Ads

Keluarga Reda Organ Allahyarham Muhammad Aidil Didermakan, Harap Jadi Amal Jariah

Kredit: Sinar Harian

Di sebalik kesedihan kehilangan anak bongsu, keluarga Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, memilih untuk mengizinkan organ Allahyarham didermakan bagi memberi peluang kehidupan kepada pesakit lain yang sedang menunggu pemindahan organ.

Ibunya, Che Sharifah Che Mat Soud, 63, berkata keputusan itu dibuat selepas pihak Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menerangkan keadaan Muhammad Aidil yang mengalami kematian otak selepas terbabit dalam kemalangan motosikal.

Menurutnya, organ Allahyarham masih berada dalam keadaan baik dan berpotensi untuk didermakan.

“Keluarga dimaklumkan kes ini satu dalam 20,000… jadi kami reda organ-organnya (arwah) didermakan.

“Pada mulanya memang berat untuk kami terima, tetapi apabila fikir ada pihak lebih memerlukan, kami rasa lebih baik organ itu diberikan kepada mereka.

“Lagipun arwah memang tidak pernah isi borang penderma organ. Cuma kami dimaklumkan oleh rakannya Muhammad Aidil pernah menyuarakan hasrat untuk menderma organ kerana tertarik melihat orang lain melakukan perkara itu.

“Kami dimaklumkan ada pesakit yang sedang menunggu, termasuk seorang bayi berusia 11 bulan yang bakal menerima buah pinggang. Kami berharap mungkin organ arwah dapat membantu pesakit itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Padang Tembak.

Ads

Keluarga Reda Organ Allahyarham Muhammad Aidil Didermakan, Harap Jadi Amal Jariah

Che Sharifah berkata pihak hospital turut memberi ruang kepada seluruh ahli keluarga untuk berbincang tanpa sebarang paksaan sebelum mereka sebulat suara bersetuju dengan pendermaan itu.

Walaupun kehilangan bekas graduan Diploma Pengurusan Pentadbiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang itu amat sukar diterima, keluarga reda dengan ketentuan Allah dan berharap sumbangan tersebut menjadi amal jariah buat Allahyarham.

“Kami fikir, arwah memang seorang yang suka bersedekah. Jadi, tidak apalah kalau organ-organnya dapat membantu orang lain yang memerlukan.

Ads

“Doktor beritahu keadaan organ arwah semuanya cantik. Dia masih muda, menjaga pemakanan, kesihatan dan tidak merokok.

“Keluarga bersetuju mendermakan organ dan tisu yang sesuai kecuali kulit,” katanya.

Sempat Belikan Burger Sebelum Kemalangan

Mengimbas kejadian sebelum kemalangan, Che Sharifah berkata Muhammad Aidil yang bekerja di sebuah kafe di Kota Bharu keluar menaiki motosikal untuk bertemu rakannya selepas menghantar makanan kepadanya.

Ads

Sebelum keluar semula, Allahyarham sempat membeli burger untuk ibunya dan bapa, Ahmad Zupardi Embong, 63.

“Dia memang anak yang baik. Setiap kali keluar, dia akan bersalam dan mencium tangan saya.

“Saya sempat pesan supaya bawa motosikal elok-elok. Selepas itu, saya masih boleh dengar bunyi motosikalnya semakin menjauh sebelum tiba-tiba seorang rakannya datang memaklumkan dia terbabit kemalangan.

“Masa itu burger yang dibelinya pun belum sempat saya habiskan,” katanya dalam nada sebak.

Menurut Che Sharifah, Muhammad Aidil seorang anak yang sangat menghormati orang tua dan tidak pernah berkira dengan keluarga walaupun tidak banyak bercakap.

Sumber: Sinar Harian

Dapatkan tip memancing, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Cerita Lain