Ads

Jutawan Anti-Penuaan Bryan Johnson Dedah Hidap Penyakit Autoimun Jarang Berlaku

Selama bertahun-tahun, nama Bryan Johnson menjadi simbol kepada usaha manusia menentang penuaan. Usahawan dari Amerika Syarikat itu sanggup membelanjakan hampir AS$2 juta (kira-kira RM8.1 juta) setahun demi memastikan tubuhnya kekal muda, sihat dan berfungsi sebaik mungkin.

Daripada rutin tidur yang dikawal ketat, ratusan suplemen harian, ujian darah berkala sehinggalah rawatan eksperimen, segala-galanya dilakukan atas satu matlamat iaitu memperlahankan proses penuaan dan memanjangkan jangka hayat.

Namun baru-baru ini, Johnson mengakui sesuatu yang tidak pernah dijangkakannya.

Walaupun mengamalkan gaya hidup yang mungkin dianggap paling ekstrem di dunia dari sudut penjagaan kesihatan, dia tetap didiagnosis menghidap autoimmune gastritis (AIG), sejenis penyakit autoimun yang jarang berlaku dan sukar dikesan pada peringkat awal.

Pendedahan itu dikongsikan sendiri menerusi platform X apabila dia menulis:

“Perut saya sedang memakan dirinya sendiri.”

Perkongsian tersebut segera menarik perhatian ramai kerana selama ini Johnson dikenali sebagai individu yang seolah-olah mampu mengawal hampir setiap aspek kesihatannya.

Jutawan Anti-Penuaan Bryan Johnson Dedah Hidap Penyakit Autoimun Jarang Berlaku

Penyakit Yang Datang Secara Senyap

Autoimmune gastritis berlaku apabila sistem imun badan tersilap menyerang sel-sel pada lapisan dinding perut, khususnya sel parietal yang bertanggungjawab menghasilkan asid gastrik serta faktor intrinsik yang penting untuk penyerapan vitamin B12.

Akibatnya, lapisan perut mengalami kerosakan secara perlahan-lahan tanpa disedari.

Menurut Johnson, penyakit itu dipercayai berkembang selama bertahun-tahun tanpa memberikan sebarang simptom yang jelas.

Satu-satunya petunjuk yang sering muncul hanyalah paras ferritin atau simpanan zat besi yang sentiasa rendah.

Namun kerana paras hemoglobinnya masih berada dalam julat normal, keadaan itu tidak dianggap sebagai sesuatu yang serius.

Selama lebih sedekad, dia mencuba pelbagai suplemen zat besi serta mengubah corak pemakanan, namun masalah tersebut tetap tidak selesai.

Ads

Jutawan Anti-Penuaan Bryan Johnson Dedah Hidap Penyakit Autoimun Jarang Berlaku

Segalanya Terbongkar Selepas Ujian Menyeluruh

Johnson akhirnya membuat keputusan menukar keseluruhan pasukan perubatannya dan menjalani beberapa pemeriksaan yang lebih menyeluruh.

Antaranya termasuk endoskopi, kolonoskopi, ujian darah serta biopsi pada lapisan perut.

Keputusannya cukup mengejutkan.

Ujian darah mendapati paras antibodi anti-parietal cell hampir lima kali ganda lebih tinggi daripada bacaan normal.

Biopsi pula mengesahkan dia menghidap autoimmune gastritis pada peringkat awal, manakala kolonoskopi menunjukkan tiada pendarahan dalaman yang boleh menjelaskan masalah kekurangan zat besi tersebut.

Johnson turut didiagnosis mengalami thyrogastric syndrome, iaitu keadaan yang menggabungkan penyakit autoimun tiroid dengan autoimmune gastritis.

Sebenarnya, Johnson pernah didiagnosis menghidap hipotiroidisme ketika berusia 21 tahun dan mengawal penyakit itu melalui terapi penggantian hormon.

Ads

Namun tanpa disedari, satu lagi penyakit autoimun sedang berkembang secara senyap di dalam tubuhnya.

Penyakit Jarang Berlaku Tetapi Berisiko

Menurut kajian perubatan, autoimmune gastritis dianggarkan menjejaskan sekitar 2 hingga 5 peratus populasi dunia, namun ramai tidak menyedarinya kerana simptomnya berkembang secara perlahan.

Sekiranya tidak dikesan lebih awal, penyakit ini boleh menyebabkan kekurangan zat besi kronik, anemia akibat kekurangan vitamin B12 serta meningkatkan risiko mendapat kanser perut pada masa hadapan.

Menurut National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases (NIDDK), autoimmune gastritis sering hanya dikenal pasti selepas pesakit mengalami komplikasi kerana simptom awalnya sangat minimum atau langsung tidak ketara.

Tiada Penawar Yang Diiktiraf

Apa yang paling sukar diterima Johnson ialah hakikat bahawa kebanyakan pakar perubatan menganggap autoimmune gastritis sebagai penyakit yang belum mempunyai penawar.

Rawatan sedia ada lebih tertumpu kepada mengawal komplikasi, menggantikan kekurangan zat besi atau vitamin B12 serta melakukan pemantauan berkala bagi mengesan perubahan pada lapisan perut.

Buat masa ini, Johnson menerima infusi zat besi Monoferric sebanyak 1,000 miligram bagi memulihkan paras zat besinya.

Walaupun keadaannya kini lebih stabil, dia masih perlu menjalani pemeriksaan berkala sepanjang hayat bagi memantau kekurangan nutrien serta risiko kanser perut.

Ads

Masih Tidak Berputus Asa

Sesuai dengan sifatnya yang sentiasa mahu mencabar batasan sains, Johnson enggan menerima bahawa penyakit itu tidak boleh dirawat.

Dia kini sedang mengumpulkan sekumpulan penyelidik bagi meneroka pelbagai pendekatan baharu, termasuk terapi sel T, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi perubatan moden lain yang berpotensi menjadi rawatan pada masa hadapan.

Jutawan Anti-Penuaan Bryan Johnson Dedah Hidap Penyakit Autoimun Jarang Berlaku

Usaha tersebut selari dengan falsafah Project Blueprint, projek anti-penuaan yang dibangunkannya selama ini.

Sebelum ini, Johnson pernah menjadi perhatian dunia apabila menjalani beberapa rawatan eksperimen termasuk pemindahan plasma darah, malah salah satu prosedur menggunakan plasma daripada anak lelakinya sendiri.

Bagaimanapun, dia kemudiannya mengakui prosedur tersebut tidak memberikan manfaat yang diharapkan dan memutuskan untuk menghentikannya.

Malah, Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika Syarikat (FDA) sebelum ini turut memaklumkan bahawa pemindahan plasma bagi tujuan anti-penuaan tidak mempunyai bukti saintifik yang kukuh serta boleh mendatangkan risiko kepada pesakit.

Pengajaran Buat Semua

Di penghujung perkongsiannya, Johnson meninggalkan satu pesanan yang cukup bermakna.

“Ketiadaan simptom bukan bermakna seseorang itu benar-benar sihat.”

Mesej itu menjadi peringatan bahawa walaupun seseorang mengamalkan gaya hidup sihat, bersenam setiap hari dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, masih ada penyakit yang mampu berkembang secara senyap tanpa disedari.

Sebab itu pemeriksaan kesihatan menyeluruh, terutama apabila terdapat petunjuk kecil seperti kekurangan zat besi yang berpanjangan, tidak seharusnya dipandang ringan.

Kisah Bryan Johnson turut membuktikan satu hakikat penting. Teknologi, wang dan disiplin mungkin mampu membantu seseorang hidup lebih sihat, tetapi tubuh manusia masih menyimpan banyak misteri yang belum mampu dirungkai sepenuhnya oleh sains.

Dapatkan tip memancing, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Tips Lain

Aktif Bersukan Tapi Tiba-Tiba Rebah, Pakar Dedah Bahaya Aritmia Dalam Kalangan...

Aritmia jantung dalam kalangan orang muda boleh berlaku tanpa simptom dan meningkatkan risiko henti jantung mengejut. Ketahui punca, tanda awal, pemeriksaan serta rawatan yang tersedia.