
Pelakon dan model terkenal, Anna Jobling meraih pengiktirafan di peringkat serantau apabila menerima Southeast Asia’s Best Screen Talent Award pada majlis Top 10 of Asia Corporate Ball 2026 di Grand Hyatt, Kuala Lumpur, pada 26 November lalu.
Anugerah Bakat Skrin Terbaik Asia Tenggara itu diberikan sebagai penghargaan terhadap bakat lakonan Anna serta sumbangannya sebagai anak seni Malaysia di rantau ini. Bagi pelakon berusia 26 tahun itu, pengiktirafan tersebut menjadi dorongan untuk terus belajar dan memperbaiki mutu lakonannya.
“Saya sangat bersyukur dan terharu menerima pengiktirafan ini,” katanya dalam satu kenyataan. Menjadikan momen itu lebih berharga, ibunya, Ariz Ayob turut bersama di majlis tersebut menyaksikan kejayaan anak tunggalnya itu.
Selain keluarga, Anna turut berkongsi penghargaan itu dengan pasukan pengurusan, stesen televisyen, pihak produksi dan peminat yang menyokong perjalanan kerjayanya. Menerusi hantaran di Instagram, dia turut mengucapkan terima kasih kepada penganjur dan semua yang pernah membantunya sepanjang bergelar anak seni.

BACA JUGA: Tengku Ampuan Pahang Raih Anugerah Pelajar Terbaik Pengajian Sarjana UIAM
Jika diimbas kembali, pemilik nama penuh Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman mula melonjak populariti menerusi drama Melur Untuk Firdaus. Sambutan terhadap drama berkenaan turut memperkenalkannya kepada penonton Indonesia, sekali gus membuka peluang untuk mengembangkan kerjaya lakonan di negara jiran.
Pada 2024, Anna menjayakan watak Tantri dalam Lembayung, filem seram arahan Baim Wong. Watak itu memberinya ruang meneroka genre berbeza selepas dikenali menerusi drama romantik. Beberapa sedutan babaknya turut tular sejurus selepas filem itu ditayangkan di Indonesia.
Susulan pengiktirafan terbaharu itu, Anna menyatakan hasrat untuk membawa nama Malaysia lebih jauh. Dia juga bersedia mengembangkan kerjaya lakonannya ke pasaran antarabangsa sekiranya mendapat peluang.
Mengimbas permulaan kerjayanya, Anna mencuri perhatian umum ketika bergelar salah seorang finalis pertandingan Dewi Remaja 2018/2019. Pada edisi itu menyaksikan dia berjaya mara ke peringkat akhir sebagai peserta top 5 dan menamatkan saingan di tempat keempat.

sekarang!
