Selain cili padi, cili besar atau cili solok ini memang berbaloi kalau tanam di rumah. Boleh hari-hari kita guna dalam masakan, boleh jimat juga sebab harga cili ini pun dah mahal.
Cumanya bila tanam cili besar ini ramai merungut selalu tak menjadi. Kalau selalu berlaku maknanya kena tukar teknik penanaman. Boleh guna cara yang dikongsi oleh Mohd Syafiq Ahmad Khasasi atau dikenali juga dengan nama Cikgu Kebun (CK). Kalau ikut cara ini, hasil cili pun saiznya besar-besar belaka.
Kalau selalu gagal tanam cili besar, ikut tip
Buat yang suka tanam pokok cili besar dan cili solok boleh ikut tip ni. CK dulu pun gagal jugak tanam pokok cili ni tapi bila jumpa teknik ni alhamdulilah berjaya.
CK nak kongsi 5 teknik yang boleh diikut dengan mudah;
1. Pemilihan Biji Benih Kualiti
Nak tanam cili ni kita kena semai dulu dari biji benih, pilih biji benih yang F1, contoh jenama yang CK guna SAKATA atau GreenWorld.
Ads
2. Buat Semaian Biji Benih
Untuk dapat pokok yang subur, kena pilih anak pokok yang berkualiti untuk disemai dahulu, kemudian pilih pokok yang betul-betul sihat sahaja ditanam.
3. Guna Medium Tanah yang Sesuai
CK suka buat tanah campuran supaya pokok dapat membesar dengan baik, boleh guna tanah merah nisbah 2, tanah sawit 2, sabut halus 2, sekam mentah 1, sekam bakar 1, perlite 1 dan baja wangi organik 1-2 scoope.
Ads
4. Guna Baja Yang Sesuai
Boleh guna pelbagai jenis baja yang tinggi nilai Kalium(K) untuk lebatkan buah. CK guna baja wangi serbuk masa pertumbuhan dan baja wangi foliar untuk lebat bunga dan buah.
5. Kawalan Serangga & Penyakit
Cili memang selalu kena serangan serangga dan penyakit, tip penting kalau nak serangga kurang kena konsisten sembur Bio Control or Cuka Kayu dan tambah produk produk lain jugak. Bila pokok dah sihat pun sembur jugak. Kemudian kalau ada lagi serangga jugak boleh siram ubat-ubat ni dalam medium tanah.
Ads
Kalau pokok konsisten sihat, insya Allah serangga dan penyakit akan kurang serang pokok. Kalau kena serang pun jangan buang terus pokok, buat pangkasan sejengkal dari tanah lepas tu siram ubat-ubat ini dalam tanah dan sembur konsisten.
Itulah sikit tips untuk yang nak mula tanam cili ni, CK suka makan cili solok sumbat macam dalam nasi kerabu. Sedap…
Nak puasa enam tapi tak ganti lagi puasa. Ada yang kata boleh saja gabungkan puasa enam dengan puasa ganti. Betul ke boleh? Perkara ini menjadi persoalan kaum wanita hampir setiap tahun. Supaya tiada kekeliruan lagi kita baca penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri tentang perkara ini.
Soalan:
Assalamualaikum , Saya ingin bertanya , bolehkah saya berniat puasa qada (ganti) dan puasa enam dibulan syawal secara serentak (dua dalam satu (puasa ganti dan puasa enam). Terima kasih
Jawapan:
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih kepada saudara yang bertanya.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Taala, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda ﷺ, sahabat Baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ.
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Surah al-Baqarah:183)
Berbuka Puasa Di Bulan Ramadhan Tanpa Ada Sebarang Keuzuran
Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadhakannya serta merta selepas tamatnya Ramadhan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qadha.
Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadhan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qadha kerana qada waktu puasa qadha adalah muwassa` (luas).
Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut: “ (Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat syawwal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqada Ramadhan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.” (Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, hlm. 128)
Isu Menggabungkan Dua Ibadat Dengan Satu Niat
Masalah ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadat dengan menggunakan satu niat) hukumnya :
Sekiranya ia adalah termasuk dalam wasilah atau perkara yang bercampur maka hukumnya sah. Terhasil apa yang dihajatinya daripada kedua ibadat tersebut. Misalnya, jika seseorang itu mandi junub pada Hari Jumaat untuk melakukan Jumaat dan juga mengangkat junub. Sesungguhnya junubnya terangkat dan pahala mandi jumaat tersebut pun terhasil.
Walaupun salah satu daripada dua ibadat tersebut tidak diniatkan manakala yang lain pula diniatkan dengan zatnya maka sah himpunan atau gabungan tersebut dan tidak mencederakan ibadat tersebut misalnya solat tahiyyah masjid dilakukan berserta solat fardhu atau solat sunat yang lain.
Adapun menghimpunkan atau gabung di antara dua ibadat yang diniatkan dengan zatnya seperti puasa qadha atau kaffarah, atau nazar berserta puasa sunat seperti puasa sunat 6 hari pada Bulan Syawal maka tidak sah tasyrik tersebut mengikut pendapat yang muktamad kerana setiap ibadat itu berasingan daripada ibadat lain yang diniatkan dengan zatnya dan tidak pula berada di bawah ibadah yang lain.
Persoalannya, adakah berpuasa dengan niat qadha Bulan Ramadhan dan niat puasa 6 pada bulan syawal yang digabungkan sah keduanya? Atau salah satu sahaja sah? Jika dibuat secara ithlaq (Umum) berhasil keduanya atau salah satu sahaja?
Gabung Niat Puasa Qadha Ramadan Dan Puasa 6 Syawal
Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qadha Ramadhan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala: “Jika seseorang berpuasa pada Bulan Syawal untuk qadha bagi puasa Ramadhan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya.
Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal…tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja. Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadhan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadhan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadhan dan qadha di bulan Syawal, adakah berhasil qadha puasa Ramadhan dan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal, ada ke tidak dalam masalah ini sebarang nukilan?
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menjawab: “Bahawa berhasil puasa qadha Ramadhannya walaupun dia gabung niat puasa qadha Ramadhannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).” (Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)
Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)
Sebahagian ulama menyebut sah seseorang itu melakukan qadha puasa bulan Ramadhan bersama puasa sunat enam Syawal dan terhasil pahala puasa sunat yang dilakukan di dalam bulan Syawal tersebut. Hal ini kerana diqiyaskan dengan seseorang yang memasuki masjid kemudian solat 2 rakaat fardu atau solat sunat rawatib (mengiringi solat fardu) maka terhasil sekali baginya pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid kerana ia melakukan solat berkenaan sebelum ia duduk.
Imam Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullahu Taala berkata: “Terhasil pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid dengan melakukan solat fardhu atau sunat yang lainnya, sama ada diniatkan atau tidak solat sunat Tahiyyatul Masjid tersebut.
Hal ini berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim : “Apabila masuk salah seorang dari kamu ke dalam masjid hendaklah ia solat dua rakaat sebelum ia duduk” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain. (Rujuk Kitab Hasyiah al-Bujairimi 1/280)
Begitu juga nas yang hampir serupa dikatakan Syeikh Islam Zakaria Al-Ansori Rahimahullahu Taala: Terhasilnya solat sunat dua rakaat atau lebih (yang dimaksudkan dengan adalah hasilnya pahala solat walaupun bersama dengannya solat fardhu atau solat sunat yang lain) sama ada diniatkan sekali ataupun tidak.
Ia berdasarkan hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim Rahimahumahullahu Taala “ Apabila masuk seseorang daripada kamu ke dalam masjid maka janganlah ia duduk sehingga ia solat dua rakaat”. ” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain (Rujuk Kitab Fathul Wahab Syarah Manhajul Tullab 1/67)
Imam ar-Ramli Rahimahullahu Taala telah berkata: “Dan sekiranya berpuasa pada bulan syawal, puasa qadha, nazar atau selain daripada keduanya atau seumpama dengannya, seperti berpuasa pada hari A^syura maka telah dapat pahala puasa sunat itu baginya, seperti yang telah difatwakan oleh bapanya (bapa kepada Imam ar-Ramli), begitu juga oleh al-Barizi, al-Asfahuni, A—Nasyizi, al-Faqih Ali Soleh al-Hadrami dan selainnya tetapi ia tidaklah mendapat pahala yang sempurna ke atas yang dituntut.” Begitulah sama hukumnya puasa Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawal. (Rujuk kitab Nihayah al-Muhtaaj, 3/208-209)
Imam as-Suyuti Rahimahullahu Taala berkata : “Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah, maka al-Barizi telah memberi fatwa bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa) maka masalah tersebut mengikut masalah solat tahiyyah Masjid. ” (Rujuk kitab Ashbah Wan Nazoir, hlm. 61)
Dalam Syarah al-Tanbih karangan al-Hafiz al-Suyuti Rahimahullahu Taala, daripada fatawa al-Baarizi Rahimahullahu Taala, beliau mengatakan : Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah terhasih keduanya (sah keduanya), begitu juga jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa). Tetapi al-Isnawi menyebut perkara ini tertolak dan qiyas yang dilakukan tidak sah dalam menggambarkan perkongsian satu daripada keduanya. Disisinya apa yang terhasil adalah yang fardhu sahaja dalam gambaran ithlaq”
Walupun begitu, perlulah diambil perhatian, maksud terhasilnya pahala puasa sunat enam Syawal apabila dimasukkan sekali dengan puasa fardhu adalah pahala semata-mata pahala sunat bukannya pahala yang sempurna
Kesimpulan
Kesimpulannya, mengikut pendapat yang muktamad, afdal seseorang itu menjadikan puasa qadha berasingan dengan puasa 6 pada bulan syawal. Namun begitu, menyatukan puasa qadha dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif.
Namun begitu, menyegerakan qadha puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Semoga kita termasuk bersama-sama dengan orang bertaqwa.
Perkongsian Nurul Fazlina, usahawan sambal ini memang cukup berguna untuk peniaga dari rumah yang lain. Beliau berkongsi cara untuk membotolkan sambal supaya tahan lama tanpa menggunakan bahan pengawet.
Cara yang digunakan ini ujarnya membolehkan sambal kekal elok untuk dimakan selama 6 bulan di luar pada suhu bilik. Kaedah ini sesuai dipraktikkan bukan saja untuk usahawan tapi untuk simpan sambal bagi kegunaan sendiri.
Cara botolkan sambal supaya tahan lama
Jom nak kongsi macam mana saya ‘bottling’ produk sambal tanpa menggunakan bahan pengawet. Insha Allah boleh bertahan selama 6 bulan di luar dengan suhu bilik.
1. Botol-botol kaca yang hendak digunakan mesti dibasuh dulu.
2. Didihkan air dalam periuk besar untuk isi botol kemudian rebus botol kaca selama 20 minit. Rebus juga penutupnya selama 20 minit.
3. Selepas 20 minit angkat botol dan toskan sehingga air betul-betul kering. Tos juga penutup botol.
4. Kemudian bolehkan isi sambal dalam botol tadi.
5. Dah isi siap sambal, tutup dengan penutup. Kukus botol berisi sambal ini selama 20 minit.
6. Setelah selesai kukus, angkat dan biarkan sambal sejuk kemudian barulah sealed dengan plastik.
Sambal yang dah siap dibotol dan dilabel.
Semoga bermanfaat.
Boleh juga lihat video langkah demi langkah yang dikongsi oleh Nurul Fazlina di SINI.
Tengok baju kurung moden cantik di butik atau online dengan warna yang berkenan di hati, kita pun beli. Tapi bila kita pakai nampak macam tak kena walau pun saiz dah betul.
Salah satu sebab jadi begini adalah kerana potongan baju kurung ini tak sesuai dengan bentuk badan kita. Baju kurung kan ada banyak potongan. Supaya tak tersalah pilih dan penampilan kita di hari raya nampak elok, cantik perkongsian @siswanisenan boleh dijadikan panduan.
Tip pilih potongan baju kurung sesuai bentuk badan kita
Ini adalah bebenang panduan memilih design baju raya mengikut bentuk badan wanita!
1. Baju kurung moden dart depan
Sesuai untuk mereka yang memiliki bahagian tubuh atas kecil tapi punggung besar.
2. Baju kurung moden dart belakang
Sesuai untuk wanita yang bahagian atas atau dada besar tapi punggung leper. Jangan pilih dart depan untuk elak bahagian dada besar makin menonjol.
3. Baju kurung corak sama baju dan kain
Sesuai untuk wanita yang rendah dan kecil (petite). Corak yang sama akan beri ilusi lebih tinggi.
4. Pesak gantung
Sesuai untuk wanita yang rendah dan ada masalah perut buncit.
Potongannya yang kembang sedikit akan menutupi perut buncit sekali gus beri ilusi langsing.
5. Kurung Pahang
Sesuai untuk mereka yang kurus tinggi. Potongan baju ini yang kembang di bahagian bawah akan buat mereka yang tinggi nampak lebih menarik dan ada ‘shape’.
6. Potongan Duyung
Sesuai untuk mereka yang berbadan kurus, besar bahagian atas dan ‘tiada pinggang’. Potongan ini akan beri keseimbangan pada bahagian bawah. Jangan pilih potongan ini jika bahagian punggung lebar atau besar.
Cara wangikan rumah tanpa beli pewangi mahal, guna penyegar mahal. Kalau suka kediaman sentiasa berbau harum semula jadi dan segar cara ini boleh sangat...