Ramai antara kita yang menanam pokok buah keliling rumah tapi hasil buah tak memberangsangkan. Buah tak lebat, tak manis dan banyak yang buruk atau dimakan ulat.
Agar pokok tak kira jambu, mangga, durian dan sebagainya menghasilkan buah yang elok, dan lebat boleh praktikkan dua jenis air semburan ini.
Dikongsi oleh Sasya Arisya, beliau mempraktikkan dua jenis semburan ini pada pokok jambu yang ditanam.
Sebelum ini buah jambu kurang lebat dan serta buahnya banyak berulat tapi setelah menyembur air baja dan air racun untuk elak serangga ini, pokok jambu berbuah lebat dan manis.
2 jenis air semburan untuk pokok buah
Saya kongsikan sekali tip & cara bancuhan baja dan racun yang saya praktikkan.
1. Semburan untuk elak serangga perosak/ lalat buah
Bahan yang diperlukan:
-100ml air tembakau
– 3ml cuka kayu
– 5ml sabun pencuci pinggan(tak kisah jenama apa pun)
– Botol spray( boleh beli di kedai ECO)
– Penyukat (Saya guna penutup ubat yg tidak digunakan lagi)
Cara membancuh:
-Campur semua bahan & boleh terus digunakan.
-Sembur ke pokok, daun atau serangga.
-Lebih disarankan sembur waktu petang selepas jam 6 petang atau malam sebab serangga aktif waktu malam.
2. Air baja Yakult
Ia merupakan hormon untuk pokok berbuah lebat, sesuai untuk semua jenis tanaman.
Bahan yang diperlukan:
-2 biji telur
-1 botol yakult
-1 botol mineral (tanpa air, botol sahaja)
Cara membancuh:
-Pecahkan telur kemudian masukkan dalam botol mineral guna corong. Masukkan sebotol yakult.
-Tutup botol & goncang hingga sebati.
-Sebelum perap, kempiskan botol baru tutup penutup botol.
-Perap selama seminggu.
-Simpan ditempat bersuhu bilik, elakkan terkena cahaya matahari.
Cara guna:
- Untuk buat semburan ke pokok bancuh 2-3 sudu besar air baja ini dan campur dengan 20 liter air.
- Untuk siraman ke tanah, bancuh 5 sudu besar air baja bersama 20 liter air.
Siram/sembur pagi & petang. Seminggu sekali pun cukup.
Selamat mencuba
Sumber: Sasya Arisya
Buat Sendiri Bihun Sup Utara, 2 Bahan Ini Mesti Ada. Rasa Sup Memang Mantap Sedap!
Makan bihun sup dengan sambal kicap dah biasa, sekali sekala kita layan pulak bihun sup utara. Orang pantai timur atau selatan pun boleh buat, takde hal.
Bihun sup utara ini, wajibnya bihun mesti kuning dan cabai atau sambalnya mesti merah. Rasa supnya memang tip top sedap bila tambah tulang dan lemak, confirm berpeluh sambil hirup kuah. Kalau teringin nak buat boleh buat resipi yang dikongsi oleh Zaini Talib.
Bihun sup utara (sup tulang)
Cara buat bihun kuning
1 paket bihun
1 sudu makan atau kurang serbuk kunyit
1.Rebus bihun dalam air yang mendidih yang ditambah serbuk kunyit tadi.
2. Dah lembut bihun terus bilas dengan air paip kemudian ditapis atau tos.
Bahan-bahan sup
1 kilo tulang – dicampur sedikit daging pejal atau urat atau lemak lagi sedap supnya
2 batang serai – ketuk
2-3 inci halia – diketuk
4 ulas bawang putih- ditumbuk
4 ulas bawang merah kecil- ditumbuk
1 batang kulit kayu manis
1/2 sudu kecil bunga cengkih – ditumbuk kasar
1/2 sudu kecil lada hitam – ditumbuk kasar
3 bunga lawang
4 biji buah pelaga
Sedikit batang daun sup
Cara membuat
1. Masuk air secukupnya – menutupi daging, kalau nak lebih banyak air lebihkan bahan sup di atas.
2. Masukkan semua bahan bahan dalam periuk. Rebus sehingga empuk kemudian masukkan garam atau perasa jika suka.
3. Selepas sup masak boleh masukkan bawang merah dan bawang putih yang telah digoreng ke dalam sup (jika mahu).
Bahan untuk cabai merah
Cili kering – siap kisar atau cili boh
Sedikit bawang putih dan bawang merah kecil- ditumbuk
Asam keping atau air asam jawa atau cuka
Garam
Gula
Cara membuat
- Tumis bawang kemudian masukkan cili, masak sampai pecah minyak.
2. Masukkan asam keping atau air asam jawa atau cuka, garam dan gula.
3. Boleh juga masukkan sedikit sos cili jika tak nak masukkan gula.
Bahan sampingan untuk dimakan bersama bihun sup
Daun bawang
Daun sup
Lobak masin
Bawang goreng
Tauhu digoreng
Bihun sup utara cabainya mesti merah, bihunnya mesti kuning. Dua perkara ini wajib ada.
Siap bihun sup utara, sedia untuk dimakan
Selamat mencuba!
Sumber: Zaini Talib
Buat Sendiri Mi Celup Cara Paling Senang. Punyalah Sedap, Merecik Peluh Bila Makan
Mi celup ini antara hidangan yang boleh kita sediakan untuk menjamu tetamu yang datang beraya. Rasa mi celup yang masam-macam pedas ini memang ‘kick’.
Jika kebiasaan hidangan ini guna daging atau perut lembu tapi jika nak mudah guna daging ayam saja. Caranya dikongsi oleh Iza Abu Bakar.
Cara mudah buat mi celup ala Thai, sedapnya merecik peluh
Bahan-bahan
Ayam
4 ulas bawang putih (ditumbuk)
1/2 inci halia – dihiris halus
Akar ketumbar (ditumbuk)
1 sudu besar lada hitam (ditumbuk)
Gula melaka
1/2 cawan kicap manis
Sos ikan
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis
Air secukupnya
Mee kuning – dicelur
Taugeh secukupnya
Kacang tanah (digoreng tanpa minyak dan ditumbuk kasar)
Kangkung – (boleh juga guna sawi)
Daun ketumbar – dihiris
Chili flakes
Limau nipis – (diperah jusnya sebagai penambah rasa)
Cara membuat
1. Mula mula panaskan minyak di dalam periuk.
2. Tumiskan bahan yang ditumbuk tadi dan halia hingga garing dan berbau wangi.
3. Masukkan ayam, biarkan seketika, baru masukkan air. Biarkan sehingga mendidih dan merenih.
4. Kemudian masukkan sos ikan, kicap manis dan gula melaka.
5. Perasakan dengan garam secukup rasa. Biarkan mendidih.
6. Keluarkan isi ayam dan carik carikkan halus.
7. Untuk hidangkan mi celup ini ada kaedahnya. Mula mula ambil mi yang dicelur dan letakkan ke dalam mangkuk.
8. Kemudian letakkan kangkung atau sawi, taugeh, daun ketumbar yang dihiris dan isi ayam yang dicarik carikkan tadi.
9. Siramkan kuah di atas bahan dalam mangkuk tadi dan taburkan chili flakes serta kacang tanah yang telah ditumbuk. Perahkan sedikit jus limau nipis sebagai penambah rasa.
10. Boleh juga dimakan bersama sambal kicap. Memang padu, berpeluh dahi.
Selamat mencuba
Sumber: Iza Abu Bakar.
Tata Cara Solat Dalam Kapal Terbang, Wajib Tahu Kalau Tempoh Penerbangan Lama
Travel menggunakan pesawat sudah jadi kebiasaan bagi kita pada masa kini. Justeru adalah perlu untuk kita memahami tatacara kewajipan bersolat dalam kapal terbang terutama jika tempoh penerbangan memakan masa yang lama.
Namun begitu untuk menunaikan solat dalam kapal terbang ada perkara yang wajib kita perhatikan supaya solat kita sempurna. Memetik dari laman web Mufti Wilayah Persekutuan berikut adalah tata cara solat ketika berada dalam kapal terbang.
PERTAMA: MASA PERLEPASAN
Perkara pertama yang harus diambil kira sebelum menunaikan solat dalam kapal terbang adalah ialah masa pergerakan seseorang dari satu destinasi ke destinasi yang lain dengan menggunakan kapal terbang.
Sebagai contoh: Seseorang yang ingin menunaikan umrah ke Arab Saudi dari Malaysia dengan menaiki kapal terbang. Masa perlepasannya dari KLIA ke Jeddah adalah pada pukul 3 petang waktu Malaysia. Justeru, cara yang lebih mudah untuk dirinya dalam hal ini adalah dengan menunaikan solat jamak qasar secara taqdim zohor dan juga asar di airport KLIA.
Contoh lain: Jika seseorang berada di atas kapal terbang dalam keadaan waktu solat masih belum masuk dan waktu perlepasannya adalah dari Jeddah menuju ke Malaysia pada pukul 10 malam waktu Arab Saudi. Maka dalam hal ini, solat Maghrib dan Isyak boleh dilakukan secara jamak di airport Jeddah. Solat Subuh pula dilakukan di dalam perjalanan iaitu ketika berada di atas kapal terbang. Manakala solat zohor dan asar pula boleh dilakukan secara jamak di airport KLIA.
KEDUA: MASUK WAKTU SOLAT
Cara untuk kita mengetahui masuknya waktu solat adalah melalui pengumuman yang dibuat oleh pramugara atau krew kapal terbang. Jika tiada pengumuman, kita boleh bertanyakan kepada mereka tentang waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang. Saya juga mengesyorkan agar kita mencari alternatif lain seperti menggunakan jam yang mempunyai masa tempatan khususnya waktu solat seperti al-fajr dan lain-lain.
KETIGA: PENENTUAN ARAH KIBLAT
Dalam hal ini, amatlah perlu bagi seseorang untuk menghadap ke arah kiblat ketika hendak menunaikan solat. Ini kerana, menghadap ke arah kiblat merupakan syarat sah bagi solat. Ia berdasarkan firman Allah S.W.T:
فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ المَسْجِدِ الحَرَام
Maksudnya: Maka palingkanlah wajah kamu menghadap ke arah Masjid al-Haram.
Surah al-Baqarah (144)
Kata al-Imam al-Qurthubi ketika menafsirkan ayat ini: Palingkanlah urusan wajah kamu menghadap ke arah sudut Masjid al-Haram iaitu ka’abah. Lihat al-Jaamik Li Ahkam al-Quran, al-Qurthubi (2/148).
Namun ianya dikecualikan jika terdapat keuzuran untuk menghadap ke arah kiblat maka dibolehkan untuk menghadap arah yang paling hampir dengan kiblat. Namun jika ini juga tidak dapat dilakukan, maka saya syorkan agar solat tersebut diulang semula (i’adah) ataupun qadha sebaik sahaja sampai ke destinasi.
KEEMPAT: CARA MENGAMBIL WUDHUK
Di antara perkara yang perlu kita raikan ketika menaiki kapal terbang adalah sifat kapal terbang itu sendiri serta mematuhi peraturan penggunaan air dalam kapal terbang terutamanya dalam perjalanan jarak jauh. Saya mengesyorkan agar penggunaan air dilakukan dengan seminima mungkin sama ada dengan cara yang diajarkan oleh pihak Lembaga Tabung Haji iaitu dengan menggunakan spray dan menyapu keseluruhan muka ataupun dengan menggunakan air dengan sedikit. Seperti membasuh anggota wuduk dengan sekali basuhan sahaja.
KELIMA: TAYAMMUM
Pada pendapat kami, adalah tidak sesuai untuk menggunakan tayammum di atas kapal terbang sementelahan lagi dengan pasir yang dibawa ke dalam kapal terbang. Manakala, berkenaan isu melekapkan tangan ke dinding atau tingkap kapal terbang untuk bertayammum, saya lebih cenderung mengatakan bahawa ia tidak menepati syarat sebenar wujudnya debu dan tanah pada dinding tersebut. Firman Allah S.W.T:
فَتَيَمَّمُواْ صَعِيدٗا طَيِّبٗا
Maksudnya: Maka bertayammumlah kalian dengan debu yang bersih
Surah al-Maidah (6)
Kata al-Imam al-Syanqithi rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Menjadi ketetapan ketika tayammum adalah pada pasir yang mempunyai debu yang boleh melekat di tangan. Inilah pendapat Imam al-Syafie dan juga Imam Ahmad. Rujuk Tafsir Adhwa’ al-Bayan (1/354)
KEENAM: CARA SOLAT DI ATAS KAPAL TERBANG
Dalam hal ini, kita hendaklah melihat kepada dua keadaan:
1. Kapal terbang yang mempunyai keluasan besar seperti Boeing 747, 757, 777, Airbus, dan seumpamanya. Justeru, jika terdapat ruangan untuk bersolat seperti kawasan yang berhampiran dengan tempat duduk pramugara, atau tempat hidangan makanan, maka pilihlah untuk bersolat di kawasan tersebut. Ini kerana, lebih banyak rukun fi’liyyah yang dapat kita lakukan dengan cara ini.
2. Sebaliknya, jika kapal terbang yang dinaiki itu bersaiz kecil seperti Boeing 737 dan seumpamanya dengan kapasiti penumpang yang padat serta tidak memungkinkan seseorang itu untuk berdiri bagi menunaikan solat maka dibolehkan untuk dia solat di tempat duduknya. Akan tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu untuk diraikan. Antaranya:
Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari mula solat.
Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud: Bertakwalah kalian kepada Allah sekadar kemampuan kalian.
(Surah al-Taghabun: 16)
Segala rukun qauli (perkataan) hendaklah dilaksanakan.
Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan dengan sebaik mungkin.
KETUJUH: SOLAT HORMAT WAKTU
Solat hormat waktu adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas (kerana tiada air untuk berwuduk atau tiada tanah untuk bertayamum) dan juga solat yang tidak dapat menghadap kiblat.
Solat ini wajib di qadha semula setelah beroleh air atau tanah ataupun dapat menghadap kiblat. Kita juga boleh mengqada solat hormat waktu ini secara jamak ataupun qasar dengan syarat kita masih berada dalam keadaan musafir.
Apabila kita telah kembali ke tempat asal maka solat hormat waktu mestilah di qada secara sempurna. Jika ditakdirkan kita meninggal semasa musafir dan kita masih belum mendapatkan air untuk berwuduk atau tanah untuk bertayamum bagi mengqada solat, maka memadai solat menghormati itu telah diterima Allah SWT.
Sebaliknya jika kita berpeluang untuk mengqada solat hormat waktu ini setelah adanya air atau tanah, tetapi kita masih melengah-lengahkannya maka kita dikira berdosa.
Aisyah menceritakan bahawasanya beliau telah meminjam daripada Asma’ seutas rantai, lalu ia hilang. Maka Rasulullah SAW menghantar beberapa orang sahabat baginda untuk mencarinya.
Lalu tiba waktu solat, dan mereka pun solat tanpa wuduk. Apabila mereka mendatangi Nabi SAW, mereka mengadu hal tersebut, lalu turunlah ayat pensyariatan tayammum.
Pendapat ulama:
Al-Hafiz Al-Iraqi (725-806 H.) menyatakan bahawa terdapat empat pendapat daripada fuqaha mazhab Al-Syafie berhubung solat tanpa taharah.
Pendapat yang paling sahih di sisi ulama mazhab (Al-Syafie) ialah: Wajib solat kerana menghormati waktu dan wajib mengulanginya jika mampu melakukan salah satu daripadanya (wuduk atau tayamum).
Ada juga pendapat wajib solat dan tidak wajib mengulanginya. Ini adalah pilihan Al-Muzani. Kata Abu Thaur: Inilah yang menepati qiyas dan ia disebut oleh Ibnu Abd Al-Barr daripada sebilangan fuqaha.
Imam Al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya ia adalah pendapat yang paling kuat dalilnya dan pendapat ini dikukuhkan oleh hadis ini iaitu mereka (para sahabat) solat tanpa wuduk sebelum turun ayat tayamum dan tidak dinukilkan bahawa Nabi SAW mengarahkan mereka untuk mengulanginya.”
KELAPAN: PERI PENTING DAN KEDUDUKAN SOLAT
Secara mutlak, solat merupakan ibadah badaniyah yang paling utama. Ini berdasarkan peristiwa seorang lelaki telah bertanya Nabi SAW tentang amalan yang afdhal.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Solat. Dia terus bertanya: Kemudian apa pula ? Nabi bersabda: Kemudian solat. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda bersabda: Solat. Baginda telah mengulangi jawapan solat sebanyak tiga kali.
(Riwayat Ibnu Hibban)
Menebus dosa
Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada menyatakan dua solat yang dilakukan seseorang Islam dengan betul akan menebus dosa-dosa yang berlaku di antara kedua-dua solat tersebut. Ini berdasarkan hadis, Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dengan melakukan solat lima waktu Allah akan menghapuskan dosa-dosa.
(Riwayat al-Bukhari)
Hadis seterusnya, Uthman R.anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka semua solat fardu yang dilakukannya akan menebus dosa yang ada di antara solat tersebut.
(Riwayat Muslim)
Begitu juga orang yang cuai mengerjakan solat, sama ada sengaja melengah-lengahkan atau meninggalkannya akan membawa kepada kekufuran sekiranya dia berterusan begitu. Oleh itu, solat merupakan santapan utama bagi iman sebagaimana yang telah disebutkan.
Seterusnya hadis daripada Ummu Aiman, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jangan engkau sengaja meninggalkan solat, sesungguhnya sesiapa yang sengaja meninggalkan solat dia akan terlepas daripada mendapat perlindungan Allah dan Rasul-Nya.”
(Riwayat Imam Ahmad)
Sumber: Muftiwp