
Tragedi banjir Nepal, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bakal mengeluarkan sijil kematian bagi 54 rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam kejadian berkenaan selepas menerima pengesahan rasmi daripada kerajaan Nepal.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengeluaran sijil kematian itu tertakluk kepada prosedur perundangan negara berkenaan, selaras dengan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).
Perkembangan berkaitan tragedi banjir Nepal ini tentunya menjadi perhatian keluarga mangsa yang masih menantikan pengesahan rasmi mengenai status ahli keluarga masing-masing. Dalam keadaan penuh ketidakpastian, pengesahan daripada pihak berkuasa amat penting sebelum urusan dokumentasi selanjutnya dapat dilaksanakan.

Bagi keluarga yang terlibat, penantian tersebut bukan sahaja melibatkan soal emosi, malah turut berkait dengan pelbagai tanggungjawab harian yang perlu diteruskan meskipun berdepan situasi sukar.
Tempoh 12 Tahun Dipendekkan Kepada 45 Hari
Bagaimanapun, kerajaan Nepal telah meluluskan Ordinan Pengisytiharan Kematian Mangsa Bencana selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi rakan sejawatnya di negara berkenaan.
Menerusi ordinan tersebut, tempoh anggapan kematian yang sebelum ini mengambil masa 12 tahun kini dipendekkan kepada hanya 45 hari.
“Jadi, bila pengesahan itu datang daripada Kerajaan Nepal ke atas 54 orang (rakyat Malaysia) ini, JPN akan menyusul untuk mengeluarkan sijil kematian bagi memudahkan urusan para waris melakukan proses berikutnya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.
Kerjasama Waris Penting
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kelancaran proses berkenaan turut bergantung kepada kerjasama keluarga mangsa dalam melengkapkan dokumen yang diperlukan.
“Kerjasama daripada keluarga mangsa itu adalah prasyarat yang penting. Selesai urusan itu lagi cepat, cepatlah (pengisytiharan anggapan kematian) melibatkan 54 orang ini,” katanya.
Pengeluaran sijil kematian tersebut penting bagi memudahkan pelbagai urusan waris, terutama melibatkan keluarga yang kehilangan pencari nafkah utama dalam tragedi berkenaan.
Semoga segala urusan keluarga mangsa dipermudahkan dan mereka diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian ini.
Sumber : Sinar Harian

sekarang!
