
Nama Tan Sri Michelle Yeoh sekali lagi mencipta pencapaian di pentas antarabangsa apabila pelakon kelahiran Malaysia itu diumumkan sebagai duta global Bentley.
Pelantikan tersebut hadir hanya beberapa minggu selepas Bentley memperkenalkan Torcal, barisan model baharu yang dianggap antara perubahan terbesar jenama itu dalam satu generasi, selain menjadi kenderaan elektrik penuh pertama Bentley.
Pengumuman berkenaan turut disertakan dengan potret rasmi Michelle yang dirakam oleh Pengarah Kreatif Luaran Bentley, Greg Williams.
Hubungan Dengan Bentley Bukan Sesuatu Yang Baharu
Walaupun baru diumumkan secara rasmi sebagai duta global, hubungan Michelle dengan Bentley sebenarnya sudah lama terjalin.
Suaminya, Jean Todt, merupakan peminat jenama tersebut dan memiliki beberapa model Bentley termasuk Continental S3 1965, Mulsanne 2019 serta Flying Spur Speed 1st Edition 2025.

Pelantikan terbaharu ini sekali gus merasmikan hubungan Michelle dengan jenama automotif mewah British itu, menyertai barisan duta global Bentley.
Bagi Michelle, kerjasama tersebut mempunyai makna yang lebih besar daripada sekadar menjadi wajah kepada sebuah jenama.
“Sepanjang lebih empat dekad berada di layar, daripada filem aksi Hong Kong, Crouching Tiger, Hidden Dragon hinggalah dunia yang saya terokai menerusi Everything Everywhere All at Once, saya sentiasa tertarik kepada kisah mengenai transformasi, mengenai karakter yang berkembang tanpa kehilangan siapa diri mereka sebenarnya.
“Bentley membawa idea yang sama, sebuah jenama yang sentiasa mencipta semula dirinya dari semasa ke semasa tetapi tetap setia kepada mutu pertukangan dan jiwanya.
“Itulah sebabnya kerjasama ini terasa begitu semula jadi buat saya. Torcal mewakili lembaran seterusnya buat Bentley dan saya berbesar hati menjadi sebahagian daripada perjalanan untuk menceritakan kisah tersebut,” katanya.
Dari Malaysia Ke Pentas Dunia
Dilahirkan di Malaysia, perjalanan Michelle ke pentas antarabangsa bermula apabila beliau melanjutkan pelajaran di United Kingdom ketika remaja dan menjalani latihan dalam bidang balet.
Beliau kemudiannya mengikuti pengajian Creative Arts with Drama di Cheshire, kira-kira 15 batu dari Crewe, lokasi yang menjadi kediaman Bentley.

Michelle kemudian membina namanya di Hong Kong pada era 1980-an dan muncul sebagai antara pelakon Asia paling berjaya, termasuk terkenal kerana melakukan sendiri aksi lagak ngeri dalam filem-filem awalnya.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah membintangi lebih 50 filem dan produksi termasuk Tomorrow Never Dies, Crouching Tiger, Hidden Dragon, Memoirs of a Geisha, Sunshine, The Lady, Crazy Rich Asians, Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings, siri Star Trek: Discovery serta muzikal Wicked.
Cipta Sejarah Di Anugerah Academy
Karier Michelle mencapai satu lagi kemuncak pada 2023 menerusi Everything Everywhere All at Once apabila beliau menjadi wanita Asia pertama memenangi Academy Award bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik.
Sepanjang perjalanan seninya, beliau juga dikenali kerana membawa karakter wanita Asia yang kuat, kompleks dan berbeza daripada stereotaip tradisional yang sering dipaparkan dalam industri hiburan antarabangsa.
Antara karya terbaharunya termasuk The Surgeon, Blade Runner 2099 dan The Wandering Earth III.
Bentley Mahu Bawa Semangat Prestasi & Pertukangan
Pengarah Pemasaran Bentley, Ben Whattam, melihat Michelle sebagai figura yang mempunyai persamaan kuat dengan karakter jenama tersebut, khususnya dari segi prestasi dan dedikasi terhadap bidang masing-masing.
“Sebagai bintang aksi, ikon Bond dan legenda global, Yeoh mencerminkan semangat prestasi tinggi Bentley serta dedikasi terhadap mutu pertukangan yang disempurnakan selama beberapa dekad.
“Dengan mengumumkan peranannya sebagai duta global jenama serentak dengan pelancaran Torcal baharu kami, kami berharap dapat menghidupkan keyakinan, karakter dan cita-cita yang mendefinisikan Bentley hari ini,” katanya.
Michelle Yeoh Jadi Sebahagian Daripada Era Baharu Bentley
Pelantikan Michelle berlaku ketika Bentley memasuki satu fasa penting dalam sejarahnya.
Torcal bukan sekadar model baharu, tetapi menjadi tanda perubahan arah jenama itu apabila Bentley mula memasuki era kenderaan elektrik penuh.
Dalam konteks tersebut, pemilihan Michelle sebagai duta global mempunyai simbolisme tersendiri. Kerjayanya sendiri dibina melalui perubahan, daripada filem aksi Asia kepada produksi Hollywood dan akhirnya menjadi pemenang Academy Award tanpa kehilangan identiti yang membentuk dirinya.
Persamaan itulah yang cuba diketengahkan Bentley ketika jenama berusia lebih satu abad itu bergerak ke fasa seterusnya.
Dan buat Michelle Yeoh, pelantikan terbaharu ini menambah satu lagi pencapaian antarabangsa kepada perjalanan seorang anak Malaysia yang sudah lama membuktikan bahawa namanya mampu berdiri di pentas dunia.
Sumber: Bentley

sekarang!
