Selepas tujuh hari kelahiran anaknya, semalam Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid mengumumkan nama untuk puteri mereka.
Siti Aafiyah Binti Khalid nama diberi bagi menggantikan panggilannya Fatimah Az Zahra selama seminggu lalu.
Kata Siti nama itu dipilih bersempena doa yang diajarkan Nabi Muhammad SAW kepada bapa saudaranya, Al Abbas.Bermaksud segala yang baik-baik saja, ilham untuk nama tersebut tercetus ketika pasangan ini menunaikan umrah tahun lalu.
“Sepanjang di sana, saya sering mendengar doa berkenaan. Malah maksud Aafiyah juga merangkumi yang baik-baik saja.
“Sepanjang hamil, saya sering mendapat kiriman doa ini yang menyebut nama Aafiyah. Jadi, saya dan suami sepakat memilih nama ini,” kata Siti dalam majlis tahnik, cukur jambul dan aqiqah di kediamannya yang disempurnakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Zulkifli al-Bakri.
Sementara itu Datuk Khalid atau Datuk K, tidak berselindung dengan perasaannya yang terlalu gembira bila melihat hasrat isteri untuk bergelar ibu akhirnya tercapai.
“Happy sangat tengok hasrat Siti yang sekian lama nak jadi ibu tercapai. Perasaan saya bercampur baur, gembira, sedih kerana doa kami termakbul.
“Jika Siti menanti 11 tahun, saya menanti lebih lama hampir 18 tahun untuk dapat anak perempuan.
“Sebenarnya selepas rumah ini siap semua anak ada bilik masing-masing dan ada bilik disediakan untuk anak perempuan. Selepas sekian lama baru sekarang ia dihuni,”ujar Datuk K.
Dalam majlis itu juga Siti berkongsi pengalaman bersalin dan detik detik yang dilalui selepas tujuh hari bergelar ibu.
“Inilah impian dan doa saya yang menjadi kenyataan. Dulu usap-usap perut kini dah ada depan mata. Syukur kerana dia dilahirkan sempurna.
“Pengalaman melahirkan setiap wanita itu berbeza. Saya sendiri kehilangan banyak darah waktu bersalin tapi dengan kecekapan doktor yang merawat saya dapat dipulihkan.
“Saya ditahan satu hari di wad bersalin dan hari ketiga alhamdulillah saya dah boleh berjalan. Walaupun bersalin secara caesarean saya kuatkan diri dan semangat.
“Saya tak boleh terlalu takut untuk berjalan walaupun tahu ada luka. Tapi bila lihat bayi depan mata hilang segala sakit,”ujarnya.
Biarpun mengambil khidmat penjagaan berpantang Natalis ujar Siti dia turut dibantu oleh ibu dan juga ibu mentuanya. Malah turut mendapat sesi nasihat penyusuan istimewa dari menantunya Tya Ariffin.
“Saya bertuah ada ibu dan ibu mentua yang tinggal bersama. Saya ambil petua dari mereka. Tapi saya rasa cabaran besar selepas melahirkan adalah untuk susukan anak.
“Ya Allah, bukan senang. Tapi bila fikir mak saya boleh susukan lapan orang anak, kenapa saya seorang anak saja nak mengeluh.
“Saya juga bersyukur menantu banyak tolong saya dalam hal penyusuan. Dia beri tunjuk ajar apa yang perlu saya buat, apa yang perlu saya makan, pasangkan mesin dan sebagainya.
“Dia macam cikgu. Selalu mak yang ajar anak untuk susukan bayi, saya special sikit, menantu yang ajar,”ceritanya.
Akui Siti lagi selama menjadi ibu, dia juga sudah mula berjaga malam untuk menjaga dan menyusukan bayinya.
“Macam hari ini saya cuma tidur 3 jam saja sebab anak saya jenis yang siang tidur malam berjaga.
“Semakin dia membesar, dia makin kerap nak menyusu badan. Jadi sebagai ibu kena berkorban, sebab nak anak kita sihat,”ujarnya.
Siti selamat bersalin pada 19 Mac lalu secara pembedahan. Aafiyah dilahirkan dengan berat 3.55kg di Hospital Glen Eagle, Kuala Lumpur. Berita kelahiran anak penyanyi nombor satu tanah air ini disambut gembira oleh netizen.
Sejak beberapa tahun lalu memasuki bulan Ramadan pelakon popular Fazura mengenakan tudung. Begitu juga Ramadan kali ini.
Rata-rata peminat suka dengan penampilan sopan isteri Fattah Amin ini dan berharap dia terus tampil begitu.
Tapi beberapa hari lalu ramai yang kecewa bila Fazura memuat naik gambarnya tanpa tudung. Malah di ruangan komen ramai yang mempertikaikan tindakannya itu.
Jika sebelum ini dia berdiam diri dengan respon begini, tetapi baru-baru ini dalam satu komen peminatnya Fazura menjawab persoalan tersebut.
Peminat tersebut bertanya apa perasaannya bila dia membuka tudung selepas mengenakannya selama sebulan.
Menurut Fazura mengenakan tudung bukan semata-mata kerana menghormati bulan Ramadan yang mulia tapi juga sebagai satu persediaan untuk perubahan masa depannya yang bakal dilalui.
Ujarnya, dia kembali kepada imej lamanya tanpa hijab selepas Ramadan kerana setiap perjalanan hidup manusia yang diatur adalah berbeza. Apa yang diatur untuk dirinya tidak sama dengan wanita lain di dunia ini tak sama.
Dia cukup senang mengenakan hijab tapi dia tak mahu melakukannya separuh hati. Beliau percaya adalah penting untuk dia komited dengan perubahan itu dan melakukannya dengan seikhlas hati bila masanya tiba.
Satu persatu kisah menyentuh hati membabitkan enam anggota bomba yang terkorban dalam insiden lombong tinggal di Puchong dikongsi di media sosial.
Daripada kisah di lokasi hinggalah ahli keluarga mangsa yang terlibat. Terbaru adalah melibatkan allahyarham Yahya Ali, 24 tahun yang berasal dari Mukah Sarawak ini.
Pemergiannya meninggal ibu dan ayah tersayang selain tiga orang adik beradiknya. Arwah Disifatkan sebagai abang penyayang dan sentiasa mengambil berat perihal adik beradiknya.
Apa yang menyentuh hati, arwah sempat membeli dua utas barang kemas untuk dihadiahkan kepada adik-adiknya.
Perkara itu didedahkan oleh Zubaidahsbahii Idahyang juga kenalan rapat arwah Yahya. Dalam satu posting di Facebook beliau menceritakan bagaimana Yahya yang dianggap sebagai sebahagian keluarganya sempat membeli dua utas barang kemas untuk diberikan kepada adik-adiknya di Sarawak.
“Tak sempat nak post untuk keluarga di kampung. Takpe kita kat sini akan tolong post kan. Kepunyaan arwah untuk adik-adiknya di sarawak. Ya Allah semoga kau tempatkan anak ini di kalangan orang2 yg beriman. Amin,”tulisnya dalam satu posting.
Dalam pada itu wanita ini turut bertekad untuk menghantar barang kemas ini pada keluarga arwah di Sarawak sebagai untuk memenuhi hasrat yang tidak sempat ditunaikan itu.
Menurut Zubaidah dalam posting sebelum itu, arwah Yahya dianggap seperti anaknya sendiri. Hampir setiap hari dia bertemu dengan arwah malah mereka juga akan beraya bersama memandangkan keluarganya berada jauh di Sarawak.
Dalam pada itu posting Zubaidah ini juga tular di Facebook hingga mendapat ribuan komen yang rata-ratanya dipenuhi kata-kata doa untuk arwah selain takziah untuk keluarganya.
Sama-sama kita doakan agar roh Yahya serta lima lagi rakannya ditempatkan penghuni syurga. Amin.
Aritmia jantung dalam kalangan orang muda boleh berlaku tanpa simptom dan meningkatkan risiko henti jantung mengejut. Ketahui punca, tanda awal, pemeriksaan serta rawatan yang tersedia.