Tanam tauge memang mudah, tapi biasanya bila cuba tanam ramai yang merungut tauge yang dihasil kurus-kurus tak gemuk macam yang dijual.
Kalau nak tahu sebenarnya nak dapatkan tauge yang gemuk macam jualan ada caranya. Tak cukup dengan siram air saja, kena letak baja juga. Ya, tauge pun ada baja.
Ade Sudianto yang merupakan peniaga tauge berkongsi cara beliau menanam tauge untuk jualan.
Cara tanam tauge supaya hasilnya gemuk
Ramai yang berminat dengan penanaman tauge ini, seperti dijanjikan saya kongsi ilmu tanam tauge yang gemuk. Tiada rahsia.
1. Sediakan tong hitam bersama penutup (supaya tak tembus cahaya). Buat lubang di bahagian bawah dengan soldering atau paku panas atau paku yang dipanaskan atau bor mata 1mm. Lubang ini berfungsi sebagai tempat air keluar supaya tak bertakung. Bahagian tepi tong juga perlu dibuat lubang untuk pengaliran udara.
2. Seterusnya, sediakan penapis dan juga bekas untuk cuci kacang hijau. Cuci kacang hijau untuk 1kg. Cuci besih sampai airnya jernih. Buang biji yang rosak, dan pecah. Kemudian tos kacang tadi selama 5 minit.
3. Langkah seterusnya ini penting. Sediakan 5cc ubat taugeh santoso ( larutan hormon pembesaran) atau satu penutup botolnya atau gunakan syringe. Campurkan ubat ini dengan 2 liter air. Goncang atau sebatikan.
Air inilah yang digunakan untuk rendaman kacang selama 5 jam jangan lebih. Baja tauge atau larutan hormon pembesaran ini boleh dibeli secara online Santoso atau Sumo (klik SINI untuk beli di Shopee.
4. Setelah rendam jangan lupa cuci lagi dengan bersih dan biji yang lembut dibuang. Tos lagi selama 5 minit kemudian masukkan dalam tong hitam tadi.
5. Siram kacang hijau ini setiap 3 jam sampai hari ke empat. Sebenarnya pada hari ke 3 tauge sudah boleh digunakan sebab biasanya selepas 72 jam tauge sudah boleh tuai. Hasil untuk 1kg kacang boleh dapat 6-8kg tauge.
Sayur peria ini walau ada yang kata pahit tapi tetap ramai peminatnya. Rasa pahit ini kalau hilang kalau betul cara basuh dan masak.
Peria ini juga antara sayuran yang boleh kita tanam di rumah. Nak cuba tanam? Boleh ikut panduan yang dikongsi oleh Siti Rokiah Che Hat.
Cara tanam peria yang betul dan mudah
Penyediaan dan pemilihan benih
Terdapat dua cara yang boleh digunakan untuk menanam peria.
1. Menanam peria terus pada tanah.
2. Semai biji peria dalam polibeg terlebih dahulu. Apabila telah besar sedikit, baru tanam di dalam tanah kebun.
Penggunaan kedua-dua cara ini bergantung pada musim penanaman.Sekiranya penanaman dilakukan pada musim hujan, lebih baik jika penanaman dilakukan dengan menggunakan kaedah pertama iaitu biji benih ditanam terus pada tanah, kerana daya pertumbuhan benih dalam keadaan ini adalah baik.
Sementara itu, jika penanaman dilakukan pada musim kemarau, penanaman harus dilakukan dengan menggunakan kaedah kedua iaitu biji benih perlu disemai terlebih dahulu, kerana akan menjamin pertumbuhan benih yang bagus di dalam polibeg. Biji peria mesti berasal dari tanaman yang sihat, kuat dan mempunyai produktiviti yang tinggi.
Penyediaan tanah
Tanah untuk penyemaian adalah campuran tanah dan kompos dengan nisbah 1: 1 atau kompos yang dicampur dengan tanah dan pasir dalam nisbah 1: 1: 1. Benih disemai dengan jarak 2 cm x 2 cm. Setelah berumur lebih kurang 10 hari, benih dipindahkan ke polibeg kecil.
Cara tanam peria
Anak benih siap dipindah dari polibeg kecil ke dalam pasu / polibeg besar setelah berumur lebih kurang 3 minggu iaitu setelah mempunyai 3-4 daun. Perkara ini dibuat agar peria yang dipindahkan tumbuh dengan baik dan sistem akar anak benih tidak boleh terganggu.
Sebelum dipindahkan ke pasu / polibeg besar, pasu / polibeg harus diisi dengan campuran tanah dan baja dan tambahkan baja phosphor dan kalium secukupnya.
Selanjutnya, bahagian bawah periuk / polibeg diberikan lapisan serpihan bata merah. Anak benih dikeluarkan dari polibeg kecil bersama tanahnya lalu pokok ditanam dan dipadatkan.
Pada awal penanaman, peria mesti terkena sinar matahari pagi tetapi perlu mengelakkan panas terik pada waktu siang. Oleh itu, penanaman peria dalam polibeg lebih digalakkan daripada di tanah. Selain mengelakkan panas terik matahari, nutrien dalam beg poli juga lebih terkawal, dan pembersihan rumpai lebih mudah.
Pembajaan
Baja asas dilakukan dengan mencampur 2-3 kg baja dengan tanah 1 minggu sebelum penanaman. Ketika penanaman dilakukan, 20 gram baja NPK perlu ditambah. Pembajaan tambahan pertama diberikan semasa tanaman berumur 3 minggu dengan dos 10 gram baja NPK. Sementara itu, pembajaan seterusnya dilakukan pada selang waktu 2 minggu sehingga tanaman berumur 4 bulan dengan dos sama.
Penyelenggaraan
Pembersihan rumpai dilakukan seminggu sekali bersama dengan penimbunan agar sistem akar menjadi sihat. Peria tidak tahan kekeringan, jadi pada musim kering penyiraman harus dilakukan setiap hari.
Peria memerlukan sokongan, atau tiang supaya ia boleh menjalar. In i akan meningkatkan pengeluaran buah, mengurangkan kebarangkalian buah busuk, memudahkan kawalan dari perosak dan memudahkan penuaian.
Sokongan diberikan ketika berumur 3 minggu. Sokongan boleh dibuat berupa tiang, dan terowong atau pembinaan gerbang setinggi 1.5-2 m. Pemangkasan mesti dilakukan untuk menghilangkan dahan sampingan yang tidak produktif dan ia dilakukan semasa umur 3 dan 6 minggu.
Pengurusan perosak
Perosak yang paling biasa adalah lalat buah, Epilachna sp., Aphids, tryps, tungau dan siput. Pengawalan lalat buah dilakukan dengan membungkus buah menggunakan kertas ketika buahnya masih kecil (panjang 2-3 cm).
Penyakit yang biasa berlaku ialah cendawan tepung, layu bakteria, layu fusarium, serkospora, dan virus (CMV). Pengawalan dilakukan dengan membersihkan dan menggunakan racun kulat secara selektif.
Penuaian buah boleh dilakukan apabila buah tidak tua sangat dan nodul masih rapat. Ia boleh dibuat dengan cara memotong tangkai buah dengan pisau tajam.
Berbeza apabila penuaian untuk diambil biji/benih, tuai buah yang masak, iaitu ketika warna kulit buah kuning atau merah. Peria boleh dituai pada usia kira-kira 55 hari selepas penanaman dan boleh dilakukan berkali-kali.
Pengeluaran buah boleh mencapai 10-12 buah per tanaman atau 10-15 ton / ha. Buah yang rosak dan berpenyakit perlu dipisahkan daripada tanaman agar ia dapat menjaga kualiti tanaman.
Buah peria tidak tahan lama, oleh itu lebih baik dimasak atau dijual segera selepas tuai. Penyimpanan pada suhu 12-130C dan kelembapan 85-90% dapat mengekalkan kualiti buah selama 2-3 minggu.
Kalau tengok sayur pucuk manis, atau cekur manis ini mesti terbayang masak lemak bersama labu. Makan dengan ikan goreng dan sambal belacan, memang sedap sangat kombinasi ini.
Bukan saja sedap, sayur ini juga antara yang mudah sangat untuk ditanam. Ia mudah hidup, tak perlu penjagaan rapi, serangan perosak pun kurang. Untung tanam sayur pucuk manis ini.
Cara penanaman pucuk manis ini biasanya melalui biji benih dan keratan batang. Akan tetapi kita biasa tanam pucuk manis ini melalui keratan batang. Selain itu tanam pucuk manis dengan kaedah ini juga hasilnya lebih bermutu.
Caranya;
-Kerat batang pucuk manis, pilih batang yang sihat.
-Buang daun-daun yang ada pada keratan dan rendam dalam air beberapa hari.
-Bila dah nampak sedikit akar bolehlah terus tanam dalam polibeg atau pasu.
-Dalam satu pasu, semai dalam 2-3 keratan batang. Jangan banyak kerana pucuk atau daun yang terhasil nanti kecil.
-Siram setiap hari, biar tanam lembap. Untuk pembajaan boleh guna tinja ayam. Lakukan pembajaan 2 minggu sekali jika tanam dalam pasu. Letak baja di hujung pasu, elak terkena pangkal kerana baja sifatnya panas. Jika tanam di atas batas lakukan pembajaan sebulan sekali.
-Pokok pucuk manis ini boleh tumbuh subur di kawasan bercahaya matahari penuh ataupun di kawasan naungan yang redup.
-Ia juga mampu bertahan terhadap tanah yang mempunyai kandungan asid yang tinggi (masam kelat), selain mampu dan boleh tumbuh di kawasan tanah liat.
-Selepas 40-60 hari, pokok cekur ini akan mula menampakkan pucuk. Paling sesuai untuk dituai selepas 3 bulan ditanam.
Tip agar pokok mengeluarkan pucuk baru, cantas setiap 6 bulan batang pokok sehingga 1 meter dari pangkal.
Ramai kalangan kita duduk di rumah taman yang kita tahu tanahnya kurang subur malah tandus hingga sukar untuk bercucuk tanam.
Ini sedikit sebanyak membantutkan minat nak berkebun. Tapi perkongsian dari Mahadzir Hashim mungkin boleh membantu untuk merawat tanah kering tandus ini.
Cara rawatannya mudah cuma guna lebihan nasi dan juga kulit telur. Dalam tempoh sebulan tanah akan subur dan boleh sedia untuk bercucuk tanam.
Tanah kembali segar dalam sebulan, sedia untuk bercucuk tanam
Hari ini saya nak ceritakan cara mudah rawatan tanah tandus terutamanya yang banyak terjadi di rumah taman. Atau kawasan tanah yang telah diambil topsoil.
Salah satu penyebab tanah tandus dan mati adalah faktor banyak semut api. Semut api ini musuh kepada cacing tanah. kehadiran semut api mengakibatkan pupusnya cacing dan tanah menjadi tandus. Cacing tanah adalah antara faktor utama kesuburan tanah.
Langkah 1- hapuskan semut api dulu
Langkah pertama perlu dilakukan adalah menghapuskan sarang semut api jika ada, dengan menggunakan racun semut. Jangan gunakan minyak tanah kerana ia memberi kesan pada rawatan tanah nanti.
Langkah 2- Siram & gembur
Setelah seminggu mulakan penggemburan tanah dan siraman air. Sediakan kulit-kulit telur dan nasi basi. Biasanya ini adalah lebihan bahan dapur kita setiap hari.
Langkah 3 – Tabur kulit telur & nasi basi atas tanah
Seterusnya taburkan kulit telur dan nasi basi tadi atas gemburan tanah dan sebatikan. Siram air supaya tanah basah kalau tiada hujan.
Langkah 4 – Biarkan seminggu
Biarkan selama seminggu supaya bakteria dalam tanah memberi tindakan.
Jika ada cacing di tanah yang berdekatan ia akan mula menghuni tanah ini kerana sudah ada makanannya. Atau jika tidak ada, anda perlu mengisi tanah tadi dgn cacing-cacing utk permulaan.
Ada kala kita beli bawang banyak, disebabkan lama sangat dalam bekas tak digunakan sampai tumbuh 'jambul'.Kalau bawang dah jadi macam ni, elok tanam saja...