Rutin membasuh tangan cukup penting ketika ini untuk mengelak pemularan wabak Covid 19 yang semakin merebak.
Namun kebersihan tangan selepas dibasuh mungkin tidak sampai ke tahap maksimum sekiranya anda mengenakan cincin, gelang tangan atau jam.
Perkara ini dijelaskan oleh Pakar Perubatan, Sakinah Sulong dalam satu laporan di Mstar. Pemakaian cincin dan gelang katanya boleh menyebabkan rutin pembersihan tangan jadi tidak sempurna.
“Kebersihan tangan sangat penting. Pemakaian cincin dan gelang boleh mengganggu bila kita nak cuci tangan selalu. Malah virus pun boleh melekat pada permukaan barang kemas ini,”katanya.
Penjelasan ini diperkukuhkan lagi dengan beberapa kajian yang telah dibuat sebelum ini.
Menurut laporan Insider kajian yang dibuat di Georgia State Universiti tahun 2018 mendapati pekerja kesihatan yang memakai cincin semasa melakukan pekerjaan menyebabkan bahagian yang terlindung oleh cincin menjadi tempat pembiakan kuman.
Kajian juga mendapati hasil basuhan tangan mereka yang tidak memakai cincin lebih bersih dari kuman berbanding dari mereka yang memakai cincin.
Tak efektif walau sudah pakai hand sanitizer
Pemakaian hand sanitizer juga boleh menjadi kurang efektif jika mengenakan cincin.
Kajian yang dibuat pada tahun 2003 mendapati jururawat yang memakai cincin dan menggunakan hand sanitizer, atau membasuh tangan dengan sabun antibakteria tetap mempunyai kuman selepas dibasuh berbanding mereka yang tidak memakai cincin walaupun menggunakan prosedur pembersihan yang sama.
Membuka cincin, gelang dan jam semasa membasuh tangan dan kemudian memakainya semula juga bukan tindakan yang bijak. Ia boleh menyebabkan tangan kembali tercemar dengan kuman sekiranya cincin tersebut sudah dicemari kuman dan tidak dibasuh.
Oleh itu adalah lebih elok tidak memakai cincin, gelang dan juga jam buat sementara.
INFO
COVID-19 baru ini boleh dikesan selama dua hingga tiga hari pada plastik dan keluli tahan karat, dan sehingga 24 jam pada kadbod.
Sumber: insider.com & Mstar