
Sekarang musim buah cempedak, kalau digoreng memang enak. Lagi best dapat yang rangup krup krap. Tapi nak hasilkan gorengan begini bancuhan tepung kena sediakan ikut caranya.
Tuan Adriana Arissa berkongsi cara bancuhan ini yang menurutnya akan kekal rangup walaupun dah sejuk. Ini juga katanya bancuhan yang digunakan untuk berjualan, pisang goreng, ubi, seafood dan juga tauhu bergedil untuk hasil yang rangup.
Cempedak goreng rangup, tetap krup krap walaupun dah sejuk
Cempedak goreng rangup. Resipi bancuhan tepung rangup seperti di bawah. Rangup krup krap walaupun dan sejuk.
Selain cempedak, boleh buat untuk seafood, pisang, ubi dan lain. Tauhu bergedil jualan saya pun guna bancuhan tepung ini.
Bahan-bahan:
2 cawan tepung beras
1 sudu kecik garam
Sedikit air kapur (hujung sudu kecil)
1 biji telur
Pewarna kuning telur
Ais (4-5 ketul) rahsia tepung rangup tahan lama
Air sejuk (jangan cair atau pekat sangat) nanti ais akan mencair.
Cara membuat
1. Bancuh semua bahan-bahan dalam mangkuk.
2. Masukkan cempedak dalam bancuhan, pastikan cempedak disaluti bancuhan.
3. Panaskan minyak dan boleh mula menggoreng. Minyak kena panas ya.
4. Angkat bila nampak garing dan tos.
Tip pilih tepung beras
- Boleh guna Tepung Beras Gajah Seekor. Tepung ini sesuai digunakan untuk salutan goreng-goreng seperti pisang goreng, ubi goreng, cempedak goreng.
Selamat mencuba.
Sumber: Tuan Adriana Arissa
Ini Sebabnya Kita Mengidam Makan Macam-Macam Walau pun Tak Mengandung

Walaupun tak mengandung tapi kita selalu saja teringin atau mengidam nak makan macam-macam sampai ada yang salah sangka kita berbadan dua.
Hakikatnya keinginan ini sebenarnya adalah petanda bahawa tubuh kekurangan sesuatu nutrisi dan meminta ia dipenuhi.
1. Asam
Jika tubuh sedang kekurangan vitamin C, kita mungkin akan terdorong untuk makan mangga atau buah-buahan sitrus kerana ia mengandungi banyak khasiat ini.
Atau boleh jadi buah-buahan lain yang mengandung vitamin C atau yang sebenarnya menjadi kegemaran seseorang. Tapi elakkan makan buah-buahan jeruk kerana ia tidak elok untuk kesihatan.
2. Coklat
Walaupun dah makan berat tapi tiba-tiba teringin sangat nak makan coklat. Ini petandanya tubuh kekurangan magnesium.
Makanan alternatif yang elok diambil selain coklat adalah kekacang dan biji- bijian seperti kuaci, kacang badam, pistachio, dan buah-buahan segar.
3. Gula-gula
Tiba-tiba rasa macam budak-budak bila teringin nak makan lolipop, gula-gula, dan sebagainya. Ia petanda tubuh sedang kekurangan zat kromium, karbon, fosforus, sulfur
Gula-gula memang tidak elok untuk diambil kerap jadi makanan yang sepatutnya diambil adalah brokoli, anggur, keju, ikan, telur, susu, bayam, kentang, dan kekacang.
4. Kopi teh
Kalau anda asyik teringin minum kopi atau teh ia mungkin menandakan tubuh kekurangan: fosforus, sulfur, natrium klorida (garam), zat besi.
Tiada masalah tapi pastikan anda tidak mengambilnya lebih dari dua cawan sehari. Tapi sebaiknya anda ambil makanan seperti daging, ayam, ikan, telur kuning, hati, tauhu, tempe, kacang, bawang putih, cuka epal, rumpai laut, sayuran hijau, ceri hitam.
5. Air gas
Walaupun tak elok diamalkan tapi entah kenapa ada hari kita akan teringin nak minum air bikarbonat ini. Puncanya mungkin kerana tubuh ada kekurangan zat besi, mangan, dan kalsium.
Daripada minum air gas lebih elok mengambil jus nenas, jus delima, danair sejuk yang diperah limau nipis atau lemon. Sebagai snek, anda boleh mengambil sumber kekacang seperti ‘almond’, ‘walnut’, dan ‘pecan’.
Kelebihan Guna Tanah Campuran Buatan Sendiri Untuk Bercucuk Tanam, Ikut Sukatan Ini Untuk Sediakannya

Bagi memastikan tanaman yang kita tanam di rumah subur, faktor tanah atau media cukup penting. Selalunya kita guna tanah campuran yang kita beli terus di nurseri. Tanah jenis ini memang membantu tanaman kita subur.
Tapi daripada beli apa kata kita buat sendiri tanah campuran ini. Lagi jimat dan cara menyediakannya juga mudah. Bagi yang banyak bercucuk tanam boleh ikut perkongsian Azuan Abdullah untuk membuatnya.
Cara buat tanah campuran yang paling mudah
Nisbah untuk buat tanah campuran ini tiada yang tepat sebenarnya, sebab ia bergantung kepada jenis dan tekstur tanah top soil tersebut.
Kebiasaan yang selalu saya buat adalah nisbah 2:1:1 dan 1:1:1. Yang saya ajar ini adalah nisbah 2:1:1. Ianya bermaksud 2 bahagian tanah top soil, 1 bahagian pasir dan 1 bahagian bahan organik.
Ini bahan-bahan yang digunakan:
- Tanah top soil
- Pasir halus (nak guna cocopeat pun boleh)
- Tinja lembu kering (nak guna bokashi, kompos atau lain-lain bahan organik pun boleh)
- EM atau Plant Booster
Cara membuat:
1. Ambil 2 bahagian tanah top soil. Tanah ini saya ambil depan rumah saja.
2. Ambil 1 bahagian pasir halus. Ini pasir lebihan buat pagar rumah.
3. Ambil 1 bahagian tinja lembu kering. Pastikan ianya dah betul-betul kering (boleh juga guna tinja ayam, kambing bokashi atau kompos).
4. Gaulkan ke 3-3 bahan tadi hingga sebati.
5. Isikan campuran yang dah siap di dalam bekas tanaman yang kita nak guna. Saya guna tong cat terpakai saja.
6. Siram tanah campuran tadi dengan plant booster atau EM. Kadar pencairan adalah 15-20 ml untuk 1 liter air. Saya siram lebih kurang 2 liter untuk satu tong cat.
7. Jika tak ada EM atau Plant Booster, tak jadi masalah. Siram saja dengan air kosong.
8. Biarkan tanah selama satu minggu. Lepas satu minggu boleh tanam dengan pokok yang kita suka.
9. Media campuran yang lebih, saya simpan dalam tong sampah hitam sebagai stok. Tutup dan simpan ditempat redup. 2 minggu sekali siram dengan plant booster. Senang bila nak guna, terus ambil.
10. Pastikan tong cat dan tong sampah tadi ditebuk dibahagian bawah. Jika tak tebuk, tanah campuran kita akan rosak nanti.
Nisbah tanah campuran 2:1:1 ini sesuai untuk semua jenis tanaman kecuali nanas MD2. Untuk nanas MD2, saya guna nisbah 1:1:1.
Kelebihan guna tanah campuran
Kenapa bila berkebun dapur, saya suka guna tanah campuran berbanding media lain. Sebabnya bila guna tanah campuran, kita boleh jimat air. Tak ingat siram dua hari pun pokok steady jer. Tak layu.
Baja pun boleh jimat juga. Macam pokok di rumah saya, hanya 2 kali seminggu diberi air baja. Jimat tak?
Semoga bermanfaat.
Sumber: Azuan Abdullah
Doktor Kongsi ‘Home Remedy’ Mudah Untuk Atasi Batuk, Guna Bawang & Madu Saja

Batuk antara masalah biasa sekarang, tambah pula pada waktu cuaca tak menentu.
Bila kena batuk kita akan terus ambil ubat batuk, maklumlah sekarang ini antara simptom yang dikaitkan dengan Covid 19 juga.
Bukan itu saja, kebanyakan sakit walaupun ringan kita terus makan ubat untuk cepat sembuh.
Sebenarnya selain dari pengambilan ubat, ada saja rawatan semula jadi yang boleh kita guna untuk sembuhkan penyakit termasuklah batuk.
Dikongsi oleh DrRizal Abu Bakar, beliau menurunkan cara merawat batuk menggunakan bawang dan madu yang boleh kita praktikkan sebagai alternatif makan ubat.
Kesan ubat batuk pada otak
Zaman sekarang, saya lihat ramai yang kerap sakit. Terutama selesema dengan batuk. Mainan fikiran buatkan badan rasa lemah semacam. Betul tak?
Fikir pasal cik Vid. Asal demam je cik Vid. Asal batuk je cik Vid.
Bukan setakat cik Vid. Sekarang ni juga musim berubah-ubah. Kejap panas kejap hujan.
Saya dah pernah kongsi tentang remedy untuk selesema. Green flu shot dan minuman immune booster. Kali ini saya nak share tentang cara rawat batuk.
Pernah tengok tak kesan ambil ubat batuk pada otak?
Dulu masa saya kerja di Australia. Saya pernah lihat. Saya jadi takut lepas tengok.
Semenjak hari tu. Saya dah tak ambil dah ubat batuk. Lagi-lagi nak bagi kat anak-anak. Jauhkan diri daripadanya.
Bila batuk menjelma. Saya guna alternatif lain. Cari yang kesannya tak macam ubat batuk. Kesan yang berbeza terus. Kesan yang tak jahanamkan otak.
Makan masa untuk saya cari. Saya review jurnal saintifik. Saya baca buku. Saya rujuk mereka yang pakar. Akhirnya, jumpa.
Bawang dan madu, home remedy untuk batuk
Sehingga kini, saya gunakan petua ni sekiranya batuk. Cara pun mudah.
Caranya ialah:
1. Potong 1 biji bawang Bombay/Holland kepada 2 bahagian. Guna 1 bahagian sahaja.
2. Leraikan lapisan bawang tadi.
3. Campurkan 1 atau 2 sudu makan madu mengikut yang kita mahu.
4. Gaulkan biar rata.
5. Tutup dan biarkan selama 1 atau 2 jam.
6. Jus akan dirembeskan melalui bawang bercampur madu.
7. Ambil satu sudu dan minum.
Rasanya persis ubat batuk. Tujuannya keluarkan kahak dengan mudah. Tiada kesan buruk pada otak.
Orang putih panggil ‘cough syrup.’ Melalui pembacaan saya dapati juga petua ni mereka pakai lama dah. ‘Homemade remedy’ untuk batuk.
Boleh cuba di rumah.
Sumber: DrRizal Abu Bakar