Laman

Konflik Sempadan Tanah Dengan Jiran, Guna 4 Panduan Ini Agar Tanah Tak Diceroboh Lagi

Share

Konflik sempadan tanah dengan jiran, adik beradik tidak dinafikan antara permasalahan yang boleh menyebabkan hubungan renggang malah ada yang putus.

Ada yang masih tidak selesai hingga bertahun-tahun. Puncanya bila ada phak tidak bersetuju dengan had tanah masing masing. Meski sudah dipanggil juruukur, batu sempadan sudah dipacak tapi ia tetap tidak diakui.

Bagi yang berdepan konflik sebegini langkah yang dikongsi oleh juru ukur dari Ukur Tanah Terengganu

ini boleh dijadikan panduan.

Cara selesaikan konflik sempadan tanah

1. Simpan bukti ukuran rasmi

Pemilik hartanah perlu menyimpan dokumen berkaitan pelan ukuran yang disahkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) atau juru ukur berdaftar.

Pastikan ada gambar batu sempadan yang terdapat pada sempadan serta salinan geran bersama pelan kadaster atau Certified Plan (CP). Jika menggunakan dron, simpanlah ortofoto atau ortomosaik.

Inilah yang dipanggil batu sempadan. Kredit Foto: Facebook Wan Sukri

2. Ajak berbincang dengan bukti

Cuba berbincang dengan jiran tentang sempadan yang telah diukur dengan menunjukkan pelan dan geran secara bersemuka.

Kemudian jelaskan ukuran yang telah dibuat oleh juru ukur bertauliah dan jika mereka masih berdegil, jangan marah sebaliknya menggunakan saluran ‘rasmi’.

3. Buat laporan di Pejabat Tanah

Langkah ini boleh dilakukan jika terdapat ganggu hak milik. Kumpul bukti termasuklah geran tanah (hak milik), pelan ukur terkini (endorsed) dan gambar batu sempadan.

Paling penting, kepilkan bersama bukti pencerobohan seperti pagar, tanaman, binaan dan lain-lain yang melangkaui sempadan hak milik anda.

Kemudian, boleh terus ke pejabat tanah dan unit penguatkuasaan untuk proses aduan secara rasmi serta serahkan semua bukti.

Jika terdapat kes, pegawai akan turun tapak, namun proses ini bergantung kepada negeri dan kekangan yang dihadapi pegawai terlibat.

4. Jika pencerobohan berterusan

Buat permohonan injunksi termasuk pengusiran melalui Mahkamah Sivil sekiranya terdapat gangguan berterusan daripada jiran.

Pelan ukur dan gambar berkaitan pencerobohan boleh menjadi bukti kukuh di mahkamah nanti.

Sumber:  Ukur Tanah Terengganu

Baca Lagi: Jika Nak Beli Rumah Atau Tanah, Jangan Beli Dalam Kategori Ini Kerana Ia Berisiko

Published by
VK