
Telur tiruan atau sebenarnya telur yang sudah lama? Persoalan itu timbul selepas seorang pengguna media sosial mendakwa beberapa biji telur yang direbusnya mempunyai keadaan luar biasa apabila bahagian kuning kelihatan leper.
Telur antara bahan dapur yang hampir setiap hari digunakan. Sebab itu bila rupa telur tiba-tiba nampak pelik selepas direbus, memang boleh buat kita tertanya-tanya.
Baru-baru ini, seorang pengguna Threads berkongsi pengalaman selepas mendakwa beberapa biji telur yang direbusnya mempunyai keadaan luar biasa apabila bahagian kuning kelihatan leper.

Menurut individu berkenaan, dia kemudian membuat pemeriksaan berdasarkan panduan yang ditemui di internet.
“Hari ini saya rebus telur dan semuanya bahagian kuning jadi leper. Saya periksa karakter telur seperti dalam Copilot Guidance, semuanya menunjukkan tanda positif.”
Telur Tiruan? Dakwa Ada Beberapa Ciri Yang Mencurigakan
Dalam perkongsian tersebut, individu berkenaan turut menyenaraikan beberapa ciri yang menurut panduan ditemuinya dikatakan boleh membezakan telur asli dengan telur tiruan.
Antaranya ialah kulit telur yang lebih licin dan berkilat, sukar dipecahkan serta mempunyai bau berbeza.
Telur yang didakwa tiruan juga dikatakan mempunyai kuning telur yang leper atau keras seperti getah selepas direbus, sementara putih telur pula terlalu licin dan kenyal.
Sebagai perbandingan, telur asli menurut perkongsian itu mempunyai permukaan kulit sedikit kasar, pori halus serta mengeluarkan bau sulfur ringan selepas direbus.
Bagaimanapun, ciri-ciri tersebut sahaja tidak boleh dijadikan bukti bahawa sesuatu telur itu diperbuat daripada plastik atau merupakan telur tiruan.
Perubahan rupa, tekstur atau kedudukan kuning telur perlu dinilai bersama keadaan telur secara keseluruhan. Justeru, pengguna tidak seharusnya membuat kesimpulan hanya berdasarkan satu ciri fizikal yang kelihatan berbeza selepas telur dimasak.
Telur Terapung, Betul Ke Tanda Telur Tiruan?
Individu tersebut turut berkongsi kaedah merendam telur di dalam campuran air dan kira-kira 10 peratus garam.
Menurut dakwaan itu, telur asli akan tenggelam atau separuh tenggelam manakala telur plastik akan terapung disebabkan perbezaan ketumpatan.
Namun begitu, ujian terapung sebenarnya lebih sesuai digunakan untuk menganggarkan tahap kesegaran telur, bukannya bagi menentukan sama ada telur tersebut palsu.
Panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dikongsikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyatakan telur yang masih segar biasanya akan tenggelam dan baring di dasar air.
Telur yang tenggelam tetapi berdiri atau melayang pula mungkin sudah berusia beberapa minggu, manakala telur yang terapung berkemungkinan sudah rosak dan tidak selamat dimakan.
Justeru, keadaan telur yang terapung tidak dengan sendirinya membuktikan dakwaan bahawa ia diperbuat daripada bahan tiruan.
Netizen Pula Kata Telur Sudah Lama
Perkongsian tersebut turut menerima pelbagai reaksi pengguna Threads yang mempunyai pandangan berbeza.
“Telur lama la sebab tu dia timbul,” komen seorang pengguna.
Seorang lagi turut menulis, “Telur dah terapung tu biasanya telur dah lama.”
Malah, ada pengguna yang mendakwa sering menggunakan telur daripada jenama sama dalam kuantiti yang banyak tanpa mengalami masalah tersebut.
“Telur lama rasanya ni. Purata sehari saya guna 100+ telur rebus guna telur jenama ni, elok dan sangat senang kupas,” tulisnya.
Pandangan bahawa telur terapung boleh dikaitkan dengan tahap kesegaran turut selari dengan panduan KKM mengenai cara memeriksa keadaan telur sebelum dimakan.
Cara Mudah Periksa Telur Sebelum Makan
Daripada terus membuat kesimpulan ia telur tiruan, pengguna boleh melakukan beberapa pemeriksaan asas untuk melihat keadaan telur terlebih dahulu.
1. Perhatikan Tarikh Dan Tempoh Penyimpanan
Telur yang sudah lama disimpan boleh mengalami perubahan pada tekstur dan kandungannya. Jadi, tempoh penyimpanan boleh menjadi antara perkara pertama yang diperiksa apabila keadaan telur kelihatan berbeza.
2. Periksa Keadaan Kulit
Pilih telur yang kulitnya bersih dan tidak retak. Telur yang retak atau berbau tidak menyenangkan mungkin sudah rosak.
3. Hidu Selepas Dipecahkan
Pecahkan telur terlebih dahulu ke dalam mangkuk. Jika terdapat bau busuk atau pelik, jangan gunakan. Langkah ini juga dapat mengelakkan telur yang diragui bercampur terus dengan bahan masakan lain.
4. Perhatikan Isi Telur
Telur yang masih segar biasanya mempunyai struktur putih dan kuning telur yang lebih kukuh. Keadaan isi telur boleh menjadi salah satu petunjuk untuk menilai tahap kesegarannya.
5. Lihat Kuning Telur
Menurut panduan KKM, kuning telur yang bulat dan teguh menunjukkan telur masih segar. Jika kuningnya cair dan mudah merebak, ia mungkin sudah tua.
6. Perhatikan Tekstur Kulit
Perubahan pada kulit boleh dijadikan antara pemerhatian awal, tetapi ia bukan bukti mutlak sesuatu telur itu tiruan.
Justeru, perbezaan seperti permukaan yang lebih licin atau kelihatan berlainan daripada kebiasaan tidak sepatutnya digunakan secara bersendirian untuk menentukan ketulenan telur.
7. Buat Ujian Air Jika Ragu-Ragu Tentang Kesegaran
Jika telur terapung, lebih baik berhati-hati kerana ia mungkin sudah tidak segar. Namun, ujian ini tidak wajar dianggap sebagai ujian khusus untuk mengesahkan kewujudan telur palsu atau plastik.
Jangan Terus Anggap Telur Pelik Sebagai Telur Tiruan
Apa yang penting, jangan terus menganggap telur yang mempunyai bentuk atau tekstur pelik sebagai “telur plastik”. Pemerhatian terhadap rupa telur boleh menjadi langkah awal, tetapi keadaan kesegaran dan keselamatan makanan perlu diberikan perhatian.
KKM turut mengingatkan bahawa telur boleh tercemar dengan kuman seperti Salmonella yang boleh menyebabkan demam, kejang perut dan cirit-birit. Pengguna disarankan memilih telur yang baik, menyimpannya dengan betul dan mengelakkan penggunaan telur yang telah rosak atau pecah.
Jika telur mengeluarkan bau pelik, sudah rosak atau keadaan fizikalnya benar-benar meragukan, lebih baik jangan dimakan.
Kesimpulannya, telur yang terapung atau mempunyai kuning telur yang kelihatan leper tidak sepatutnya terus dianggap sebagai bukti kewujudan telur tiruan. Pemeriksaan terhadap tahap kesegaran, bau, keadaan kulit dan isi telur boleh membantu pengguna membuat keputusan yang lebih berhati-hati sebelum menggunakannya.
BACA LAGI : Telur Kelapa, Lauk Orang Lama Yang Sedap Dan Mudah
Sumber: Threads, KKM & MKN

sekarang!
