
Foto: Threads
Lagi isu Rohingya? Terbaru dilaporkan terdapat ratusan pelarian Rohingya berkumpul dan mendirikan khemah di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur.
Ia berikutan dakwaan mereka bahawa diusir keluar dari penempatan mereka di Pulau Pinang. Kehadiran kumpulan itu menarik perhatian orang ramai apabila mereka dilihat membawa bersama keluarga, termasuk wanita dan kanak-kanak, selain menunggu bantuan daripada pihak UNHCR.
Polis turut ditempatkan di lokasi bagi memastikan keadaan kekal terkawal dan tidak mengganggu ketenteraman awam.
Insiden itu turut menjadi perhatian di media sosial selepas beberapa video memaparkan bas dipercayai membawa pelarian Rohingya meninggalkan sebuah kawasan penempatan di Penaga, Pulau Pinang, tular sejak malam tadi.
Memetik laporan Harian Metro, menurut salah seorang pelarian, Rizuan, 28, mereka menaiki tiga bas yang disewa sendiri untuk ke Kuala Lumpur selepas mendakwa diarah meninggalkan kawasan penempatan oleh penduduk tempatan.
Katanya, arahan tersebut diberikan dalam tempoh yang singkat sehingga mereka tidak sempat membawa sebahagian besar barangan milik keluarga.
“Saya tak tahu sebab apa mereka halau. Mereka tak bagi banyak masa untuk keluar, jadi kami bawa apa yang sempat sahaja. Barang-barang semua tinggal di sana.”
Rizuan berkata, dia sudah menetap di kawasan berkenaan selama kira-kira 14 tahun dan sepanjang tempoh itu tidak pernah berdepan masalah serius dengan penduduk setempat.
Menurutnya, dia juga menyewa rumah daripada rakyat tempatan dan tidak mengetahui punca sebenar keadaan berubah secara mendadak.
“Mungkin satu dua orang buat masalah, tetapi semua kami yang menerima kesannya,” katanya.
Buat masa ini, Rizuan berkata mereka sekeluarga belum mempunyai sebarang perancangan mengenai tempat tinggal seterusnya dan berharap mendapat bantuan daripada pihak UNHCR.
Menurutnya, sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi daripada UNHCR atau mana-mana agensi berkaitan mengenai penempatan baharu.
Beliau berkata keadaan itu lebih membimbangkan kerana isterinya kini sedang hamil dan memerlukan tempat tinggal yang lebih selamat serta selesa.
Seorang lagi pelarian yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, berusia lingkungan 40-an, turut mendakwa tidak mengetahui sebab mereka diarahkan berpindah selepas bertahun-tahun menetap di kawasan tersebut.
“Saya pun tidak tahu pasal apa. Mereka datang dan suruh kami pindah. Kami tidak mahu cari masalah, jadi kami naik bas malam tadi dan keluar daripada kampung itu.”
Tinjauan di hadapan pejabat UNHCR mendapati beberapa khemah didirikan di kawasan sekitar, manakala kanak-kanak dilihat bermain berhampiran lokasi sementara orang dewasa menunggu perkembangan lanjut.
Beberapa pegawai dan anggota polis turut ditempatkan di kawasan berkenaan bagi mengawal keadaan serta memastikan keselamatan awam terus terpelihara.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook ketika dihubungi mengesahkan kehadiran anggota polis di lokasi hanya bertujuan mengawal keselamatan dan ketenteraman awam.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak UNHCR berhubung tindakan susulan terhadap kumpulan pelarian berkenaan ataupun dakwaan mereka diusir dari penempatan asal di Pulau Pinang.
Malaysia bukan negara yang menjadi pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951, namun negara ini menjadi antara destinasi utama bagi ramai pelarian dan pencari suaka, termasuk komuniti Rohingya yang melarikan diri daripada konflik serta penindasan di Myanmar.
UNHCR pula berperanan mendaftarkan pelarian dan pencari suaka serta membantu mereka mendapatkan perlindungan sementara, namun agensi itu tidak mempunyai kuasa untuk menentukan dasar imigresen atau penempatan tetap di Malaysia.
Insiden yang berlaku di Kuala Lumpur ini sekali lagi memperlihatkan cabaran kompleks melibatkan isu kemanusiaan, keselamatan serta hubungan antara komuniti tempatan dan pelarian.
Dalam masa sama, semua pihak dijangka menunggu penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa serta UNHCR bagi memastikan kebajikan mereka yang terlibat dapat ditangani dengan sewajarnya tanpa menjejaskan ketenteraman awam.