
Menonton perlumbaan di Litar Sepang sememangnya memberikan pengalaman yang sukar dilupakan. Bunyi deruman enjin, aksi potong-memotong di setiap selekoh serta sorakan ribuan peminat menjadikan suasana jauh lebih mengujakan berbanding menonton melalui televisyen.
Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa pemilihan tempat duduk atau zon menonton memainkan peranan besar dalam menentukan pengalaman sepanjang perlumbaan. Setiap grandstand dan hillstand menawarkan sudut pandangan yang berbeza, sama ada untuk menyaksikan aksi memotong, menikmati kemudahan yang lebih lengkap atau mendapatkan tiket pada harga lebih berpatutan.
Baru-baru ini, tular perkongsian seorang peminat sukan permotoran di media sosial yang berkongsi panduan memilih lokasi terbaik untuk menyaksikan perlumbaan di Litar Sepang.
K1 Grandstand sering dianggap sebagai lokasi terbaik bagi peminat yang mahu menyaksikan aksi perlumbaan paling mendebarkan.
Terletak berhadapan Selekoh 1 dan Selekoh 2, kawasan ini membolehkan penonton melihat pelumba membrek dengan agresif selepas memecut di laluan lurus utama sebelum memasuki selekoh pertama.
Situasi tersebut sering menghasilkan aksi potong-memotong yang mendebarkan, terutama pada pusingan pertama apabila semua pelumba bersaing mendapatkan kedudukan terbaik.
Bagi peminat yang mahu melihat jentera dari jarak lebih dekat serta menikmati aksi dramatik, K1 Grandstand sememangnya antara lokasi paling berbaloi di Litar Sepang.
Bagi mereka yang lebih mengutamakan keselesaan, Main Grandstand merupakan pilihan yang sangat sesuai.
Lokasinya berhampiran pelbagai kemudahan seperti tandas, surau, gerai makanan, ruang pameran, kawasan jualan barangan rasmi serta akses yang lebih mudah ke pintu masuk utama.
Dari tempat duduk ini, penonton boleh menyaksikan garisan mula dan penamat, pergerakan kru di kawasan pit, sesi persiapan pasukan serta majlis penyampaian hadiah selepas perlumbaan berakhir.
Walaupun jentera hanya melalui laluan lurus pada kelajuan tinggi, pengalaman keseluruhan di Main Grandstand tetap menjadi pilihan ramai, khususnya keluarga dan penonton yang pertama kali berkunjung ke Litar Sepang.
Jika mencari keseimbangan antara harga tiket dan pengalaman menonton, Grandstand F adalah antara pilihan yang sering disyorkan.
Kedudukannya membolehkan penonton melihat pelumba mengawal jentera ketika melalui beberapa selekoh penting.
Oleh kerana pelumba perlu memperlahankan kenderaan sebelum memasuki selekoh, penonton mempunyai lebih banyak masa untuk melihat teknik tunggangan atau pemanduan dengan jelas.
Atas sebab itu, Grandstand F sering dianggap menawarkan nilai yang sangat baik kepada peminat sukan permotoran.
Bagi mereka yang ingin berjimat, Hillstand C2 merupakan antara pilihan paling popular di Litar Sepang.
Kawasan ini memberikan pemandangan ke arah sektor trek yang lebih teknikal dan berliku, membolehkan penonton menikmati aksi jentera dalam tempoh yang lebih lama berbanding laluan lurus.
Walaupun tidak mempunyai bumbung seperti grandstand, suasana di hillstand biasanya lebih santai dan menjadi pilihan kumpulan rakan-rakan yang ingin menikmati perlumbaan secara bersama.
K2 Hillstand pula menawarkan sudut tontonan ketika jentera memecut menaiki bukit sebelum menghampiri selekoh berikutnya.
Lokasi ini turut berpotensi menyaksikan aksi memotong bergantung kepada strategi pasukan dan keberanian pelumba mengambil peluang ketika perlumbaan berlangsung.
Namun begitu, kawasan hillstand lebih terdedah kepada cuaca panas dan hujan. Penonton disarankan membawa topi, payung, krim pelindung matahari, baju hujan, air minuman serta alas duduk bagi memastikan keselesaan sepanjang berada di litar.
Secara keseluruhannya, setiap zon di Litar Sepang mempunyai kelebihan tersendiri.
Apa juga lokasi yang dipilih, penonton disarankan hadir lebih awal bagi mengelakkan kesesakan, memakai kasut yang selesa dan bersedia menghadapi perubahan cuaca sepanjang hari.
Dengan membuat pilihan tempat duduk yang tepat mengikut bajet dan pengalaman yang diinginkan, kunjungan ke Litar Sepang pasti menjadi lebih menyeronokkan, selesa dan berbaloi untuk setiap peminat sukan permotoran.
SUMBER : X