
Kisah guru dari pedalaman Sabah ini sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila beliau bukan saja mengajar, malah turut menghasilkan inovasi sendiri untuk membantu murid belajar dengan lebih mudah.
Cikgu Lorenica Frenila Masundim atau lebih dikenali sebagai Cikgu Loren sebelum ini pernah tular kerana kebolehannya mengajar tulisan Jawi walaupun beliau bukan beragama Islam. Kini, beliau melangkah setapak lagi apabila berjaya membangunkan aplikasi Jawi yang boleh dimanfaatkan oleh murid, guru dan masyarakat umum.
Aplikasi yang dinamakan PAntaS baCA Jawi (PASCA-ج) ini dibangunkan bagi membantu pengguna menguasai kemahiran membaca tulisan Jawi dengan lebih mudah dan pantas. Usaha ini sangat bermakna terutama kepada mereka yang baru mahu mengenali asas tulisan Jawi tetapi tidak tahu mahu bermula dari mana.

Aplikasi Jawi bantu murid dan masyarakat belajar lebih mudah
Menurut laporan Utusan Malaysia, projek aplikasi ini mula dibangunkan sejak tahun 2025 sebagai sebahagian daripada kajian peringkat doktor falsafah (PhD) Cikgu Loren di bawah tajaan Kementerian Pendidikan menerusi Hadiah Latihan Persekutuan (HLPS).
Aplikasi ini bukan hanya sesuai digunakan oleh murid di sekolah, malah boleh dimanfaatkan oleh guru yang baru mengenali tulisan Jawi. Lebih menarik, ia juga terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan agama.
Bagi memastikan aplikasi ini benar-benar berkesan, PAntaS baCA Jawi telah melalui beberapa kali penambahbaikan sejak mula dibangunkan. Draf pertama PASCA-ج 1.0 menerima anugerah perak dalam International Teaching and Learning Innovation Competition 2025 (i-TLIC).
Versi 2.0 pula menerima anugerah emas dan anugerah khas dalam Pertandingan Inovasi Alam Melayu (IMAN25), manakala versi 3.0 meraih Anugerah Emas dalam Virtual Innovation Competition Exhibition VICE’25.
Terbaharu, versi 4.0 telah dibentangkan dalam pertandingan Anugerah Guru Inovatif (AGI 2026). Versi lebih interaktif iaitu PASCA-ج 5.0 pula dijadual dipamerkan dan dipertandingkan di Jakarta, Indonesia pada Jun nanti.
Menurut Cikgu Loren, aplikasi ini kelak boleh digunakan oleh masyarakat dalam dan luar negara yang boleh berbahasa Melayu. Ia juga bakal dimuat turun menerusi Play Store dan App Store apabila siap sepenuhnya.

Cabaran guru pedalaman tidak halang pembangunan aplikasi Jawi
Di sebalik usaha membangunkan aplikasi ini, Cikgu Loren sebenarnya menjalankan tugas sebagai guru di kawasan pedalaman. Tugas mendidik di lokasi terpencil bukan sesuatu yang mudah.
Guru-guru di pedalaman perlu berdepan pelbagai cabaran termasuk meredah jalan balak, sungai, lumpur dan cuaca tidak menentu demi memastikan anak-anak mendapat akses pendidikan yang sewajarnya.
Namun semua cabaran itu tidak mematahkan semangat beliau. Sebaliknya, Cikgu Loren terus mencari cara untuk membantu murid dan masyarakat setempat supaya tidak ketinggalan dalam pembelajaran.
Usaha seperti ini juga seiring dengan tema Hari Guru tahun ini, Guru Bitara Nadi Negara, yang memberi makna besar kepada warga pendidik terutama mereka yang berkhidmat di kawasan pedalaman.
Cikgu Loren pernah tular kerana mengajar tulisan Jawi
Nama Cikgu Loren mula menjadi sebutan ramai sekitar tahun 2024 selepas beliau berkongsi video mengajar tulisan Jawi kepada murid-muridnya di Facebook.
Video tersebut mendapat perhatian besar dan meraih lebih 1.4 juta tontonan. Ramai kagum kerana beliau yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Bawang K9, Beluran, Sabah mampu mengajar tulisan Jawi dengan baik walaupun bukan beragama Islam.
Menurut Cikgu Loren, tulisan Jawi merupakan sebahagian daripada kurikulum Bahasa Malaysia bagi murid tahun empat hingga enam sejak tahun 2020. Tujuannya adalah untuk membiasakan generasi muda dengan seni, warisan dan sejarah budaya Melayu.
Beliau pernah menjelaskan bahawa video itu dirakam sebagai kenang-kenangan selepas tamat sesi pembelajaran Jawi pada tahun tersebut.
“Sebagai rakyat Malaysia, penting untuk mengetahui tentang skrip sejarah ini. Mari kita hidup dengan aman tanpa negatif,” katanya.
Inovasi seperti PASCA-ج juga memperlihatkan bagaimana teknologi boleh digunakan untuk memelihara warisan budaya dan bahasa. Dalam era digital hari ini, penggunaan platform mudah alih mampu menjadikan proses pembelajaran lebih fleksibel serta mudah diakses walau di mana sahaja.
Ramai melihat usaha Cikgu Loren sebagai contoh terbaik bagaimana seorang guru mampu memberi impak besar bukan sahaja di bilik darjah, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan. Dengan adanya aplikasi ini, lebih ramai pengguna dijangka dapat mempelajari tulisan Jawi dengan cara yang lebih santai, moden dan sistematik.
Semangat yang ditunjukkan oleh beliau juga membuktikan bahawa guru di kawasan pedalaman mempunyai potensi besar untuk menghasilkan inovasi bertaraf antarabangsa jika diberikan sokongan dan peluang sewajarnya.
Sumber: Utusan Malaysia / Facebook Loren Fren
Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI
Download
sekarang!




