
Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor membayar RM67.4 juta kepada sebuah syarikat barang kemas dari Lubnan selepas didapati gagal memulangkan 43 daripada 44 barang kemas yang diterima secara konsainan pada tahun 2018.
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Quay Chew Soon yang membenarkan saman difailkan oleh Global Royalty Trading SAL terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu.
Syarikat berkenaan sebelum ini menuntut pemulangan semula barang kemas terbabit atau bayaran mengikut nilai semasanya selepas mendakwa kesemua barang kemas tersebut dihantar kepada Rosmah untuk tujuan tontonan sebelum pembelian, namun tidak pernah dipulangkan.
Dalam penghakimannya, Quay memerintahkan Rosmah membayar RM67,461,027.37 kepada plaintif dalam tempoh sebulan.
“Selepas perbicaraan penuh, saya membenarkan tuntutan plaintif terhadap defendan.
“Saya mengarahkan defendan membayar jumlah RM67,461,027.37 kepada plaintif dalam tempoh satu bulan dari tarikh keputusan ini,” katanya ketika menyampaikan keputusan mahkamah.
Mahkamah turut menolak tuntutan balas Rosmah terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dinamakan sebagai pihak ketiga dalam prosiding berkenaan.
Dalam penghakimannya, Quay menjelaskan bahawa kes tersebut diputuskan berdasarkan beberapa prinsip undang-undang utama termasuk aspek pengakuan, kedudukan yang pernah diambil dalam prosiding terdahulu, perjanjian konsainan serta prinsip penjagaan harta di bawah Akta Kontrak.
Menurut beliau, beberapa fakta penting dalam kes tersebut tidak dipertikaikan.
Antaranya ialah Rosmah menerima 44 barang kemas tersebut, barang kemas itu diserahkan kepadanya di bawah perjanjian konsainan untuk tujuan tontonan, beliau tidak membeli atau membuat sebarang bayaran bagi barang kemas berkenaan dan gagal memulangkan 43 daripadanya.
“44 barang kemas itu telah dihantar dan diterima olehnya.
“Barang kemas itu diamanahkan kepadanya untuk tujuan tontonan di bawah perjanjian konsainan.
“Beliau tidak membeli atau membuat bayaran bagi barang kemas tersebut dan gagal memulangkan 43 daripadanya.
“Fakta-fakta ini adalah penentu utama dalam kes ini,” katanya.
Hakim turut menegaskan bahawa apabila penghantaran, pemilikan dan kegagalan memulangkan barang kemas berjaya dibuktikan, beban untuk menjelaskan apa yang berlaku kepada barang kemas tersebut tidak lagi terletak pada syarikat plaintif.
Sebaliknya, tanggungjawab itu berpindah kepada Rosmah kerana hanya beliau mempunyai pengetahuan mengenai bagaimana barang kemas berkenaan dikendalikan ketika berada dalam simpanannya.
Mahkamah mendapati Rosmah gagal memberikan penjelasan memuaskan berhubung kehilangan barang kemas terbabit serta gagal membuktikan bahawa kehilangan tersebut bukan berpunca daripada kecuaian atau kegagalan memenuhi tanggungjawab penjagaan yang sepatutnya.
“Saya mendapati defendan gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang dikenakan ke atasnya,” kata Quay.
Sepanjang perbicaraan, Rosmah mempertahankan dirinya dengan mendakwa barang kemas tersebut mungkin dirampas oleh pihak polis ketika serbuan di Pavilion Residences pada tahun 2018.
Bagaimanapun, mahkamah berpendapat hujah tersebut tidak disokong bukti yang mencukupi.
Menurut Quay, Rosmah tidak boleh sekadar bergantung kepada andaian bahawa barang kemas tersebut dirampas semasa serbuan tanpa mengemukakan bukti yang jelas.
“Percubaan defendan untuk mengalihkan perhatian kepada pelbagai spekulasi berkaitan serbuan dan rampasan oleh PDRM adalah tidak boleh diterima.
“Hakikatnya, defendan gagal memulangkan baki 43 barang kemas tersebut dan tidak dapat memberikan penjelasan memuaskan mengenai nasib barang kemas berkenaan.
“Dari sudut undang-undang, keadaan itu mewujudkan prima facie kecuaian,” katanya.
Mahkamah turut mendapati hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan dikenal pasti dalam prosiding pelucuthakan sebelum ini dan kemudiannya dipulangkan kepada syarikat plaintif.
Tiada bukti dikemukakan bahawa baki 43 barang kemas lain pernah dirampas pihak polis.
Dalam keputusan sama, mahkamah turut menegur kegagalan pihak pembelaan memanggil beberapa saksi utama yang didakwa terlibat secara langsung dalam pengendalian dan pemindahan barang kemas tersebut.
Menurut Quay, Rosmah sebelum ini mendakwa beberapa pengawal keselamatan, pengawal peribadi, kakitangan rumah serta seorang butler terlibat dalam proses pembungkusan, penyimpanan dan pemindahan barang kemas dari Seri Perdana ke Unit 45 Pavilion Residences.
Namun tiada seorang pun daripada individu tersebut dipanggil memberi keterangan di mahkamah.
“Defendan cuba bergantung kepada pengawal keselamatan, pengawal peribadi, kakitangan dan seorang butler yang tidak dinamakan untuk menjelaskan bagaimana barang kemas itu dibungkus, bagaimana beg dikunci dan bagaimana ia dipindahkan serta disimpan di Pavilion 45.
“Bagaimanapun, tiada seorang pun saksi penting tersebut dipanggil memberi keterangan ketika perbicaraan.
“Kegagalan itu melemahkan kes pembelaan defendan,” katanya.
Global Royalty Trading SAL memfailkan saman tersebut pada tahun 2023 selepas mendakwa barang kemas yang dihantar kepada Rosmah pada Februari 2018 tidak pernah dipulangkan.
Nilai keseluruhan 43 barang kemas yang masih hilang itu dianggarkan berjumlah AS$14.57 juta atau kira-kira RM67.4 juta mengikut kadar pertukaran semasa.
Pihak plaintif diwakili peguam Datuk David Gurupatham, manakala Rosmah diwakili peguam Rajivan Nambiar.
PDRM pula diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu menyaksikan Rosmah kini perlu menjelaskan jumlah ganti rugi yang diperintahkan mahkamah kecuali sekiranya terdapat sebarang tindakan lanjut melalui proses rayuan.