
Isi Kandungan
ToggleCucur bantal ini elok sangat di buat waktu petang kalau tengah hari masak kari ayam atau sambal sardin. Boleh cicah dengan lauk tadi.
Cucur bantal ini garing di luar dan berongga di dalamnya memang kena sangat untuk menyicah. Nak buat untuk menu sarapan pun boleh. Cara membuatnya dikongsi oleh Mariana Zainal.
Buat cucur bantal untuk menyicah petang-petang
Bahan-bahan
2 1/2 cawan tepung gandum
2 sudu besar Planta/ mentega
2 sudu besar gula pasir
1 sudu besar yis kering mauripan
1 sudu kecil baking soda
2 cubit garam
1 cawan air suam
Cara membuat
1. Dalam satu besen, satukan mauripan, gula, air suam. Kacau hingga larut. Masukan tepung, baking soda, Planta dan garam. Uli sebati selama 8-10 minit.
2. Peram adunan selama 1 1/2 jam dalam bekas yang bertutup.
3. Selepas itu tumbuk tumbuk adunan untuk buang angin dalam doh dan uli.
4. Tabur tepung dan letakkan doh. Gelek leper tapi jangan terlalu nipis. Tabur tepung lagi. Potong adunan menjadi segi empat tepat tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil.
5. Biarkan 10 minit dan bolehlah digoreng dalam minyak yang panas guna api sederhana. Bila warna sudah perang dan garing bolehlah angkat dan toskan. Sedia untuk dimakan bersama kari ayam, sambal bilis, sambal sardin dan kuah kacang.
Selamat mencuba.
Sumber:Mariana Zainal.
Tanam Kangkung Dalam Bekas Air Bertakung Lagi Mudah. Rendam Batang Sampai Berakar, Alih Dalam Bekas

Isi Kandungan
ToggleKalau baru nak belajar tanam sayur, elok mulakan dengan tanam kangkung. Memang mudah.
Beli saja sayur kangkung di pasar dan rendam batangnya beberapa hari, dah boleh tanam. Selain itu rupanya tanam kangkung ini ada dua cara, boleh cucuk pada tanah dan tanam dalam air. Kedua kaedah tanam kangkung mudah ini dikongsi oleh Fatimah Naamat.
2 cara tanam kangkung dalam tanah dan air bertakung
Sayur ni kami panggil Kangkung Paya atau kangkung kampung. Kangkung ni tumbuh liar dekat paya atau mana-mana dalam hutan. Selalunya orang kat pasar tani dijual seikat RM2.
Walaupun murah, tapi dek kerana asyik beli je tiap minggu (sebab sayur favourite atuk) saya cubalah tanam. Hasilnya dapatlah jimat beberapa ringgit seminggu. Tapi kalau setahun banyak jugalah jadinya kan?
Lagipun tak payah tunggu pasar tani dah. Anytime nak makan pun boleh petik. Setakat nak goreng mihun ambil sikit dah okay sangat.
Jadi di sini saya nak kongsikan cara tanam kangkung yang mudah. Ada 2 jenis macam dalam gambar. Kedua-dua cara tanam kangkung ni pun senang.
2 cara mudah tanam kangkung
1. Ambil pucuk dan batang kangkung
Masa beli kangkung dekat pasar tu, sila ambil daun buat goreng sayur. Tinggalkan pucuk atas sekali dan batang dia.
Kalau ada pucuk, pokok kangkung akan cepat tumbuh. Tapi kalau terpotong pucuknya pun tak apa sebab masih boleh ditanam dan ia akan hidup juga.
2. Rendam
Rendamkan kejap dalam 2/3 hari untuk bagi akarnya keluar. Kadang-kadang saya rendam sampai seminggu sebab tak sempat nak menanam.
3. Dua cara tanam kangkung
i) Tanam dalam tanah
Boleh tanam dalam campuran tanah. Tim suka campuran tanah 1:1:1. Pasir : Tanah Merah : Kompos. Atau kalau tak ada pasir pun tak apa sebab kangkung nak air banyak.
ii) Tanam dalam air bertakung
Boleh juga tanam dalam air bertakung. Saya bubuh tanah ikut nisbah macam cara di atas cuma tak tebuk lubang.
Jadi bila tak ada lubang, airnya akan bertakung dan kelebihannya ialah kita tak perlu siram selalu. Cara ini sesuai untuk yang selalu sibuk.
Tapi kena pastikan tak ada nyamuk yang bersarang dalam takungan air tu ya. Kiranya saya ada sepasu kangkung yang ada lubang dan ada sepasu lagi yang tak ada lubang.
Cuma saya rasa pasu yang ada lubang pokok dia lebih cepat gemuk berbanding pasu yang bertakung air.
4. Letak kangkung di tempat redup untuk 2 minggu.
Selepas 2 minggu pindahkan ke tempat panas. Tengok daun dia lecur ke tak bila kena panas. Kalau macam layu atau lecur, pindah balik tempat redup.
5. Lepas 4 minggu boleh tuai
Kangkung ini dah boleh tuai lepas 4 minggu. Kemudian selepas 2 minggu tuai lagi. Atau tuai bila-bila nak masak. Batang pucuk yang dipotong tu boleh ditanam semula.
Kalau nak sentiasa banyak stok, tanamlah banyak-banyak. Saya pun nak tanam lagi beberapa pasu supaya stok sentiasa banyak.
Mudah kan?
Selamat mencuba.
Sumber: Fatimah Naamat
Tip Buat Bawang & Cili Kisar Tahan Sampai 3 Bulan. Boleh Buat Banyak Terus!

Isi Kandungan
ToggleRamai ibu yang suka buat persiapan untuk memudahkan kerja memasak. Perkara yang mesti ada adalah stok cili dan bawang kisar.
Tapi selalu terjadi dah buat stok, tak sampai seminggu naik kulat atau bawang dah bertukar warna. Bagi memastikan stok bahan kisar ini tahan sampai 3 bulan boleh ikut perkongsian dari Cik Dayang Zuhaila. Cara ini kita boleh buat banyak terus.
Tip simpan stok bawang kisar, tahan 3 bulan
Cara simpan bawang, cili kisar supaya tahan lama, senang nak masak lauk pauk atau goreng-goreng. Terus cedok saja.
Stok ini kalau rajin masak 2 minggu dah habis. Tapi kalau malas masak stok ini 3 bulan pun boleh tahan, masih elok lagi. Wajib simpan dalam peti ais.
1. Cara buat cili kisar
Gunting cili kering kecil-kecil lebih kurang 1 inci, kemudian buang biji cili. Rebus cili kering sampai lembut. Masukkan garam dan sedikit minyak bagi cepat lembut. Kemudian tapis, bilas dengan air.
Masukkan cili dalam blender. Kisar sambil masuk air bertapis sikit sekadar blender boleh putar. Dah lumat, masukkan ke dalam bekas yang kering dan letakkan sedikit asam keping, simpan di dalam peti ais. Boleh tahan hingga 3 bulan ke atas cili kering ini.
2. Cara buat bawang besar kisar
Satu kilo bawang besar, hiris kecil supaya senang nak kisar. Kisar bawang sikit-sikit bersama dengan minyak. Anggaran minyak masak lebih kurang separuh dari jumlah bawang.
Kalau nak letak air saja pun boleh cuma pastikan sikit saja untuk senang kisar bawang. Sebab itu bawang kena potong kecil. Dah lumat masukkan ke dalam bekas yang kering. Letak sesudu garam di atas permukaan bawang kisar sebelum simpan dalam peti ais. Boleh tahan 1 bulan ke 2 bulan bawang kisar ni tau.
3. Cara buat bawang putih kisar
Setengah kilo bawang putih dikupas, cuci dan hiris kecil. Kisar bawang bersama air bertapis anggaran air tak sampai separuh dari jumlah bawang.
Dah siap kisar masukkan ke dalam bekas yang kering. Boleh tahan 2 bulan bawang putih ni tau.
4. Cara buat halia kisar
Setengah kilo halia dibuang kulit, cuci dan potong kecil. Memang wajib potong kecil sebab mudah nak kisar. Kisar halia dengan sedikit air. Boleh juga kisar separuh dulu halia dengan suku air. Bila halia dah lumat masukkan lagi baki halia yang lain sedikit demi sedikit sampai habis.
Halia jenis banyak air. Jangan letak air banyak tau. Dah siap blender, masukkan dalam bekas yang kering. Boleh tahan 2 bulan.
Tip penting untuk lebih bertahan lama
- Setiap kali cedok bahan ini pastikan guna camca/sudu yang kering dan bersih. Jangan gunakan sudu yang sama untuk cedok cili bawang, cedok halia pulak. NO!
- Kalau nak guna cili, ceduk guna sudu asing, begitu juga bila untuk bahan kisar lain. Penting supaya bahan ini tak cepat berkulat.
Semoga bermanfaat
Sumber: Cik Dayang Zuhaila
Dapur Lama Tapi Maintain Kemas & Bersih. Tip Mudah Wanita Ini, Jangan Letak Barang Atas Table Top!

Isi Kandungan
ToggleDapur usia dah berbelas tahun tapi kekal bersih dan kemas. Tiada pun kesan kotor sana sini walaupun warnanya cerah.
Rupanya pemilik dapur ini Jenn Lee Goldfish memang sangat menekankan kekemasan dan kebersihan bahagian ini. Salah satu tip yang dikongsi supaya dapur sentiasa kemas adalah jangan letak barang di bahagian atas dapur!
Seterusnya ini tip lain yang beliau titipkan, yang juga boleh kita praktikkan.
Cara jaga dapur supaya sentiasa kemas dan bersih
Kelmarin saya post dapur yang belum siap kan? Ramai yang rasa cantik tapi saya mahu kongsi macam mana cara jaga dapur. Gambar ini adalah rumah saya sekarang yang sudah 14 tahun saya tinggal.
1. Jangan letak barang atas dapur
Saya tidak suka simpan banyak barang atas dapur, semua dalam kabinet termasuklah gula, garam kicap minyak masak. Tiada yang berada di luar kecuali sudu garfu, yang lain haram sekali untuk berada Di atas meja dapur.
Mungkin ada yang akan cakap ehh si Jenn tidak masak di rumah. Suami saya selalu masak. Tapi dia pun terikut sudah gaya saya yang mengharamkan barang di atas meja.
2. Kain lap jangan letak merata
Kain lap meja jangan sesekali letak merata. Belilah towel yang cantik sikit harga RM4 di Mr Diy ada 3 keping tu. Lepas lap, keringkan di luar rumah jangan sidai di mana-mana bahagian dapur.
3. Plastik terpakai kena lipat
Plastik terpakai jangan main sumbat sahaja, lipat cantik cantik dan masuk satu bekas. Ini perlu dijadikan aktiviti keluarga. Ajar anak anak tolong lipat.
4. Lepas masak mop lantai, lap dapur sampai berkilat
Lepas masak, jadikan habit untuk mop lantai, lap dapur memasak sampai kilat. Piring mangkuk, lepas makan kena terus cuci, tiada orang lain akan tolong cuci. Siapa makan terus cuci sendiri, bukannya cacat pun.
5. Alas meja pilih yang tiada corak
Kalau dapur kamu lapis mejanya pakai tikar getah, pilih yang tiada corak, atau pilih yang corak marble supaya dapur kamu nampak selesa, tidak sesak.
6. Langsir dapur
Jangan simpan langsir warna terang di dapur. Pakai warna putih kalau mahu ada langsir supaya dapur nampak luas. Dapur saya tiada langsir supaya senang mau tengok di luar waktu malam.
Walaupun hidup kami sederhana, hati senang bila barang tidak banyak berterabur. Rezeki senang masuk, suami isteri jarang berselisih faham.
Dapur ialah nyawa kita, sumber rezeki. Jangan sesakkan dapur kita dengan barang barang yang kita fikir mahu guna nanti. Saya baru buang 3 plastik besar barang minggu lalu sebab saya tidak pakai juga. Less is more.
Sumber: Jenn Lee Goldfish