Kilatkan Sendiri Lampu Kereta Yang Kusam & Kuning, Modal Bawah RM15!

942

 

Kereta bila dah lebih usia 5 tahun bukan saja cat akan kusam tapi bahagian lampu juga akan nampak kekuningan. Ia bukan saja membuatkan kereta nampak lusuh tapi juga kualiti pencahayaan lampu kereta kerana kurang jelas.

Boleh saja menukar bahagian headlight ini tapi modalnya agak besar, untuk kereta MyV boleh cecah lebih RM200.Jadi sebelum ambil keputusan untuk membelinya apa kata cuba kaedah yang dikongsi oleh Khairul Anwar Tumingan.

Dengan modal RM15 dan melakukannya sendiri headlight yang kusam dan kuning ini boleh kelihatan seperti baru.

Cara kilatkan headlight yang kuning

Hari ini saya nak share macam mana saya gilap headlight yang dah kuning dan kusam dengan modal tak sampai RM15. Sebenarnya memang ada macam-macam cara dan produk yang boleh digunakan. Tapi apa yang saya kongsikan ini antara cara yang paling berhasil yang pernah saya cuba. Yang penting, kena gigih sikit menggosok ya!

*ini untuk headlamp plastik sahaja

Bahan yang saya gunakan adalah:

  • Kertas pasir gred 600
  • Kertas pasir gred 1000
  • Autosol metal polisher (Boleh cari di kedai hardware. Harga sekitar RM8 – RM12)

Inilah 3 bahan yang digunakan. Modal keseluruhannya tak sampai pun RM15. Ok, jom kita tengok cara-caranya pula.

Ini lampu asal yang dah menjadi kekuningan dan kabur.

1. BUANG LAPISAN KUNING DENGAN KERTAS PASIR GRED 600

Mula-mula, ambil kertas pasir gred 600 untuk buang lapisan kuning dan kabur.

Gosok dengan menggunakan air. Masa ni nampak kesan kotor dan kuning tu tertanggal.

2. LAP & KERINGKAN

Setelah gosok, lap dan keringkan. Pastikan kesan kuning dah berkurangan.

3. GOSOK DENGAN KERTAS PASIR GRED 1000

Seterusnya, gosok dengan kertas pasir gred 1000 pula. Boleh juga nak gunakan gred 1500 atau 2000. Caranya sama, gosok dengan menggunakan air.

4. LAP & KERINGKAN

Lepas tu lap dan keringkan macam tadi. Ini hasilnya selepas digosok dan dikeringkan sekali lagi.

 

5. GILAP DENGAN AUTOSOL METAL POLISHER

Ini yang saya pakai, Autosol Metal Polisher. Picit sedikit pada lampu dan gosok menggunakan kain.

Tengok, ni baru gosok sikit dah nampak clear, kan? Teruskan menggilap sehingga clear dan cerah.

SIAP! INILAH HASILNYA…

Ini hasilnya setelah saya gilap lebih kurang 1/2 jam. Berkesan, kan? Lampu kereta yang kekuningan tadi dah nampak macam baru. Memang berbaloi! Tengok perbandingannya sebelum dan selepas saya kilatkan tadi.

Jadi lepas ini bolehlah kilatkan lampu kereta sendiri saja di rumah. Bahaya biarkan lampu kereta yang kusam dan kekuningan. Bila lampu kabur, takut orang lain tak nampak kita dengan jelas. Insha Allah boleh guna cara begini, mudah dan jimat. Selamat mencuba!

 

Kredit: Khairul Anwar Tumingan

Tinggalkan Komen