Lima anak semua lelaki, boleh bayangkan keadaan wanita ini di rumah. Apatah lagi usia mereka semuanya masih kecil, dalam proses membesar yang pastinya lasak.
Hanya ibu yang berada di tempat ini saja yang memahami keadaaannya. Inilah yang diceritakan oleh Siti Maisarah Saifudin ibu lima hero berusia 8,6,5,3 tahun dan terbaru lima bulan.
Buat ibu-ibu yang punya semua anak lelaki atau semua anak perempuan, jangan pernah rasa terkilan. Kejadian Tuhan sesungguhnya yang terbaik untuk kita dan ada hikmahnya.
Story sharing hari ini…
Apabila saya ke mana, ditanya dengan persoalan,
“Ya Allah, semua 5 lelaki ke? Macam mana Sarah jaga?”
Saya hanya mampu tersenyum.
Sempat saya berseloroh,
“Anak pertama kedua ni, memang jadi harimau singa.
Tapi masuk no 5, dah jadi Naga berapi uminya. Hahaha”
Org arab kata, Get what I mean?
Yes! Bukan semudah yg disangka.
Allah mahu cukupkan pengusung jenazah saya
Kalau yg pertama lelaki, adalah bonus bagi saya.
Anak kedua lelaki, Allah nak bagi Kawan Untuk abangnya.
Anak ketiga juga lelaki, Allah nk bagi Geng Surau ayahnya.
Yang ke empat juga lelaki, itu tanda Allah cukup kan pengusung Jenazah saya.
Dan apabila yg kelima juga lelaki,
Tiada ungkapan yg terbaik melainkan syukur tak terhingga.
Bererti Allah izinkan saya merasa menjadi Permaisuri di kalangan mereka.
Tipulah kalau tak teringin anak perempuan
Seringkali juga saya ditanya,
“Tak teringin ke Anak perempuan? ”
Tipulah kalau tak teringin. Saya juga manusia normal.
Tapi itu kuasa Allah swt.
Bukan terletak pada kuasa saya.
Allah lebih mengetahui,
Kenapa Allah mengurniakan saya semua Anak lelaki.
Kerana Allah mahu saya kuat!
Ibu yang punya anak semua lelaki jangan sedih
Ya! Saya mesti kuat.
Untuk mereka. Untuk saya.
Wahai IBU yang punya anak semua lelaki,
Jangan sedih. Jangan merintih.
Berbanggalah kerana kita menjadi cinta pertama buat mereka..
Ya Allah,
Jaga kan pahlawan muda saya.
Moga menjadi pahlawan syurga.amin.
Doakan saya moga kuat menjaga mereka..
#cintapertamaanaklelaki
#kisahbenar
#kisahsaya
Sumber: Siti Maisarah Saifuddin
10 Tip Penjagaan Anak Berkhatan Supaya Tak Bentan & Luka Cepat Sembuh
Musim cuti sekolah ni ramailah anak-anak lelaki yang berkhatan. Ibu bapa pun ramai yang mengambil cuti untuk menjaga anak.
Bagi ibu bapa yang kali pertama menjaga anak yang berkhatan mungkin sedikit keliru dengan bermacam-macam tip yang dikongsi, tambah saspen bila ada yang bercerita tentang anak bentan lepas khatan jika tidak dijaga dengan betul.
Walau ada macam-macam tip yang didengar paling elok ambil dari pakar. Ibu bapa boleh ikut tip yang diberikan oleh Kamarul Ariffin Nor Sadan ini tentang cara penjagaan yang betul agar luka khatan tak bernanah dan anak cepat sembuh.
Sekarang ni musim berkhatan, ramai ibu bapa mohon saya tips penjagaan selepas berkhatan agar tidak bentan atau bernanah dan luka cepat sembuh.
Jadi hari ni saya nak beri sedikit penerangan tentang penjagaan luka selepas berkhatan.
1.Jangan biar lebih 72 jam
Jangan biarkan balutan luka tidak dibuka lebih 72 jam. Ia perlu dibuka, untuk pantau komplikasi berikut:
– Jangkitan/nanah
– Bengkak/bentan
– Jahitan terbuka
– Keruping melekat pada balutan
2. Cuci 2-3 hari sekali
Luka berkhatan perlu dicuci 2-3 hari sekali menggunakan normal saline. Caranya:
– Bersihkan daki / darah beku sekitar luka
– Cuci luka dengan normal saline
– Periksa jika ada jahitan & tanda jangkitan
– Tutup semula luka jika tiada tanda-tanda.
3. Ubat doktor
Ada beberapa ubat yang dibekalkan oleh doktor selepas prosedur berkhatan:
– Tahan sakit: diambil bila perlu
– Antibiotik: perlu diambil ikut jadual
– Ubat cucian: lazimnya normal saline
– Elak sapu minyak/herba pada luka
4. Jika anak mengadu ngilu
Anak-anak kadangkala mengadu berasa ngilu bila kepala zakar bergesel dengan pakaian(seluar/kain). Itu perkara normal kerana ia bahagian yang sensitif dan sebelum ini ia dilitupi kulit, tetapi kini terdedah. Ngilu itu akan beransur-ansur hilang.
5. Pakaian longgar
Pakai pakaian yang longgar dan selesa supaya aliran darah tidak terganggu dan dapat pengudaraan yang secukupnya. Ini membantu proses penyembuhan luka. Boleh pakai seluar, asalkan tidak terlalu ketat.
6. Boleh berjalan
Selepas berkhatan, anak-anak dibenarkan berjalan. Malah mereka tidak digalakkan hanya berbaring sahaja. Aktiviti ringan ini membantu pengaliran darah dan mengurangkan tempoh penyembuhan luka. Cuma jangan lasak sangatlah.
7. Pastikan minum air secukupnya
Ada petua lama yang mengatakan minum air banyak selepas berkhatan menyebabkan bentan. Itu tidak benar. Air yang cukup adalah satu faktor yang penting untuk penyembuhan luka.
8. Jaga pengambilan makanan
Perlu ambil makanan yang mengandungi protein, serat, vitamin secukupnya. Boleh makan: ayam, telur, ikan, kicap, sayur. Ia tidak akan menyebabkan kegatalan atau kehitaman pada luka berkhatan.
9. Luka akan sembuh 10-14 hari
Luka berkhatan akan sembuh dalam masa 10-14 hari. Jika ada tanda-tanda berikut, jumpa doktor:
– Sakit/bengkak melampau
– Nanah yang banyak
– Demam tinggi
– Tak boleh kencing
10. Bawa untuk rawatan susulan
Bergantung pada teknik khatan, mungkin perlu bawa anak berjumpa doktor untuk rawatan susulan.
– Jahitan konvensional: tak perlu dibuka
– Klamp: perlu jumpa doktor untuk dibuka
– Gam: tak perlu jumpa doktor semula
– Mesih jahit: perlu jumpa tukang jahit.
OK, yang last tu bergurau je. Jangan kau minta tukang jahit jahitkan cara tulang belut, mata lalat apa semua.
Semoga bermanfaat!
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Doktor Komuniti FB Anda
Jangan Letak Kerusi Bayi Belakang Kerusi Pemandu, Di situ Adalah Blind Spot! Doktor Kongsi 9 Tip Elak Kejadian Tertinggal Bayi Dalam Kereta Berulang
Semalam berlaku kejadian menyayat hati bila seorang bayi perempuan berusia dua tahun meninggal dunia selepas empat jam ditinggalkan di dalam kereta oleh ibunya.
Semua emosi mendengar berita ini dan tak kurang juga menyalahkan ibu kerana sikap terlupa. Tapi hakikatnya tiada ibu yang mahu perkara ini berlaku pada anak yang dikasihi.
Dapat difahami betapa berat kesedihan yang dirasai oleh ibu berkenaan sekarang. Lebih daripada itu adalah baik kita ambil pengajaran daripada kejadian yang berlaku.
Rentetan dari kejadian ini Kamarul Ariffin Nor Sadan berkongsi tip bagaimana untuk mengelak kelalaian terutama akibat terlupa berlaku lagi. Jika diperhatikan daripada kes yang sama sebelum ini kebanyakan puncanya adalah sikap terlupa ibu bapa.
Kena tangani kelalaian
Hari ini kita digemparkan lagi dengan berita kes kematian seorang kanak-kanak kerana ditinggalkan di dalam kereta diparkir untuk masa yang lama.
Kes seperti ini kerap berlaku, dan biasanya disebabkan kelalaian ibu bapa. Insiden seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa, termasuk diri kita sendiri, jadi kita perlu tangani kelalaian ini.
Di sini saya ingin kongsi beberapa tips untuk mengurangkan kebarangkalian perkara ini terjadi kepada anak anda.
1. Jangan letak kerusi kanak-kanak di belakang kerusi pemandu. Di situ adalah titik buta (blindspot). Letak di bahagian belakang tempat duduk penumpang agar ia berada dalam ruang pandangan.
2. Sentiasa jadikan amalan untuk memeriksa dalam kabin(termasuk tempat duduk penumpang hadapan dan tempat duduk belakang) sebelum mengunci kenderaan anda. Mulakan amalan ini mulai sekarang.
3. Letak patung permainan di kerusi kanak-kanak. Apabila letak anak di dalam kerusi itu, pindahkan patung tersebut di tempat duduk penumpang hadapan. Pilih patung yang besar dan berwarna terang. Patung itu peringatan bahawa anak anda di belakang.
4. Jika anda ada membawa beg susu anak anda bersama, sentiasa letak beg itu di bahagian hadapan. Konsepnya sama seperti tip ke-3. Ia peringatan bahawa anak anda ada di kerusi kanak-kanak di tempat duduk belakang.
5. Letakkan barang yang penting di belakang, bersama anak anda. Contoh: beg kerja, kunci pejabat, tag kerja, atau sebelah kasut anda di ruangan kaki di belakang. Nota: tidak digalakkan memandu tidak berkasut.
6. Letakkan tag/label pada pemegang pintu sebelah pemandu di bahagian luar, yang menandakan anak anda di dalam kereta. Label ini boleh dibeli atau dibuat sendiri menggunakan barangan di rumah. Contoh seperti dalam gambar di bawah.
7. Pesan kepada pihak sekolah atau pengasuh agar menelefon anda jika anak anda tidak tiba ke sekolah atau di rumah asuhan pada masanya. Boleh juga pesan pasangan anda untuk mengingatkan anda, terutamanya jika ada bertukar rutin menghantar anak.
8. Guna peranti (device) atau aplikasi telefon untuk mengingatkan anda bahawa anak anda di dalam kereta. Contohnya: ChildMinder SoftClip atau aplikasi Kars 4 Kids Safety . Nota: harganya tidak murah dan aplikasi memerlukan kereta mempunyai fungsi Bluetooth.
9. Bagi yg selalu guna aplikasi navigasi Waze, boleh pilih untuk hidupkan aturan Child Reminder ( Settings>Advanced Settings>General>Child Reminder). Waze akan mengingatkan anda sejurus sampai destinasi.
Sumber Kamarul Ariffin Nor Sadan
Hamil Kegembiraan Buat Siti, Tapi Risiko Gadai Nyawa Menanti Ibu Ini Bila Hamil Anak Ke-7
Sebak membaca kisah dugaan saat disahkan hamil yang dihadapi ibu ini. Saat Datuk Siti Nurhaliza bergembira dengan kehamilan dia pula sebaliknya.
Ini kehamilannya yang ketujuh dan sebenarnya dilarang oleh doktor kerana boleh menyebabkan dia kehilangan nyawa dan dia pernah berdepan situasi yang sama dalam dua kehamilan sebelum ini.
Dia nekad teruskan kehamilan walaupun tidak disarankan doktor. Tapi ajaibnya kuasa Tuhan, apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Ikuti kisah yang ditulis bak novel perjuangan Nor atau dikenali sebagai Bonda Nor dalam meneruskan kehamilan anak ke tujuh.
Sebak menonton video Siti
Siti Nurhaliza. Saya menonton rakaman video Siti menemani menantunya bersalin ketika itu. Dari sekalian yang ada, Siti yang tampak teruja sekali.
Sebaik sahaja bayi tersebut lahir, beliau bagai tidak tentu arah.. bertepuk tangan, meraup muka sambil tersenyum gembira.. berjalan ke sana ke mari dengan wajah yang cukup berseri-seri.
Saya sebak! Masya-Allah. Siti tampak begitu teruja dengan kelahiran seorang bayi hingga terdetik doa sepintas lalu di hati saya.
“Ya Allah, kurniakanlah anak untuknya. Berilah dia peluang untuk merasai pengalaman melahirkan anaknya sendiri.”
Sungguh. Rasa kasih kepada insan sebaiknya buat rasa kasihan memenuhi jiwa. Lalu doa dan harapan dikirimkan kepada yang Maha Mendengar di langit sana.
Saya memohon kepada Allah agar Siti boleh hamil. Ketika itu saya sendiri sedang hamilkan anak yang ketujuh.
Ironinya, saya mendoakan Siti agar hamil seperti yang dirancang, walhal ketika itu saya sendiri sedang berdepan dengan satu kehamilan yang ‘dilarang’.
Throwback hampir dua kali hilang nyawa
Throwback – kisah pelahiran terdahulu : ya – saya hampir saja kehilangan nyawa. 2 times retained placenta. Uterine Inversion. Bleeding. Red alert. HB menjunam ke level orang nazak. Allahu.. Sakit yang terpaksa saya tempuhi ketika itu, jangan cakaplah. Trauma!
Ia komplikasi yang sangat berisiko tinggi akan berulang lagi. Maka saya akur pada nasihat pakar O&G agar tidak mengandung lagi.
Tapi takdir tidak begitu. Bicara takdir seringkali berbeza dengan kehendak manusia. Yang tidak mahu, Dia beri. Yang teringin sangat, Dia sekat.
Lihat saja betapa banyaknya bayi yang dibuang merata-rata tanda kehadirannya tidak dipinta. Kita juga lihat betapa ramainya orang disekeliling kita yang sudah lama berumahtangga namun masih tidak beroleh cahaya mata. Meruntun jiwa mendengar rintihan pengharapan mereka. Allah..
Demikianlah yang dinamakan ujian. Sengaja Allah mahu lihat respons kita. Tentang sejauhmana kita mahu percaya pada aturan takdir-Nya. Sejauh mana kita mampu berusaha dan mahu reda apa adanya.
Semalam, saya terbaca kisah perjuangan Siti untuk mendapatkan zuriat. Subhanallah. Termenung panjang saya.
Bergelut dengan usaha untuk beroleh zuriat sedang dalam masa yang sama harus bergelut juga tuntutan kariernya – ternyata perjuangan Siti untuk merentasi ujian ini tidak semudah yang disangka.
Saya dan Siti sama-sama diuji dengan kisah zuriat
11 tahun Siti mencuba rawatan ini, rawatan itu. Dalam kesibukannya, beliau tetap tidak berputus asa. Berjuang habis-habisan walaupun terpaksa berdepan pula dengan masalah berat badan dan ‘krisis rawatan’ Ya. Siti tidak peduli bahkan terus berusaha lagi dan lagi.
Akhirnya, sesudah 11 tahun, hasratnya untuk hamil kini menjadi kenyataan. Siti mengandung 4 bulan. Subhanallah. Satu berita yang cukup indah dan disambut dengan penuh syukur oleh jutaan insan yang mengasihinya.
Ujian. Saya dan Siti sama-sama diuji dengan kisah zuriat. Walaupun jalan cerita kami jauh berbeza, tapi ada sesuatu yang sama. Mujahadah untuk melepasi ujian Allah!
Siti berjuang untuk hamil. Saya pula terpaksa berjuang setelah disahkan hamil. Beliau menyambut berita kehamilannya dengan penuh syukur dan gembira tanda ujian tersebut sudah hampir sampai ke penamatnya.
Saya pula menyambut berita kehamilan saya dengan penuh keliru tanda ujian baru saja bermula.
“Ini soal nyawa. Risikonya – nyawa puan. Anak-anak puan masih kecil. Masih perlu perhatian dan kasih sayang seorang ibu!”
Gugurkan kandungan ini? Allahu Rabbi. Bergeloranya rasa hati bila terpaksa berdepan dengan pilihan ini. Nyawa si anak atau nyawa sendiri? Sungguh! Dalam kesibukan tugas harian, saya mengalami kemurungan!
Rahsia kehamilan dari keluarga
Berita kehamilan saya menjadi khabar rahsia walaupun kepada ahli keluarga. Walaupun pada mak. Walaupun pada ibu mentua. Sengaja saya rahsiakan kerana tidak mahu ada yang mendesak saya agar menggugurkannya!
Begitulah. Saya nekad. Kehamilan diteruskan dan saya sedang berdepan dengan satu pertaruhan. Hidup atau mati. Di saat genting seperti itu, doa adalah senjata yang tidak pernah saya tinggalkan. Pantang bertemu waktu mustajab doa, hati dan lidah berlumba-lumba merayu belas dari Allah.
Pelbagai jenis ubat dan rawatan kami usahakan. Berulang alik dari klinik ini, klinik itu, hospital swasta, hospital kerajaan, homeopati, rawatan tradisional. Air zam-zam juga bahkan setia menemani bacaan al-Quran saya setiap hari!
Memang. Hati sekejap bergolak, sekejap tenang. Namun saya berusaha melawan semua bisikan negatif yang singgah. Hampir setiap malam, saya bangun solat hajat dan terus menerus melakukan solat istikharah. Waktu orang lain lena, saya sedang menangis mengadukan resah hati kepada Allah. Memohon Allah memberikan kekuatan. Memohon keselamatan.
Perut yang semakin membesar saya usap dengan penuh yakin bahawa nyawa bayi di dalamnya akan selamat. Tapi nyawa saya sendiri… sungguh saya tidak pasti. Menghitung hari kelahirannya bagaikan menghitung hari kematian sendiri. Sayu!
Krisis emosi yang berlaku agak parah juga. Tapi saya keraskan hati saja. Ketika saya sepatutnya seronok membeli baju baby, rasa ngilu yang menusuk hati. Diam-diam menyeka airmata.. Hati tertanya-tanya….Ya Allah, baju ini… sempatkah aku yang memakaikannya?
Itu belum masuk detik menawan keperitan berdepan si kecil 2 tahun saya yang masih mahu dimanjakan. Tersedar tengah malam cari mama. Allah… Menitik-nitik airmata setiap kali dia tertidur di atas pangkuan saya. Tertanya-tanya lagi.. Bagaimana dia jika saya mati?
Serah kain batik lepas pada suami
Namun rasanya detik paling sayu bagi saya ialah sewaktu menyiapkan beg pakaian untuk ke hospital. Saya yang memang jarang berkain batik terpaksa menyelongkar almari untuk mencarinya.
Sewaktu membelek-belek beberapa helai kain batik yang ada, tiba-tiba terpegang sehelai kain batik lepas – kain batik yang belum berjahit, entah pemberian siapa. Yang pasti, hanya itu satu-satunya kain batik lepas yang saya ada.
Lama saya terpaku memegangnya. Ada satu rasa yang sangat sukar digambarkan. Ngilu. Pilu.
“Abang, kalau apa-apa jadi nanti, ini kain batik lepas ya. Kat rumah kita ada sehelai ni je. Ada simpan kat sini.”
Saya menuturkannya secara bersahaja. Berjuang menahan airmata dari tumpah. Suami saya tampak terkedu. Kemudian hanya tunduk memandang sejadah.
Diam. Sama-sama terdiam.
Ya, kami sama-sama faham. Kain batik seperti itu, yang selalu digunakan untuk menutup jenazah. Justeru agak lama juga kami terdiam. Masing-masing melayan bicara hati sendiri. Allahu Rabbi. Beratnya menanggung sesuatu yang tidak pasti.
Hope for the best. Prepare for the worst. Memang saya berusaha untuk memperjuangkan kehamilan anak ini, saya masih mahu untuk terus hidup, tapi saya tahu yang saya tetap perlu bersedia dengan apa pun kemungkinan yang bakal terjadi.
Berita kehamilan saya hanya mula tersebar pada bulan terakhir. Ia saat kritikal untuk saya mengharapkan senjata terakhir – doa daripada sesiapa saja yang sudi mendoakan.
Tak terungkap rasa sayu dan terharu setiap kali menerima mesej seperti…
“Kami semua di sini buatkan solat hajat.”
“Saya baru lepas bacakan Yaasin untuk…”
Takdirnya begitulah. Entah mujarab rawatan yang mana, entah berkat doa siapa, yang pastinya, saya selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Alhamdulillah, selamat tanpa pembedahan walaupun itu yang pakar dan ramai doktor sarankan.
Masya-Allah. Tabarakallah. Nikmat Allah yang mana mahu saya dustakan?
Keajaiban sentiasa ada
Ini kisah perjuangan. Kisah mujahadah. Berapa ramai daripada kalangan kita yang diam-diam sedang bermujahadah merentasi ujian Allah? Semua! Semua kena! Tidak ada yang terlepas!
Kawan, satu perkara yang ingin saya pesankan.. keajaiban itu masih ada. Ya, keajaiban sentiasa ada selagi kita percaya bahawa bantuan Allah itu semudah lafaz KUNFAYAKUN saja.
Sebagai manusia, memang kadang kita rasa lemah bila berdepan dengan ujian. Kalau ikut logik akal kadang rasa mahu mengalah saja.
Tapi kita juga telah lihat dan dengar sebegitu banyaknya kisah-kisah yang memberi inspirasi kepada kita. Yang berbelas tahun tiada zuriat, akhirnya hamil. Yang sepatutnya tiada harapan untuk hidup lagi masih bernyawa hingga ke hari ini.
Episod ujian Siti dan perjuangannya untuk mendapatkan zuriat berakhir sebaik saja beliau hamil. Episod ujian saya dan perjuangan untuk zuriat juga tamat sebaik saja anak ketujuh ini dilahirkan dengan selamat.
Namun pasti saja akan ada episod ujian yang seterusnya. Justeru bekalan pengalaman dan kekuatan daripada ujian ini seharusnya menjadi guru yang baik untuk kami terus percaya bahawa setiap berdepan dengan ujian, yang perlu terus menerus dilakukan ialah berjuang untuk menang. Bukan mengalah dengan mudah hingga terlupa bahawa Allah itu ada dan kita sama sekali tidak boleh berputus asa!
Masya-Allah. Betapa indahnya hidup bila usaha dan tawakkal sentiasa mengiringi kita. Percayalah. Jika Allah ada di hati kita, Insya-Allah walau sedahsyat mana pun laut berkocak, kita masih mampu menjinakkan ombak!
Sumber: Nor