwin RM22.50

Share

Puteri tunggal Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim sah bergelar isteri kepada Dennis Muhammad Abdullah dengan sekali lafaz di Istiadat Akad Nikah yang berlangsung di Istana Bukit Serene di sini, semalam.

Pasangan Diraja itu dinikahkan oleh Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Kiyai Samsudin yang diperkenankan oleh Sultan Johor menjadi wakil rasmi baginda pada majlis itu yang berlangsung menggunakan bahasa Melayu (lafaz).

 

Keluarga pengantin perempuan yang merupakan bekas murid Sekolah Convent diwakili Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh dulang daripada pengantin lelaki yang diwakili bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Ismail Karim.

Hantaran dibawa anggota Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN) antaranya cincin emas, al-Quran, sejadah, persalinan baju Melayu teluk belanga dan sampin, sirih junjung, kek, bunga rampai dan halwa maskat.

Terdahulu, istiadat pertunangan dan majlis hantaran berlangsung disaksikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, serta ahli keluarga dan rakan terdekat.

 

Sumber: Sinar Harian

IKLAN