Ratu cantik transgender menjadi perhatian selepas Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) (JPMHEA) mengecam tindakan seorang individu tempatan yang menyertai pertandingan berkenaan di Bangkok, Thailand pada 30 Ogos lalu.
Dalam satu kenyataan, JPMHEA menegaskan penyertaan tersebut disifatkan mencemarkan imej Malaysia, selain bertentangan dengan ajaran Islam, norma budaya serta nilai kesopanan yang menjadi pegangan masyarakat di negara ini.
Menurut kenyataan itu, perbuatan menyerupai jantina berlawanan atau tasyabbuh serta mempromosikan gaya hidup transgender adalah haram di sisi hukum syarak dan turut dilarang di bawah perundangan Syariah di negeri-negeri.
“Pihak JPM (HEA) menegaskan bahawa perbuatan menyerupai jantina berlawanan (tasyabbuh) serta mempromosikan gaya hidup transgender adalah haram di sisi hukum Syarak dan dilarang di bawah perundangan Syariah di negeri-negeri.
“Penganjuran atau penyertaan dalam acara sedemikian tidak pernah mendapat sebarang sokongan, kebenaran atau pengiktirafan daripada pihak berkuasa agama mahupun Kerajaan Malaysia.”
Dr Zulkifli Hasan berkata, tindakan seumpama itu bukan sahaja mencemarkan imej Malaysia di persada antarabangsa, malah bertentangan dengan ajaran Islam.
Isu Ratu Cantik Transgender, Masyarakat Diseru Tidak Mempopularkan Perkara Bercanggah Syariat
Dalam masa sama, JPMHEA menyeru masyarakat supaya tidak mempopularkan atau mengagung-agungkan perkara yang dianggap bercanggah dengan syariat.
Sebaliknya, orang ramai digesa bersama-sama memainkan peranan dalam memelihara nilai moral dan akidah ummah.
Ads
JPMHEA turut menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan perlu ditangani secara berhemah serta berpandukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Penegasan tersebut dibuat susulan penyertaan individu tempatan dalam pertandingan ratu cantik transgender berkenaan yang kemudian mendapat perhatian ramai.
Kenyataan Media
JPM (HAL EHWAL AGAMA) KECAM PENYERTAAN DALAM PERTANDINGAN RATU CANTIK TRANSGENDER DI THAILAND
1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang individu yang menyertai pertandingan ratu cantik transgender yang berlangsung… pic.twitter.com/J5nQ4Iz2ge
— YB Senator Dr. Zulkifli Hasan (@DrZulkifliHasan) September 1, 2026
Ads
Tindakan Undang-Undang Sedang Diteliti
Susulan perkara itu, pihak berkuasa agama kini sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi meneliti tindakan undang-undang yang sewajarnya.
Setakat ini, belum ada pengumuman lanjut mengenai bentuk tindakan yang bakal diambil terhadap individu terbabit.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian selepas penyertaan individu tempatan dalam pertandingan tersebut tersebar di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Ads
JPMHEA Tegaskan Pendirian Mengenai Penyertaan Pertandingan
Berdasarkan kenyataan tersebut, JPMHEA menegaskan bahawa penganjuran atau penyertaan dalam acara sedemikian tidak mendapat sokongan, kebenaran atau pengiktirafan daripada pihak berkuasa agama mahupun Kerajaan Malaysia.
Dalam isu ratu cantik transgender ini, kenyataan berkenaan turut memperlihatkan pendirian JPMHEA bahawa perkara berkaitan perlu ditangani mengikut saluran undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Pada masa sama, pihak berkuasa agama sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk meneliti perkara tersebut sebelum sebarang perkembangan atau tindakan selanjutnya diumumkan.
Syarikat penerbangan Aero Dili membuka lembaran baharu apabila memperkenalkan uniform terkini untuk barisan kru kabinnya pada September 2026.
Menariknya, uniform baharu kru wanita itu tampil dalam rekaan berkonsepkan kebaya moden yang diberikan sentuhan budaya Timor-Leste. Potongannya yang kemas menyerlahkan keanggunan pemakai, sekali gus mengekalkan imej profesional yang sinonim dengan industri penerbangan.
Menerusi perkongsian di media sosial, Aero Dili menyifatkan pengenalan uniform tersebut sebagai “penampilan baharu untuk sebuah lembaran baharu”. Menurut syarikat penerbangan itu, rekaannya diinspirasikan daripada budaya dan kebanggaan Timor-Leste, sekali gus membawa identiti negara berkenaan ke setiap destinasi yang diterbanginya.
Pemilihan kebaya moden sebagai inspirasi utama memberikan karakter tersendiri kepada uniform tersebut. Selain dekat dengan warisan masyarakat di rantau Asia Tenggara, busana berkenaan turut memperlihatkan bagaimana pakaian tradisional boleh diberi nafas kontemporari tanpa menghilangkan nilai dan identiti asalnya.
Uniform sememangnya memainkan peranan penting dalam membentuk imej sesebuah syarikat penerbangan. Selain perlu selesa dan praktikal untuk dipakai sepanjang bertugas, setiap rekaan menjadi representasi visual kepada nilai, layanan serta negara yang dibawa oleh sesebuah jenama.
Bagi Aero Dili, pengenalan uniform terbaharu ini dilihat selari dengan perkembangan syarikat tersebut sepanjang 2026. Selain memperkukuh laluan sedia ada, Aero Dili turut mengembangkan hubungan udara Timor-Leste dengan beberapa destinasi antarabangsa, termasuk Kuala Lumpur dan Darwin.
Penerbangan terus antara Dili dengan Kuala Lumpur yang dilancarkan pada Mac 2026 turut membuka lebih banyak peluang perjalanan antara Timor-Leste dan Malaysia, khususnya dalam sektor pelancongan, perniagaan serta pendidikan.
Dengan uniform kebaya moden yang membawa semangat budaya dan kebanggaan negara, kru Aero Dili bukan sahaja bertindak sebagai petugas penerbangan, malah menjadi wajah serta duta kecil Timor-Leste di ruang udara antarabangsa.
Pengenalan tersebut membuktikan bahawa elemen warisan tempatan boleh diterjemahkan dalam penampilan moden, anggun dan profesional, sekali gus membantu Aero Dili membina identiti visualnya yang tersendiri.
Di sebalik kejayaan seorang anak, kadangkala ada kisah pengorbanan keluarga yang jarang terlihat. Bagi Lovely, perjalanan memperoleh keputusan cemerlang PNGK 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bukan datang daripada kehidupan yang serba lengkap, sebaliknya dibina daripada kesungguhan sebuah keluarga yang bekerja keras demi meneruskan kehidupan.
Ibunya, Mek Kenui, bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan.
Dengan jumlah itu, kehidupan keluarga mereka tentunya perlu diurus dengan penuh cermat. Namun Mek Kenui tidak hanya bergantung kepada satu pekerjaan.
Bagi mendapatkan pendapatan tambahan, setiap Jumaat dia turut menjaga kawasan tempat letak kereta di sebuah masjid ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat.
Pada masa sama, Mek Kenui juga merupakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), memperlihatkan rutin kehidupan seorang ibu yang sanggup melakukan pelbagai pekerjaan demi keluarganya.
Kesukaran kehidupan tidak hanya ditanggung oleh Mek Kenui seorang.
Tiga abang Lovely turut bekerja mengikut kemampuan masing-masing. Seorang bekerja sebagai jurujual di pasar raya, seorang lagi menjadi pembantu kedai manakala seorang lagi melakukan kerja-kerja kampung.
Masing-masing mempunyai sumber pendapatan sendiri, namun kehidupan keluarga berkenaan tetap sederhana.
Mereka mungkin tidak mempunyai kemewahan, tetapi setiap ahli keluarga memainkan peranan untuk memastikan kehidupan terus berjalan.
Dalam situasi sebegini, tekanan untuk seorang anak meneruskan pelajaran tentunya bukan kecil. Kos pendidikan, pengangkutan, keperluan harian dan pelbagai perbelanjaan lain boleh menjadi cabaran besar kepada keluarga berpendapatan rendah.
Namun perkara itu tidak mematahkan semangat Lovely.
Daripada melihat keadaan keluarga sebagai penghalang, Lovely menjadikannya sebagai dorongan untuk memberikan yang terbaik dalam pelajaran.
Kesungguhan itu akhirnya membuahkan hasil apabila dia memperoleh PNGK penuh 4.0 dalam STPM, satu pencapaian akademik yang cukup membanggakan.
Kejayaan tersebut kemudiannya membuka satu lagi pintu buat Lovely apabila dia menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Bagi sesetengah orang, surat tawaran universiti mungkin sekadar langkah seterusnya selepas tamat persekolahan.
Tetapi bagi keluarga yang setiap ringgit diperoleh melalui kerja keras, pencapaian itu membawa makna jauh lebih besar.
Ia menjadi bukti bahawa setiap penat lelah ibu yang membersihkan sekolah, menjaga tempat letak kereta dan menjalankan tanggungjawab sebagai anggota RELA bukan sesuatu yang sia-sia.
Ia juga menjadi ganjaran kepada abang-abangnya yang sama-sama membantu keluarga dengan pekerjaan masing-masing.
Kisah Lovely memberi gambaran bahawa pencapaian akademik tidak semestinya ditentukan oleh latar belakang seseorang.
Kemudahan tentunya membantu, tetapi dalam banyak keadaan, disiplin, keinginan untuk mengubah kehidupan serta sokongan keluarga menjadi kekuatan yang jauh lebih besar.
Apa yang dimiliki Lovely mungkin tidak sebanyak orang lain, tetapi dia mempunyai keluarga yang tidak pernah berhenti mencari rezeki dan satu keazaman untuk menggunakan peluang pendidikan sebaik mungkin.
Daripada sebuah keluarga yang hidup sederhana, kini terbuka ruang untuk Lovely melangkah ke universiti dan membina masa depan yang lebih baik.
Kisah ini juga membawa satu peringatan buat lelaki yang menjadi abang, ayah atau ketua keluarga — perjuangan menyediakan kehidupan lebih baik tidak selalu hadir dalam bentuk sesuatu yang besar.
Ada waktunya ia hadir menerusi kerja di pasar raya, membantu di kedai, bekerja di kampung atau melakukan apa sahaja pekerjaan halal yang mampu meringankan beban keluarga.
Pada akhirnya, kejayaan Lovely bukan hanya tentang angka 4.0 di atas kertas.
Ia adalah cerita tentang usaha seorang anak, pengorbanan seorang ibu dan sebuah keluarga sederhana yang terus bergerak ke hadapan walaupun kehidupan tidak pernah menawarkan jalan yang mudah.
Kalau setakat berlakon menangis atau gaduh, itu mungkin biasa bagi pelakon meningkat naik, Marc Syahmie. Tapi, bayangkan korang kena baring dalam peti mayat yang legit pernah digunakan di hospital? Chills!
Itulah cabaran “gila” yang terpaksa dihadapi Marc demi naskhah terbaru ‘Bila Cinta Menjadi Dosa’. Bukan sekadar gimik, Marc mendedahkan kepada MASKULIN bahawa produksi menggunakan peti mayat sebenar, bukannya prop kayu atau plastik!
Apa yang membuatkan jantung Marc berdegup kencang bukan saja faktor ‘mistik’, tapi fobia ruang sempit dan gelap (claustrophobia) yang dialaminya sejak kecil.
“Sehari sebelum penggambaran, saya diberitahu peti itu memang ada ‘penghuni’ (mayat sebenar). Saya memang berdebar habis. Kelemahan saya dari kecil adalah tempat gelap dan sempit, boleh buat saya sesak nafas tiba-tiba,” kongsi Marc yang juga merupakan seorang cancer survivor.
Babak ini bukan sekadar baring santai. Marc perlu dimasukkan ke dalam beg mayat putih, di-zip sepenuhnya, dan kemudian ditolak masuk ke dalam peti besi yang sejuk itu.
“Bayangkan duduk seorang diri dalam kegelapan yang sempit dan sejuk. Masa itu, saya rasa vibe dia memang macam mayat betul!” ujarnya. Pelakon berusia 26 tahun ini mengakui mentalnya benar-benar ‘koyak’ namun tetap profesional demi tuntutan watak Amar.
Di sebalik rasa takut, pengalaman ngeri ini rupa-rupanya menjadi momen refleksi buat Marc. Sepanjang berada di dalam ‘keranda besi’ tersebut, dia tidak putus-putus berzikir dan berselawat untuk menenangkan diri.
“Sejujurnya saya jadi insaf. Terdetik dalam hati, kalau satu hari nanti saya sudah tiada, beginilah keadaannya. Walaupun sekadar lakonan, bila dengar pelakon lain menangis di luar peti, suasananya rasa terlalu real,” katanya lagi.
Ingat sekali take terus siap? Silap! Marc terpaksa keluar masuk peti mayat tersebut berkali-kali bagi memastikan sudut kamera dan lakonannya sempurna. Walaupun penat dan mencabar, Marc bangga kerana akhirnya berjaya melawan ketakutan yang menghantuinya sejak kecil.
Mengenai gangguan mistik atau ‘badi’, Marc bersyukur segalanya terkawal. Produksi cuma menasihatinya agar segera mandi dan membersihkan diri selepas penggambaran selesai sebagai langkah berjaga-jaga.