Tip & Cara Penjagaan Pokok Kucai Jika Tanam Dalam Pasu, Nak Potong Daun Pun Ada Tekniknya

Share

Daun kucai jika letak dalam sayur goreng, hidangan mi atau cucur memang sedap. Bau daun ini juga menambah selera. Bagi yang suka dengan daun ini elok juga cuba tanam sendiri. Bagi yang nak cuba boleh ikut panduan dan tip yang dikongsi oleh Mohd Amri ini.

Tip tanam daun kucai dalam pasu

Pokok kucai ini saya semai dari benih. Cuma untuk makluman kucai ini memang mengambil masa untuk bertunas. Lebih kurang tiga minggu juga, barulah boleh dipindahkan ke dalam pasu besar.

Yang menariknya, kali ini tanaman kucai saya mengeluarkan bunga yang sangat cantik bersama-sama dengan benih-benihnya. So, dapatlah saya gunakan untuk semai kucai baru nanti.

1. Peringkat semaian, saya menggunakan peatmoss kerana medium ini sangat membantu untuk proses semaian berlaku dengan lebih baik dan stabil. Setiap lubang semaian saya akan tabur 6-8 biji benih kucai. Proses semaian kebiasaannya akan ambil selama tiga minggu. Barulah dipindahkan ke dalam pasu yang lebih besar.

Anak pokok kucai usia 3 minggu

2. Jangan siram terus ke daun, sebaliknya siram secara mengelilingi pasu, iaitu terus kepada medium tanah atau apa apa medium yang dipakai.

3. Pembajaan, untuk pengguna baja organik, jangan terlalu kerap memberi baja atau terlalu banyak kuantiti yang diberi. Saya hanya guna 1 sudu setengah baja organik dua minggu sekali.

Bagi yang menggunakan baja AB, pastikan bacaan ec meter tidak melebihi 1.5 ec. Tapi disarankan tuan puan menggunakan baja organik. Jika pembajaan yang diberi terlalu kerap atau terlalu tinggi dosnya, daun kucai mudah rosak dan boleh mati.

4. Dari segi penjagaan, pokok kucai tidak atau jarang terkena serangan perosak. Hanya sekali sekala saya semburkan dengan cuka kayu. Di samping itu, penggunaan plant booster atau kita panggil sebagai vitamin pokok boleh diberikan seminggu sekali untuk memastikan daunnya lebat.

5. Untuk tuaian, teknik yang selalu saya gunakan ialah dengan memotong 2 hingga 3 inci dari perdu. Selepas itu, pokok kucai akan tumbuh semula.

Cantik kan bunga kucai ni.

Semoga bermanfaat.

Sumber: Mohd Amri

 

IKLAN