
Salah seorang teman perkenalkan VK pada gadis ini. Katanya cuba tengok instagram gadis ini, lihat gayanya setiap kali travel.
Tersenyum VK bila follow instagram gadis bernama Siti Hudzma Mohamad Said ini. Setiap kali travel posing dia macam Che Ta, siap pakai baju kembang-kembang. Jangan ingat artis jer buat tau!
Gigihnya dia setiap kali travel dia akan ambil masa untuk reka satu atau dua helai dress istimewa untuk memenuhi kegemarannya yang suka berfesyen dan bergambar.
Tapi selepas diselidik rupa-rupanya ada cerita lain yang menyentuh hati di sebalik apa yang dilakukan oleh Siti Hudzma ini . Ia bukan semata-mata kerana hobinya itu tapi kerana sebab yang lebih mendalam.

“Saya mula serius travel sejak tahun 2014 dan kebanyakan tempat yang saya pergi saya memang akan sediakan satu atau dua baju kembang utk photoshoot. Itu dah jadi trademark saya. Saya seorang yang sangat suka bergambar dan berfesyen.
“Kalau nak tahu, saya ni dulu seorang rendah diri. Saya tak macam org lain. Saya ada ‘birthmark’ di bahagian muka yang takkan boleh hilang.
“Tapi bila saya mula travel banyak perkara yang saya belajar dan saya cuba bina keyakinan diri dengan buat sesuatu lain dari yang lain.
“Pada saya bila bergambar dengan baju glamor, orang tak fokus pada kelemahan saya, orang akan lebih teruja untuk tengok gambar-gambar ‘berangan’ saya.”

Akur bahawa setiap orang ada pandangan berbeza namun kata Siti Hudzma setiap kali dia memuat naik gambar bersama baju-baju rekaannya setakat ini tiada pula yang mengecam.
“Alhamdulillah sehingga kini tak pernah pula kena kecam malah dapat respon yang positif.Kadang-kadang ada yang nak bergambar dengan saya sebab suka tengok baju kembang dan meleret yang saya pakai.
“Benda-benda itu semua buat saya sangat happy. Hanya yang ada keyakinan diri yang tinggi saja akan buat benda-benda macam ini. Mula-mula memang rasa janggal tapi dah lama-lama rasa seronok dan jadi ‘trademark’.
“Pada saya bila travel baju perkara utama yang kena siapkan. Kena fikir tema, warna dan lain-lain. Barulah kenangan travel lebih menusuk kalbu. Masa yang sama senang nak ingat kita pergi mana bila tengok baju tu.

Kata Siti Hudzma yang sudah pun bekerja ketika ini, apa yang dilakukan oleh dirinya juga mendapat sokongan dari ibu tersayang. Semua baju-baju yang dihasilkan itu dijahit dari tangan ibunya. Itulah yang paling istimewa sementara manik-manik pula akan dihias oleh dirinya sendiri.
“Ini juga salah satu cara saya nak promosikan bisnes jahitan yang ibu dan saya usahakan!”
Ok jom sambung tengok baju-baju Siti Hudzma.








#vanillakismis
Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI
Download
sekarang!
Pengantin Viral Kahwin Lepas Jadi Pengapit, Kesungguhan Si Dia Dan Petunjuk Istikharah Penguat Jodoh

Baru-baru ini tular di laman sosial mengenai pengapit pengantin yang akhirnya bertemu jodoh dengan pengapit juga. Walaupun pada awalnya tidak saling mengenali, namun tiada siapa yang boleh menolak ketentuan Allah.
VK sempat menemu bual pengantin baru ini iaitu Nur Adila Sazwanie dan Muhamad Izzat Hilmi yang masing-masing berusia 23 tahun. Ermmmm nampak macam elok disusun jodoh mereka ini.

Bila kali pertama jumpa?
Kami jumpa memula pada 2 Disember 2017. Masa itu jadi pengapit pada kawan. Ketika ni memang tak kenal antara satu sama lain. Nama dia pun saya tak tahu. Saya ialah sahabat pada pengantin perempuan. Dia pula sahabat baik pengantin lelaki. Pada mulanya pengantin ada pengapit lain. Tapi entah kenapa last minute pengapit-pengapit ni tak dapat datang. Jadi, pengantin lelaki tu datang pujuk saya supaya jadi pengapit. Disebabkan saya belum ada pasangan ketika itu, saya minta pengantin lelaki cari sapa sapa kawan dia untuk jadi pengapit lelaki. Ramai juga yang dia call. Akhirnya dapat juga pengapit lelaki.
Masa tu memang tak ada rasa nak berkenalan pun. Sembang pun beberapa patah saja. Lepas habis kenduri terus masing-masing balik. Selang tiga minggu dia follow saya dekat instagram. Rupa-rupanya, sebenarnya selama tiga minggu itu dia cari ig dan fb saya. Tapi sebab dia tak tahu nama saya dan kawan saya pula panggil saya Ummi, jadi dia tak jumpa ig dan fb saya. Hinggalah satu hari, dia ternampak pengantin perempuan upload gambar majlis kahwin dan tag saya di fb. Baru dia jmp fb dan ig saya.
26/12/2017 tarikh 1st kami bermesej di ig. Mesej biasa-biasa saja. Dua hari bermesej kat dm, kemudian tukar-tukar nombor telefon dan sambung mesej di WhatsApp.
28/12/2017 Kami ada bersembang bab kahwin. Dia tanya tentang saya sama ada sudah ada calon pasangan atau belum.
1/1/2018 Dia datang jumpa abah saya. Kira sesi merisik. Alhamdulillah famili terima dengan hati terbuka. Letak tarikh bertunang terus.
17/2/2018 Kami bertunang.
8/9/2018 Hari bernikah.
9/9/2018 Majlis perkahwinan.
Syukur Allah permudahkan urusan. Alhamdulillah syukur juga suami tak putus asa cari selama tiga minggu.

Ketika Nur Adila dan Izzat menjadi pengapit sebelum saling berkenalan.
Macam mana si dia boleh mula nak berkawan dan serius nak kahwin?
Masa dia tanya sama ada saya dah ada calon pasangan atau belum, saya cakap saya tak nak bercinta. Jika ada sesiapa yang rasa betul-betul nak berkawan dengan saya, orang itu kena jumpa ayah saya. Dia setuju jumpa dan masa jumpa ayah dia terus bagitahu ayam memang dia nak jadikan saya isteri.
Sejujurnya ramai yang cakap sayang la apa la tapi hanya dia yang berani datang jumpa ayah saya dan masuk meminang.
Maknanya anda tak bercinta? Terus kenal kemudian nikah?
Iya. Tapi sebelum bertunang saya ada buat solat istikharah. Selain tu, banyak saya tanya tentang dia pada pengantin lelaki yang dia jadi pengapit tu. Alhamdulillah feedback positif daripada beliau buat saya yakin dengan dia dan berani terima dia jadi suami saya.
Lepas istikharah apa petunjuk yang awak dapat?
Saya banyak bermimpi saya berkahwin dalam suasana hijau. Saya pun tak pasti kenapa hijau. Tapi orang kata hijau ni petanda baik. Wallahualam. Andai benar alhamdulillah. Selepas istikharah saya rasa semua urusan sangat dipermudahkan oleh Allah. Pada mulanya kami risau belanja kahwin tak cukup atas sebab semuanya berlaku terlalu cepat. Tapi alhamdulillah semuanya cukup.

Apa harapan awak dengan perkahwinan ni?
Saya cuma berharap suami saya dapat bimbing saya dan bawa saya bersama ke jalan Allah. Saya tak berharap yang lebih melainkan bersama sehingga ke jannah insya-Allah. Doakan kami.
Apa pendapat awak mengenai proses bercinta selepas nikah?
Bagi saya bercinta lepas nikah atau sebelum nikah dua-dua ada kebaikan. Bercinta selepas nikah terhindar daripada dosa-dosa dan pembaziran keluar dating. Bercinta sebelum nikah pula dapat buat kita kenal siapa dia yang sebenarnya sebelum jadi suami isteri.
Tapi percayalah tak semua kita nampak melainkan dah duduk serumah, tidur sebantal. Cuma kita bolehlah nak tapis jika kita rasa dia tu panas baran ke, kaki pukul ke, mulut tak boleh kawal ke dan lain-lain benda yang tak elok.
Jika masa bercinta pun dia dah mula nak tinggi suara, guna bahasa kesat, naik tangan, rasanya lebih baik tinggalkan dan cari yang lain saja. Janganlah asyk fikir dia akan berubah selepas nikah sebab benda tu sangatlah sukar nak berubah.
VK doakan supaya pasangan ini kekal bahagia hingga ke jannah. Seronok pula bila jodoh dipermudahkan macam ni. Sebab itulah yang lelaki kena berani dan jangan lupa untuk solat istikharah. Tak perlu bercinta lama-lama sangat. Kan?
Sumber: Nur Adila
Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI
Download
sekarang!
Tak Mandi Berhari-hari, Dilempar Kata Kesat, Silap Melontar Pun Ada, Pengalaman Suami Isteri Tunai Haji Sambil Jadi Sukarelawan

Kala dipanggil menjadi tetamu Allah, pasangan suami isteri ini ingin melaksanakan lagi satu hasrat. Mahu menjadi sukarelawan untuk membantu jemaah haji sementelah diri masing-masing masih muda.
Meski tahu akan cabarannya namun Noramira Amiuddin dan suami tekad mendaftar sebelum bertolak ke Jeddah.
Memang tepat telahannya, pelbagai dugaan dilalui sepanjang menjadi SAHABAT Tabung Haji namun semua ini jadi pengalaman paling manis buat mereka.
Ikuti pengalaman menarik yang dikongsi oleh Noramira Aminuddin sebagai panduan dan pengajaran kita.
Paling mencabar waktu wukuf di Arafah
Sebelum kami bertolak ke Jeddah, kami baru dimaklumkan mengenai satu program sukarelawan yang dipanggil sebagai SAHABAT Tabung Haji(TH). SAHABAT ditubuhkan bagi meringankan beban pegawai tabung haji yang sedikit jumlahnya untuk mengendali ratusan mahupun ribuan jemaah haji Malaysia dalam satu maktab. Dalam maktab saya contohnya, hanya ada 10 pegawai sepenuh masa untuk mengendalikan lebih kurang 2700 jemaah haji.
Saya dan suami ambil keputusan untuk menjadi sukarelawan SAHABAT TH. Jadi sebaik kami sampai ke hotel, kami terus ke pejabat maktab untuk memberitahu bahawa kami berminat mahu menjadi SAHABAT. Alhamdulillah kami dipilih.
Dalam SAHABAT ada tiga kategori yang kita boleh pilih iaitu sama ada bahagian perubatan jika anda seorang doktor, bahagian agama dan bahagian umum. Saya dan suami tahu dan sedar, kami ini bukan pakar bab perubatan mahupun agama.
Walaupun kami telah diberi skop kerja kami, saya dan suami telah berazam apa sahaja kami boleh bantu kami bantu. Nama pun suka-rela-wan.
Senario yang paling mencabar adalah semasa berwukuf di Arafah. Berlaku kacau bilau semasa penghantaran makanan, minuman tak cukup, kipas tak berfungsi, air kipas tak cukup, jemaah pengsan dan pelbagai lagi. Once you dah sarung jaket ni, semua orang cari jaket ni.
Padahal kalau ikutkan logik akal, sekiranya kipas rosak, seharusnya lapor kepada technician. Bukan kepada SAHABAT yang tak tahu menahu mengenai anggota peralatan kipas yang keluarkan air bagi menyejukkan tubuh badan jemaah.
Tetapi saya dan suami layankan kerana kami tahu majoritinya di sini adalah mak cik pak cik. Inilah sumbangan yang kami mampu berikan.
“Bila masa nak berdoa dan bersendirian?”
Mungkin ada yang tertanya,
“Tak letih ke? ”
“Bila masa nak berdoa dan bersendirian?”
Ditakdirkan saya ‘cuti’semasa tiba di Arafah pada hari pertama. Saya fikir, takkan saya nak duduk berzikir saja. Saya bukan orang yang reti duduk diam. Mesti ada aktiviti. Dari saat itu, saya keluar dari khemah dengan berjaket dengan berazam kalau yang perlukan bantuan kita bantu.
Alhamdulillah boleh dikatakan setiap jam suami akan tanya,
“Ok lagi ka? Jangan push.”
Saya kata ok lagi. Masih bertenaga. Dari pagi selepas Subuh uruskan makanan dan minuman pagi hingga ke makan dan minum tengah hari.
Sepanjang masa di Arafah, masalah utama ialah minuman air sangat kritikal. Minuman air botol sangat limited. Ditambah pula dengan cuaca yang sangat panas. Setiap kali saya berjalan, pasti ada jemaah bertanyakan pasal air minuman.
Saya memohon maaf awal-awal lagi, memang air tidak ada. Cumanya ada satu cara, iaitu isi air panas dalam botol kosong, kemudian letakkan dalam peti sejuk. Peti sejuk boleh dikatakan ada di setiap penjuru khemah.
Ditambah pula dengan masalah penghantaran makanan. Kami menghantar makanan mengikut alphabet khemah daripada A hingga ke S. Disebabkan troli yang sedikit, maka agihan agak lambat.

Selepas khutbah, kemudian solat lebih kurang pukul 1.30 petang, masa ini adalah waktu yang sangat-sangat panas dan getir. Elok sahaja imam beri salam, ada jemaah panggil saya, katanya ada orang nak pengsan.
Oleh sebab terlalu panas, saya mengambil sikap sambil lewa kerana kepenatan. Lepas settle jemaah ini, datang lagi seorang jemaah katanya neneknya sakit. Saya masih lagi ambil sikap sambil lewa. Ada satu detik yang mana tiba-tiba saya tersedar, “Eh, ramai pulak yang pitam. Serius ni.”
Saya cuba panggil nenek. Tapi tiada sahutan. Panik. Saya tidak mampu nak mengangkat nenek ke kerusi roda. Mujur ada cucunya yang membantu. Masalah datang. Kaki nenek tidak boleh diletak elok di atas penggalas kaki.
Mahu saja saya minta cucunya dukung sehingga ke klinik. Kami ramai-ramai tolak juga. Ada seorang jaga kaki nenek supaya tidak jatuh ke tanah. Seorang lagi jaga handle sebelah kiri, manakala saya sebelah kanan. Dalam perjalanan ke klinik, nenek sudah semakin lemah. Kepalanya sudah longlai. Saya tepuk pipi nenek.
“Nek! Bangun! Buka mata! ”
Banyak kali saya panggil nenek tetapi tiada sahutan. Air mata si anak sudah mula mengalir. Saya berdoa moga nenek diberi kesembuhan. Itu sahaja yang mampu saya lakukan buat pada masa itu.
Ramai yang pitam sebab panas
Daripada saat itu saya, suami dan SAHABAT berlari ke sana ke sini bawa jemaah ke klinik. Ramai yang pitam akibat kepanasan. Selepas seorang sedar, datang seorang lagi memerlukan bantuan. Sampai jemaah maktab lain pun dihantar ke situ.
Ada satu ketika, jemaah yang dihantar ke klinik terpaksa kami hentikan penerimaan pesakit kerana klinik sudah penuh dengan jemaah yang sakit. Klinik serba kekurangan, tetapi dimanfaatkan sebaik mungkin. Pesakit yang berada di luar klinik, kami spray air di seluruh muka dan kepala sehingga boleh masuk ke khemah klinik. Ada yang ok, kami hanya beri ruang kepada mereka untuk berehat sebelum kembali ke khemah mereka. Selepas reda, urus makanan malam pula.
Saya tahu, saya tidak akan berlama di Arafah. Saya berdoa pada Allah pinta satu waktu walaupun sekejap mahu bersendirian. Hanya Allah dan saya sahaja. Alhamdulillah saya diberi kesempatan walaupun tidak lama. Yang sedikit itu saya dan suami cuba manfaat sebaik yang mungkin..
Di Muzdalifah, cabarannya lain pula. Roughly maktab kami tiba di sana dalam lingkungan pukul 11.00 malam ke atas. Perhentian kami hanya sementara sahaja. Tepat jam 11.45 malam bermula perjalanan jemaah daripada Muzdalifah ke Mina.
Hanya 5 buah bas yang disediakan oleh muassasah kerana perjalanan antara kedua destinasi ini tidak jauh. Jemaah akan diangkut mengikut nombor bas masing-masing. Saya dan suami menaiki bas yang paling akhir iaitu pada pukul 8.00 pagi keesokan harinya.
Memang penat, kami hanya tidur-tidur ayam, bila dah azan Subuh, solat Subuh kami mengambil alih tugas SAHABAT yang lain kerana mereka belum lagi berhenti kerja dari tengah malam sehingga ke Subuh. Kami perlu memastikan jemaah menaiki bas yang betul dengan nombor bas yang betul.

Setiba di Mina, secara peribadi tenaga saya tinggal 10 peratus. Ingat boleh la berbaring sekejap. Tetapi belum sampai ke khemah, ada jemaah beritahu penghawa dingin tak berfungsi. Tak habis setakat itu, seorang lagi jemaah datang beritahu ada rakan sekhemah hampir nak pitam. Saya minta bawa ke khemah beliau.
Nak dijadikan cerita, rupa-rupanya jemaah ni daripada maktab lain. Bukan maktab saya. Allahu…. Nak elak daripada pertelingkahan berlaku, saya minta jemaah tersebut pimpin kawannya ke kerusi roda. Saya bawa ke klinik maktab saya.
Selesai semua, saya ke khemah, letak beg, perut berkeroncong. Apa lagi, saya pergi cari suami. Suami kata sepatutnya saya dapat satu beg yang ada makanan. Pihak muassasah kata dah habis. Jadi cari alternatif lain. Mujur ada kawan suami bawa maggi lebih. Elok nak balik khemah untuk bersarapan, ada mak cik sesat pula. Allahu…
Ditambah pula mak cik tersebut daripada maktab lain. Saya tak tahu menahu lagi bagaimana maktab-maktab ini disusun. Apa-apa pun kita bantu mana kita boleh bantu sampai SAHABAT bising saya tak rehat-rehat lagi. Macam mana nak rehat, orang minta tolong dalam perjalanan balik ke khemah. Kes mak cik ni saya serah terus kepada SAHABAT lain kerana saya tahu saya sudah tidak ada kemampuan.
Ada kala kita kena lepaskan. Bukan tidak mahu membantu tetapi diri sendiri sudah tidak termampu.
Makanan tidak disentuh kerana nasi tidak berkuah
Ujian di Mina berbeza dengan Arafah dan Muzdalifah. Di sini jemaah-jemaah senang sesat, air pula terlebih banyak, tidak mandi berhari-hari, makanan tidak disentuh kerana nasi tidak berkuah, tandas pula limited, dan ada jemaah yang hilang selepas melontar. Silap melontar pun ada.
Kejadian yang berlaku di ketiga-tiga tempat ini tidak lari daripada kata-kata kesat daripada kalangan jemaah. Tapi saya pesan kepada diri saya, hanya Allah yang tahu situasi kita yang sebenar. Biarkan kata-kata itu. Tiada manfaat dalam kata-katanya.
After all, saya tidak menyesal dengan apa yang saya pilih. Kerana penglibatan sukarelawan ini saya semakin rapat dengan jemaah-jemaah di sini. Kadang-kadang mereka tanya khabar. kadang-kadang ada jemaah wanita ajak ziarah bilik berbual-bual sambil makan buah cicah kicap dengan cili.
I’ll never forget these moments. Memang penat. Memang susah. Tapi akhirnya, semua manis. Saya berimpian mahu kembali ke sini sekiranya diizin oleh Allah.
Gambar di atas adalah gambar yang paling bermakna buat kami suami isteri semasa di Mina. Banyak cerita yang terkandung dalam gambar ini yang tidak mampu saya ungkapkan. Pada masa ini handphone saya dan suami, masing-masing rosak. Hanya mampu pinjam daripada kawan.
Sumber: Noramira Aminuddin
Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI
Download
sekarang!
Panduan Solat Sambil Dukung Bayi, Ibu Ada Anak Kecil Wajib Tahu!

Waktu solat dah lama masuk, tapi anak kecil masih tak mahu lepas dari dukungan untuk ibu menunaikan solat. Masalah ini selalu dihadapi oleh suri rumah yang punya bayi dan tinggal sendiri.
Ada masa bayi mungkin boleh ditinggalkan seketika tapi ada ketikanya si kecil meragam. Bila diletakkan untuk memberi ruang ibu bersolat walau sekejap mulalah bayi menangis hingga kadang-kadang membuatkan ibu tak sampai hati malah hilang khusyuk.
Namun masalah ini seharusnya tidak menjadi alasan untuk para ibu melengahkan atau meninggalkan solat. Apatah lagi Islam adalah agama yang memudahkan dan sudah tentu ada cara untuk memudahkan kaum ibu dalam hal ini.
Disebut dalam hadis
Sebenarnya jika berdepan situasi ini seseorang ibu itu dibenarkan mendukung bayi sambil bersolat. Perkara ini ada disebut dalam hadis yang diriwayatkan menerusi Abu Qatadah al-Ansari ra :
“Sesungguhnya Rasullulah s.a.w menunaikan solat dalam keadaan membawa (mendukung) Umamah, anak perempuan Zainab binti Rasullulah s.a.w dengan suaminya al-As bin Rabiah bin Abd Syams. Apabila sujud , baginda meletakkannya apabila bangun, baginda mendukungnya semula. (Al-Bukhari,Sahih al-Bukhari)
Diharuskan
Dalam hal ini adalah diharuskan oleh ibu untuk mendukung anak kecil sewaktu mendirikan solat. Namun begitu sudah tentu ada syarat-syarat yang harus ibu patuhi;
1. Pastikan anak bersih dari najis, sebaiknya tukar lampin anak sebelum ibu bersolat.
2. Kawal pergerakan. Pergerakan yang dibenarkan atau tidak membatalkan solat iaitu tidak bergerak melebihi tiga kali berturut-turut.
3. Dada sentiasa mengadap kiblat.
4. Hanya dilakukan ketika keadaan memaksa. Adalah lebih baik anak dijaga seketika oleh orang lain ketika ibu bersolat.
Cara solat sambil mendukung bayi
- Anak yang didukung harus dibersihkan dari sebarang najis.
- Memulakan niat solat seperti biasa sambil menggendong bayi.
- Tangan tidak perlu diangkat ketika takbir dan tidak perlu diletakkan di atas dada. Kerana hukum mengangkat tangan dan meletakkannya di atas dada hanyalah sunat.
- Baca surah al-fatihah seperti biasa dan sudah pilihan jika keadaan mengizinkan.
- Rukuk dengan tangan memegang erat bayi, tidak perlu meletakkan tangan di atas lutut kalau tidak dapat melakukannya.
- Semasa mahu sujud, letakkan bayi dan kemudian dikendong kembali apabila mahu bangkit ke rakaat seterusnya.
- Laksanakan langkah ini hingga solat selesai.
Untuk lebih jelas disertakan juga panduan bergambar seperti berikut.

Sumber: www.kemusykilan.islam.gov.my (JAKIM)
Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI
Download
sekarang!

