Macam-macam kuih moden ada sekarang tapi kuih tradisi juga yang selalu jadi pilihan hati. Antaranya apam kampung ini. Lama sungguh tak makan.
Cicah dengan kelapa parut memang sesedap rasa. Buat yang rindu nak makan jomlah kita buat sendiri. Apam kampung ini ada beberapa perisa tapi yang selalu kita makan apam pandan dan gula merah. Kalau rasa teringin nak makan boleh cuba buat sendiri ikut perkongsian Salmah Shahidan.
Cara buat apam kampung, macam-macam jenis
Apam kampung cicah dengan kelapa parut, sesekali makan memang sedap. Dengan guna resipi yang sama kita buat pelbagai jenis apam sama ada apam ros, apam pandan, apam gula Melaka, apam biasa.
Bahan-bahan:
3 cawan tepung gandum
1/2 paket (11 gm) mauripan + 1 sudu kecil gula dibancuh dengan 1/2 cawan air (biar sampai yis kembang)
3/4 cawan gula putih (jika suka manis guna 1 cawan)
1 1/2 cawan air
1 sudu teh garam
Sedikit perwarna dan perisa
Kelapa parut putih
Cara membuat:
1. Rendam yis sehingga kembang dahulu baru masukkan semua bahan ke dalam bekas. Kacau hingga gula larut & sebati menggunakan whisk.
2. Kacau rata dan perap lebih kurang 1- 2 jam. Bancuhan akan naik sekali ganda atau dua kali ganda.
3. Sapu loyang 10 inci dengan minyak dahulu kemudian tuang adunan ke dalam loyang dan kukus dengan api besar untuk tempoh 1/2 jam atau 45 minit.
4. Untuk tentukan apam dah masak, boleh cucuk ngan lidi jika apam tak lekat bermakna dah masak. Sejukkan dan bolehlah dipotong. Hidang dengan kelapa parut putih yang digaul dengan garam.
Apam pandan – Jika nak perisa daun pandan kisar 7 – 10 helai daun pandan dengan 1 cawan air dan pewarna hijau jika perlu.
Apam rose – Kalau nak buat apam rose, letak esen rose dalam 2 sudu kecil dan perwarna merah.
Apam gula merah – Untuk apam gula merah guna 1/2 cawan gula pasir dengan 1/2 cawan gula merah. Masak gula dengan 1 1/2 cawan air dan tapis.
Apam kuning dan ori – Jika nak buat apam kuning diraja tambah saja pewarna kuning. Untuk apam kampung ori tak perlu letak pewarna. Putih saja.
Selamat mencuba.
Sumber: Salmah Shahidan