
Lepas makan buah oren, kita selalunya akan buang saja kulitnya. Tapi sebenarnya kulit oren ini boleh jadi bahan pencuci yang cukup berkesan.
Ia boleh membersihkan meja makan, table top dan juga lantai. Paling best bila dah guna baunya cukup menyegarkan. Harum satu rumah.
Cara membuat bahan pencuci dari kulit oren ini dikongsi oleh Ummu Uwais Azizah
Sejak ada anak yang mula masuk fasa meniarap menyusur ni. Mula buat kerja sapuan atas lantai, pastilah seboleh mungkin nak elakkan penggunaan pencuci komersial yang berisiko menyebabkan alahan.
Aha, dah lama tak buat pencuci homemade ini. Mudah sangat, guna dua bahan sahaja. Yang pasti wangi Oren tu macam EO Oren dah. Aroma Oren / lemon ni boleh release stress tau.
Cuma 2 bahan saja
Bahan-bahan:
- Cuka tiruan
- Kulit oren/ lemon
Cara membuat
- Gunting kulit oren/lemon jadi kecil
- Tambah cuka tiruan sampai penuh / menutupi semua kulit oren/lemon
- Tutup botol.
- Peram selama seminggu dua dan sedia digunakan.
Cara guna
1. Untuk cuci ‘table top’ dapur – lembapkan kain dengan air, tambah sedikit larutan cuka citrus ni. Boleh buat sapuan di dapur tanpa bilas.
Jika nak jadikan pencuci lebih berkesan terutama kesan minyak, campurkan larutan cuka citrus ini dengan sesudu dua soda bikarbonat. Tapi yang ini kena bilas semula dengan air.
2. Untuk lantai -lembapkan kain mop atau apa-apa kain untuk lap lantai. Tambah sedikit larutan citrus ini. Wangi je bau lantai nanti. Oren segar. (Tak perlu tambah soda dan tak perlu bilas kecuali lantai terlalu Kotor boleh tambah soda bikarbonat)
Berapa lama tahan?
– Selagi kulit oren terendam penuh atau tak terdedah udara, tahan lama sebulan atau mungkin lebih.
– Jika dah ambil cuka rendaman kulit oren tersebut, boleh tambah cuka baru hingga penuh menutupi kulit oren.
– Kulit Oren yang tidak terendam penuh akan berkulat dan berbau tak wangi.
Boleh guna kulit limau nipis, limau purut dan segala jenis buahan citrus.
Sumber: Ummu Uwais Azizah
Kebun Sayur Guna Kotak Polisterin Terpakai Tetap Menjadi & Subur, Macam-Macam Sayur Boleh Tanam

Menggunakan bahan terpakai di rumah iaitu kotak polisterin wanita ini menjadikannya sebagai tapak untuk kebun sayurnya.
Macam-macam ditanam oleh Suriani Lin Mat Din dalam kotak tersebut, kailan, sawi, bayam, salad, cili dan pelbagai lagi untuk makanan sekeluarga. Memang teruja melihat sayur-sayurnya yang subur.
Cara penanaman ini kata Suriani sudah hampir tiga tahun dipraktikkan. Ujarnya jika kotak polisterin tidak bocor, ia akan dijadikan untuk penanaman hidroponik. Sekiranya bocor, kotaknya akan jadi tempat penanaman sayur yang mudah dijaga.
Ini hasil tanaman dalam kotak polisterin terpakai yang diusahakan beliau.
Tanam sayur kaedah hidroponik guna bahan kitar semula
Dalam pada itu Suriani juga turut menunjukkan cara menanam sayur menggunakan bahan kitar semula yang dipraktikkan.
1. Bahannya kotak polisterin bersama penutupnya, botol air, dan tali mop.
2. Potong dua botol, ambil bahagian atas dan tebuk lubang pada penutup.
3. Buat lubang pada penutup kotak polisterin kemudian letak botol yang ditebuk tadi secara terbalik. Letak tali mop melalui lubang penutup botol dan simpul supaya tak melurut nanti. Nanti akar sayur akar tumbuh melaluinya.
4. Kemudian boleh isi dengan sedikit cocopeat. Setelah itu tanam anak benih sayur.
5. Isikan air baja AB dalam takungan dan sayur tadi di atasnya (yang ini saya gunakan tray terpakai sebagai takungan). Pastikan bancuhan baja ikut arahan yang diberikan. Guna air paip yang ditakung semalaman, air hujan atau air yang ditapis untuk membancuh baja AB.
6. Tambah air baja bila dah tinggal separuh. Letak set ini di tempat yang teduh, contoh tepi rumah. Elak terkena hujan (tempias tak mengapa) supaya air baja tak melimpah.
Boleh lihat perkembangan pokok salad yang ditanam guna kaedah ini.
Selepas 10 hari
Selepas 16 hari
Selepas 30 hari
Sebelum ini menggunakan cawan plastik
Hasilnya semua subur-subur belaka.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Suriani Lin Mat Din
Hati-hati Pilih Oat Untuk Turunkan Berat, Nampak Sama Tapi Ada Yang Tinggi Gula

Bagi mereka yang nak turunkan berat badan, oat selalu jadi makanan pilihan walaupun tak sedap rasanya. Sebabnya ia adalah makanan yang mengenyangkan tapi pada masa yang sama dikatakan tidak akan menaikkan berat.
Tapi masalahnya sekarang ada pelbagai jenis oat yang dijual di pasaran salah pilih usaha diet dengan oat boleh jadi sia-sia. Lebih serius, kadar gula dalam darah pulak yang nak mencanak seperti info perkongsian daripada Dr Hafiz Sulaiman.
Bagi anda yang mengamalkan oat, sila ikut panduan daripada doktor ini.
Jenis-jenis oat, sama tapi tak serupa
Dah lama nak buat perkongsian berkenaan perbezaan oats ini. Hari ni saya sempat curi masa pergi Tesco tengok label produk oats untuk kepastian dan rujukan.
Ada beberapa jenis yang popular, Instant, Quick dan flavoured. Bagi yang diet untuk kurus dan sihat, pemilihan jenis oat yang sesuai mungkin memberi impak yang berbeza dengan ketara.
Saya merasa perlunya membuat perkongsian ini kerana terdapat nasihat kurang tepat tentang perkara ini. Pengambilan “instant oats” dan “quick oats” dikatakan sama sahaja kesannya kepada kesihatan.
Jika dilihat kandungan jenama oats popular, kandungan nutrisi pada label Instant dan Quick Oats adalah sama 100%. Tiada beza langsung. Adakah kandungan di dalamnya berbeza tapi tak dinyatakan?
Saya tidak rasa begitu. Kandungannya adalah 100% oats tanpa pengawet dan tanpa aditif tambahan. Maka apakah impak pada kesihatan adalah serupa antara kedua jenis oat ini? Tidak tuan puan. Ini yang dikatakan sama tapi tak serupa.
Beza antara instant oats dan quick oats ialah kaedah pemprosesannya
Instant oats merupakan oat yang paling banyak diproses. Ia sudah sedia masak, dikeringkan, digelek dan dilenyek sangat nipis. Maka teksturnya sangat halus dan berkrim apabila bercampur dengan air panas. Oat jenis segera ini boleh terus dimakan!
Quick oats pula ialah oat instant yang dipotong kurang nipis berbanding instant oat. Maka ia perlu dimasak seminit dua.
Rolled oats merupakan oat yang sudah digelek namun belum dimasak . Rolled oats juga dipotong lebih tebal. Maka ia perlu dimasak selama lebih kurang 5 minit. Ia juga dipanggil oat “peseng lama” oleh orang Terengganu . Beginilah caranya oat dimakan oleh orang putih zaman dahulu kala. Potong halus dan gelek, lepas tu masak atas dapur.
Oat yang paling kurang diproses ialah oat jenis “steel cut”. Oat jenis ini dipotong kasar-kasar daripada bijirin oat yang dipanggil oat groat. Bila dikunyah rasanya kenyal dan kekacangan sedikit perisanya.
Apabila diperhatikan pemprosesannya adalah secara fizikal semata tanpa bahan aditif apatah lagi bahan kimia. Kandungan nutrisi di dalam kesemua jenis oats masih sama walaupun berat semuanya sama.
Namun begitu, perbezaan paling besar yang memberi impak kepada kesihatan ialah “KADAR PENYERAPANNYA.” Semakin halus sesuatu oatmeal, semakin cepat penyerapannya ke dalam badan. Walaupun jumlah serat di dalamnya sama.
Awas kadar gula oats instant, boleh mencanak naik gula darah!
Steel cuts paling kurang diserap menjadi gula ke dalam darah. Rolled oats lebih mudah diserap.
Akhirnya quick oats dan instant oats paling senang diserap ke dalam darah sebagai gula.
Makan oats instant (dan quick) dari sudut kadar penyerapan gula adalah lebih dahsyat daripada minum air Coke dan Fanta berdesup gula darah naik mencanak!
Oats instant punyai indeks glisemik yang sangat tinggi. Rujuk indeks glisemik dari Universiti Harvard. Lebih tinggi indeks glisemik, lebih tinggilah penyerapannya ke dalam darah sebagai gula.
Tinggi gula dalam darah bukan sahaja bahaya kepada pesakit kencing manis, tetapi juga meningkatkan KERADANGAN..sakit sendi, sakit jantung, kanser, buah pinggang dan banyak sistem dalam badan jadi punah sebab gula darah tinggi.
Ingat oat segera, ingat gula
Gula tinggi dalam darah juga sebenarnya punca kegemukan. Lemak badan tak jadi kembang sebab makan banyak makanan berlemak. Tetapi lemak badan makin berkumpul dengan pengambilan gula berlebihan.
Macam mana nak sukat pengambilan gula berlebihan atau tidak ni. Senang saja tuan-tuan puan puan. Selagi boroi dikandung badan, selagi itulah maknanya gula/karbohidrat dalam diet kita masih berlebihan.
Ironi sebab orang takut makanan kolesterol dan berlemak sebab takut gemuk, walhal ia bukan penyebab kegemukan yang saintifik. Tetapi gula tinggi hasil daripada pemakanan tinggi indeks glisemik seperti instant oat inilah yang menyebabkan kita jadi semakin lapar, ketagihan makanan dan mengganggu aktiviti metabolik (hormon, biokimia) badan.
Ingat oat segera, ingat gula. Lupakan saja badan kurus atau sihat kalau masih ambil oats. Serat larut atau tidak, ia tidak akan “meneutralkan” kesan toksik gula berlebihan di dalam darah. Jangan buat kelakar.
Jangan termakan dengan fakta serat tinggi dalam instant oat bagus untuk jantung. Semua itu sudah diukur melalui indeks glisemik ya. Serat larut itu bagus untuk kesihatan jantung, tetapi gula berlebihan lebih bahaya untuk jantung. Pengeluar tak tipu dengan kata kandungan serat kesemua oat itu sama. Namun, pengeluar tak cerita pulak penyerapan gula dalam badan jadi tinggi!
Makanlah rolled oats
Bukan kata tak boleh makan oats. Makan lah rolled oats. Jika rajin, boleh cari steel cuts, kalau sanggup boleh makan oat groat itu boleh jadi lebih baik. Mungkin tidak hehe… Saya akan ceritakan lagi mengenai oats sebab ramai orang kita sukaa sangat oats ini.
Update: Cadangan pakar diet Tuan Hafiz Rosli yang sangat bernas. Jika nak kurangkan peningkatan gula darah apabila makan oat instant, jangan biarkan kosong. Kurangkan kuantiti dan tambahkan susu atau buah tinggi serat insha Allah lebih kenyang dan gula lebih cantik. Terima kasih atas cadangan bernas tuan.
Untuk pengetahuan tuan puan, pengambilan lauk lemak haiwan dan serat dalam sayuran juga mengurangkan penyerapan nasi putih sebagai gula dalam darah.
Update: Bagi yang ada masalah angin/GERD/alahan dan alergi/kembung dan dapat reaksi lepas makan oats, rolled oats mungkin beri reaksi lebih teruk. Pulihkan dulu perut. Kaedah pemakanan pemulihan di sini.
Pilihlah yang lebih selamat ya. Dah nenek moyang makan nasik, korang nak makan oats pulak!
Sumber: Dr Hafiz Sulaiman
Cara Masak Butter Prawn Dengan Sarang Halus Macam Makan Di Restoren Seafood

Ramai yang cuba buat udang mentega atau butter prawn di rumah tapi masalahnya sarangnya selalu tak menjadi macam yang kita makan di restoren. Tak halus.
Lepas boleh cuba lagi, kali ini ikut teknik yang dikongsi oleh Marina Ismail ini ya. Yang penting katanya guna senduk bulat, kuning telur tuang tinggi.
Udang goreng mentega dengan sarang telur
Bahan Sarang Telur
2 biji kuning telur
1 senduk butter
1senduk minyak masak
Cara membuat:
1.Pukul kuning telur. Panaskan butter dengan minyak masak. Guna senduk bulat tau. Bila minyak dalam kuali tu dah betul-betul panas, pusing pusingkan minyak dengan senduk laju-laju bentuk bulatan sehala, jangan berhenti.
2.Kemudian tuang kuning telur tadi, tuang tinggi ya supaya bancuhan telur jatuh dalam kuali halus saja. Maintain pusing minyak dengan senduk laju laju dan tuang sampai habis. Jangan berhenti pusing senduk sampai telur masak warna keemasan.
3. Dah masak, tuang dalam tapis besi untuk toskan minyak.
Bahan Udang Butter:
500gm ekor udang
Sedikit garam
Sedikit lada sulah
Minyak untuk goreng
3-4 ulas bawang putih – dicincang
6-8 tangkai cili padi – hiris
4 tangkai daun kari
1/4 cawan susu cair
Sedikit butter untuk tumis
Sedikit serbuk lada sulah
Cara membuat
1. Memula goreng dulu udang yang dah gaul dengan garam dan lada sulah hingga berubah warna dan masak. Jangan goreng lama sangat nanti udang tu akan mengecut sangat dan jadi tak cantik selain keras bila makan. Angkat, toskan. Keluarkan minyak dari kuali.
2. Panaskan butter dalam kuali, tumis bawang putih, cili padi dan daun kari sampai garing dan naik bau.
3. Masukkan susu cair dan masak sekejap. Masuk pulak udang yang dah goreng tadi, sedikit serbuk lada sulah dan garam secukup rasa. Jangan bubuh banyak sangat garam sebab butter dah ada masin.
4. Dah masak semua, masuk dalam pinggan dan tabur sarang atau floss telur yang buat tadi. Dengan pantas dah siap. Senang kan.
TIP
- Boleh juga letak telur dalam plastik dan buat lubang yang kecik atau letak dalam acuan roti jala untuk lebih senang tuang ke dalam kuali supaya lebih halus.
- Sentiasa kacau minyak secara membulat dengan senduk masa tuang telur dalam minyak supaya sarang telur jadi halus cantik.
- Jangan goreng udang terlalu lama untuk elakkan udang keras.
Sumber: Marina Ismail