
Kerang, lala, kepah memang sedap dimakan tapi masalah kekotoran dan pasir buat ramai yang jadi tak rajin nak memasaknya. Selain itu bila dah masak ada juga kerang dan lala susah nak dibuka.
Sebenarnya ada cara mudah untuk selesaikan masalah ini. Jika nak masak kerang, lala, kepah dan hidangan bercengkerang seperti ini praktikkan petua yang dikongsi di bawah.
Insya-Allah pasir dari lauk cengkerang ini akan keluar dan terbuka bila dimasak. Jadi taklah susah untuk dikupas.
Tip kerang bersih dan mudah terbuka
Cara mudah nak bersihkan kerang guna tepung dan lada kering. Caranya;
- Jika kerang masih ada selut, bersihkan dulu.
- Kemudian rendam kerang dengan tepung gandum dan lada kering (guntingkan). Cara ini kerang akan terbuka keluarkan kotoran yang ada di dalamnya dengan sendiri.
- Jika nak merebus kerang, didihkan dulu air bersama serai ketuk, bawang dihiris, lada kering gunting dan garam. Selepas mendidih baru masukkan kerang.
- Insya-Allah cantik kejadiannya, kerang mudah terbuka.
Kredit Fariza Basar
Bersihkan lala
Jika nak masak lala, kepah dan lauk lebih kurang dengannya, rendam dahulu dengan cili kering yang dipotong atau cili burung/padi. Selepas direndam semua pasir yang melekat di dalamnya keluar habis.
Kredit Azmira Ismail
Guna garam pun boleh
Selain cara di atas boleh juga rendam kerang atau lala menggunakan air dicampur dengan garam. Cara ini juga menyebabkan hidangan laut ini memuntahkan pasir dan kotoran dari dalam dan seterusnya memudahkan kerja membersih.
Selamat mencuba
Elak Beri Anak Makan Aiskrim Vanilla Waktu Sakit Tekak , Pilih Aiskrim Jenis Ini Baru Betul

Selalu kita dengar antara tip bila anak sakit tekak waktu demam adalah beri makan aiskrim. Ramai yang praktikkan perkara ini tambah pula aiskrim memang senang anak nak makan.
Tapi apa yang ramai tak tahu, bukan semua aiskrim sesuai. Ada aiskrim yang boleh menyebabkan sakit tekak yang dialami oleh anak takkan reda. Jadi pastikan kita pilih aiskrim yang betul untuk diberi. Info ini dikongsi oleh pegawai perubatan, Dr Mazliana Mazlan.
Menurut beliau aiskrim vanilla atau pelbagai perisa yang selalu diberi pada anak waktu demam tidak sesuai dan harus dielakkan. Beliau memberikan penjelasannya.
Aiskrim vanilla buat radang di tekak tak reda
Elakkan aiskrim vanila waktu anak sakit tekak. Aiskrim nilah sebenarnya mungkin buat radang tekak tak baik-baik.
Ais. Yang ini memang boleh kurangkan sakit. Sakit lebam dahi anak sebab jatuh, kita letak ais. Kaki anak tergeliat main basikal, kita letak ais.
Ais, hanya untuk kurangkan rasa sakit di tekak. Cari ais yang tak dapat tambahkan radang pada tekak anak.
Aiskrim vanila, banyak betul bahan ramuan dia kan. Gula pulak tu yang pertama. Perasa tiruan, pewarna tiruan, pengawet, dan banyak lagi kan. Sakit tekak ni, biasanya sebab jangkitan bakteria atau virus. Gula makanan bakteria. Kita bagi baja gula, makin lambat anak nak sembuh dari sakit dan radang tekak bila makan aiskrim vanila sebenarnya.
Walau yang buat sendiri kat rumah guna susu segar dan gula organik, tetap ada sumber radang dari susu yang boleh pekatkan kahak. Dan gula walau organik sekalipun, ia tetap gula, tetap pemanis yang kita perlu kurangkan dari anak bila tak sihat.
Sebenarnya kan, dulu saya pun pernah beritahu pesakit cilik untuk makan aiskrim vanila sebab nak kurangkan sakit tekak. Belum dapat kesedaran tentang makanan proses lagi waktu itu. Sekarang, baru tahu semua ini.
Ini aiskrim yang sesuai
Boleh saja kita nak bagi makan aiskrim waktu anak tak sihat. Bagi aiskrim dari buah.
Blend sendiri buah semata-mata, gula pun tak payah letak. Cari buah yang manis, kalau tawar sangat tambah madu sikit.
Inilah baru namanya aiskrim sihat yang walau anak sakit pun masih boleh makan. Gitu!
Kita yang pilih apa anak boleh makan dan tak boleh makan kan. Kita cuba sama-sama ya.
Buat sendiri aiskrim untuk anak
Boleh cuba aiskrim dari buah betik
Kisar betik dan air, tambah madu. Masuk dalam aiskrim mould. Anak sakit tekak makan mesti kurang sakit dan radang tekak, insyaAllah.
Ini aiskrim dari buah naga dan pisang saja!
Ini aiskrim vanila yangf saya buat. Walaupun homemade, tetap ada susu dan gula organik. Dua sumber radang jugak. Elakkan waktu anak tak sihat ye.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Mazliana Mazlan
Tak Basuh Buah Sebelum Makan Boleh Jadi Punca Batuk. 3 Bahan Dapur Ini Boleh Guna Untuk Cuci Buah

Makan buah-buahan segar memang bagus kerana penuh dengan khasiat semula jadi yang elok untuk tubuh badan.
Tapi boleh jadi juga makan buah punca kena masalah batuk. Bagaimana boleh jadi begini? Salah satunya kerana kita tak cuci buah-buahan dengan betul sebelum dimakan. Perkara ini dijelaskan oleh Dr. Mazliana Mazlan, dan beliau turut berkongsi cara mencuci buah-buahan dengan betul.
Makan buah tak dicuci punca batuk dan alergik
Kadang anak batuk dan alergik lepas makan buah, mungkin sebab kita yang tak cuci buah dengan betul.
Saya pernah kena. Anak batuk lepas makan blueberry. Dia terus ambil dari peti sejuk blueberry yang saya baru beli, dan tak sempat basuh pun lagi.
Terus saya serik lepas tu tau. Bila beli apa-apa buah, mesti sampai rumah cuba untuk terus basuh. Sebab takut anak-anak termakan dan batuk lagi.
Dalam buah, dan sayur ada sisa-sisa racun serangga. Itu mungkin antara punca yang buatkan anak batuk dan alergik.
Cara mudah cuci buah guna bahan di dapur
Ini cara mudah untuk cuci buah-buahan. Boleh guna salah satu bahan di bawah;
-Garam
-Cuka
-Soda bikarbonat
Salah satu dari 3 bahan ini wajib ada di rumah untuk kita cuci buah dan sayur. Tak boleh putus stok okay.
Kalau nak guna sabun pencuci buah pun boleh, cari yang natural dari bahan semula jadi. Tapi, sebab dah boleh dapat 3 bahan tadi dengan harga jauh lebih murah, sebab tu saya tak guna sabun pencuci buah.
Ratio untuk basuh buah dan sayur
1. Garam – 1 sudu kecil garam : 1 cawan air
2. Cuka – 1 cawan cuka : 3 cawan air
3. Soda bikarbonat – 2 sudu kecil soda bikarbonat : 4 cawan air ( nak mudah boleh beli jenis shaker. Boleh klik SINI )
Kacau sebati, dan rendam buah atau sayur dalam 10 – 15 minit. Kali ini saya buat untuk buah strawberi dan blueberry. Boleh tengok gambar ya macam mana saya buat. Tak susah pun, perlukan sedikit je effort dari kita.
Lepas rendam boleh bilas dan tos.
Kita cuba sama-sama ya, basuh buah dengan lebih teliti lepas ni.
Sumber: Dr. Mazliana Mazlan
Teknik Elak Diri Dari Disambar Petir, Salah Satunya Segera Duduk Begini!

Kalau diperhatikan dua tiga hari ini keadaan cuaca hujan disertai dengan petir. Apa yang menakutkan dalam cuaca sebegini adalah panahan petir yang jika terkena memang boleh mengakibatkan
Agar kejadian begini tidak berlaku pada diri atau orang tersayang seeloknya kita ketahui apa yang perlu dilakukan ketika berada dalam cuaca begini untuk mengelakkan diri dari jadi mangsa panahan petir.
Berikut adalah 10 perkara yang perlu anda lakukan :
1. Cari tempat perlindungan segera
Hentikan semua aktiviti luar dan carilah perlindungan sebaik sahaja anda melihat awan gelap muncul. Petir boleh memanah anda walaupun awan gelap itu berada 15 km dari tempat anda, dan ia tidak semestinya diiringi hujan!
2. Jarakkan diri dari rakan
Lari untuk mencari perlindungan sebaik sahaja anda melihat pancaran petir. Ketika ini, anda sudah berada dalam keadaan sangat bahaya dan berkemungkinan untuk dipanah petir. Jika berkumpulan, jarakkan diri sekurang-kurangnya 50 hingga 100 kaki untuk mengurangkan risiko panahan petir mengenai rakan yang lain.
3. Jangan guna payung atau beg ada unsur besi
Jangan tunggu hujan turun kerana petir boleh memanah anda walaupun hujan belum turun. Jangan sesekali gunakan payung ketika adanya petir. Sekiranya mengenakan beg yang ada unsur besi, segera buka.
4. Elak berlindung bawah pokok atau khemah
Jangan berlindung di bawah pokok, khemah, bangsal kecil, kongsi atau gerai makanan di tepi jalan. Jika anda berlindung di tempat yang sempit atau kecil, pastikan ia dilengkapi sistem pertahanan petir.
5. Masuk dalam bangunan besar
Cari perlindungan dalam bangunan besar dan kukuh (rumah atau kedai), kenderaan (bas, van atau kereta) atau struktur yang besar (jambatan). Jangan berlengah-lengah di luar bangunan kerana anda mungkin akan terkena panahan petir.
6. Cari tempat rendah atau masuk dalam longkang kering
Jika tiada tempat berlindung, segera turun dari tempat tinggi (guar, bukit, platform). Segera berlindung di tempat rendah atau masuk ke dalam longkang kering.
7. Berada dalam Kedudukan Pertahanan Petir
Segera duduk dalam Kedudukan Pertahanan Petir, iaitu bercangkung dengan kedua belah kaki dirapatkan dan menutup telinga dengan tangan. Jangan sentuh sesiapa atau sebarang objek (pagar, besi dan lain-lain).
8. Basahkan pakaian
Jika hujan, basahkan pakaian anda kerana pakaian basah membantu mengurangkan kecederaan serius jika dipanah petir. Biarkan arus elektrik itu mengalir di luar tubuh anda.
9. Dalam rumah jangan sentuh barang atau kabel elektrik
Di dalam tempat perlindungan, jangan sentuh objek metalik, barang atau kabel elektrik. Jangan gunakan telefon, melainkan jika terpaksa. Jauhkan diri dari balkoni, beranda, pintu, tingkap, dinding, atau tiang.
10. Tunggu 30 minit dari guruh terakhir
Pastikan anda berada didalam tempat perlindungan itu untuk tempoh sekurang-kurangnya 30 minit selepas guruh yang terakhir kedengaran. Ingat, walaupun hujan telah berhenti, petir masih bolehmemanah bumi.
Sumber: Astro Awani