
Ada kala kita beli bawang banyak, disebabkan lama sangat dalam bekas tak digunakan sampai tumbuh ‘jambul’.
Kalau bawang dah jadi macam ni, elok tanam saja terus. Boleh guna cara yang dikongsi oleh Weekenbaker ini. Caranya tanam bawang untuk daun bawang mudah saja, nak guna botol mineral pun boleh, kalau tiada pasu.
Tanam pokok bawang dalam botol pun boleh
Mana-mana bawang yang dah mula nampak jambul, kita tanam saja. Boleh guna untuk masakan di rumah. Bukan apa kadang-kadang nak guna bawang sikit tapi kita lebih lebih. Akhirnya rosak. Sebelum membazir baik tanam.
Cara saya;
1. Ambil botol mineral, tebuk lubang di bawah dengan dawai yang dipanaskan.
2. Isi tanah macam biasa, saya guna sekam padi campur dengan tanah.
3. Tanam bawang tenggelamkan dalam 3/4 saja. Jambul bawang digunting supaya cepat tumbuh.
4. Siram tapi jangan berlebihan. Elak juga kena air hujan, bila tanam dalam botol begini senang untuk dialih.
5. Insya-Allah dalam masa 2 minggu dah boleh dapat hasil. Jika nak daun besar tanam bawang besar.
INFO
– Daun bawang bila dah melentok maknanya dah sampai masa untuk dipotong.
– Selepas potong, daun bawang akan tumbuh semula. Boleh tuai dalam sekali-dua lagi kemudian pokok akan kering.
Selamat mencuba
Sumber: Weekenbaker
Tip Pokok Lemon Cepat Berbuah, Tak Perlu Baja Cuma Siram Saja

Ramai yang cuba tanam pokok lemon, memandangkan banyak kegunaan di rumah dan harganya pun agak mahal.
Cuma selalu yang dirungutkan, pokok ini lambat berbuah. Bertahun-tahun tanam tapi tak juga nampak hasilnya. Selalunya berlaku pada pokok yang ditanam melalui biji benih.
Jika nak hasil yang cepat sebaiknya tanam dari pokok tut. Lebih kurang setahun, pokok lemon dah berbuah. Perkara ini dikongsi oleh Siti Hazel.
Tanam pokok lemon tut, setahun dah berbuah
Menurut beliau, kaedah tut pokok lemon ini tidak dibuat sendiri sebaliknya dibeli secara online saja. Menariknya tanpa baja, pokok tetap berbuah selepas setahun. (Boleh beli pokok lemon tut di SINI)
Ini antara tip penjagaan pokok lemon yang dikongsi:
– Pokok ini ditanam dalam pasu saja, nisbah media tanah 3 pasir 1.
– Ramai yang tanya baja apa saya guna. Saya tak pakai apa apa baja cuma siram air yang banyak pagi dan petang termasuk air beras seminggu dua atau tiga kali.
– Pangkas juga daun daun pokok lemon supaya pokok berbuah
– Buah yang dihasilkan isinya berair, sedap, tak masam sangat.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Siti Hazel.
Tip Alihkan Pokok Yang Baru Dibeli Ke Pasu Atau Bekas Lebih Besar Supaya Pokok Kekal Subur. Tengok Daunnya Dulu!

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini ramai yang mulakan aktiviti bercucuk tanah di rumah.
Ada yang pilih cara mudah, beli saja anak pokok kemudian tanam di rumah. Bagi yang baru cuba hobi menanam ini kena tahu cara untuk alihkan anak pokok yang dibeli ini. Supaya pokok kekal subur. Bukan boleh terus letak dalam pasu dan kambus dengan tanah ya.
Tip alihkan pokok yang baru beli
Caranya boleh ikut tip yang dikongsi oleh Pyan Sempoy yang kerap berkongsi tip penanaman di media sosial miliknya.
Tip mudah tanam pokok yang baru dibeli, tak kisahlah beli secara online ataupun offline. Atau nak pindahkan pokok ke bekas yang lebih besar.
1. Pastikan pokok dalam keadaan sihat, segar, daun tidak layu dan tidak dalam keadaan baru keluar tunas/pucuk (muda).
2. Kalau beli pokok online, biasanya daun-daun akan ada yang layu. Dalam situasi ini tak boleh terus pindah bekas. Wajib dikuarantin dulu sampai daun-daun kembali fresh. Letak di tempat teduh untuk menghilangkan stres pokok.
3. Kalau dah cukup semua syarat di atas bolehlah tanam. Mula-mula sediakan medium/tanah yang gembur atau poros. Saya guna campuran topsoil, tanah hitam sawit, cocoapeat & sekam bakar.
4. Isi pasu dengan sedikit styrofoam (polisterin) tujuannya supaya akar dapat lebih banyak oksigen, air lebihan siraman mudah mengalir keluar & media terhalang dari keluar ikut lubang pasu. Boleh ganti polisterin dengan batu-batu kecil, pecahan bata, pecahan genting atau lain-lain.
5. Isi sedikit media untuk tutup pecahan styrofoam. Tabur sedikit sahaja baja subur (saya guna Novatec Supreme) dan timbus lagi dengan media sampai separuh penuh pasu. Ikut keadaan saiz media pokok ya, agak-agak sendiri biar ngam dengan pasu.
6. Letak pokok betul-betul di tengah pasu. Kena hati-hati waktu buka polibeg atau cabut keluar dari pasu. Jangan sampai media pecah berterabur atau akar banyak sangat yg putus (sikit-sikit ok).
7. Kambus lagi sampai tertutup semua media asal. Jangan sampai penuh pasu sangat ya, sisakan 2-3 inci.
8. Siram dan letak tempat teduh dulu sampai pokok betul-betul dah stabil, baru boleh ubah letak tempat kena hujan panas. Kali pertama siram selepas letak dalam pasu siram sampai lencun kemudian jangan siram 2-3 hari. Bila media dah kering sangat baru siram macam biasa.
Selamat bercucuk tanam.
Sumber: Pyan Sempoy
Habis Bayar Pinjaman Bank Untuk Kereta Penting Lakukan Perkara Ini, Barulah Jadi Milik Penuh Kita

Lega rasanya bila pinjaman bank untuk kereta atau motorsikal selesai setelah bertahun-tahun terbeban hutang.
Tapi masalahnya ramai yang tidak buat satu perkara penting selepas selesai pinjaman dengan bank. Ramai belum maklum bahawa walaupun selesai pembayaran pinjaman kepada bank, kenderaan yang habis dibayar itu belum milik anda sepenuhnya lagi selagi anda tidak membuat E-Batal.
Apa itu E-Batal dan bagaimana cara untuk menyelesaikannya dikongsi oleh Nadia Izzati.
Perkara Kita Perlu Buat Bila Dah Habis Bayar Pinjaman Kereta atau Motorsikal
Pernahkah anda melihat pada bahagian bawah geran kenderaan anda yang terdapat satu ayat tertera hak milik dituntut oleh syarikat pinjaman kereta di mana anda membuat pinjaman?
Apa itu E Batal
Maksud E-Batal adalah kenderaan tersebut masih menjadi hak milik bank atau pemberi pinjaman kewangan. Jadi, kenderaan tersebut bukanlah hak milik anda sepenuhnya lagi.
Bagi mendapatkan hak anda sebagai pemilik kenderaan terbabit, langkah penting adalah dengan menghapuskan status hak milik dari pemiutang kepada hak milik anda secara mutlak.
Urusan menyelesaikan hak milik dari pemberi pinjaman dipanggil E-Batal. Syarat utama untuk E-Batal adalah anda perlulah sudah habis bayar ansuran pinjaman tersebut. Jika belum, selesaikan hutang-piutang kenderaan terlebih dahulu. Kebebasan bermula apabila sesiapa sahaja berjaya melangsaikan hutang pinjaman keretanya. Benar bukan?
Apa perlu dilakukan
1. Selesai sahaja pembayaran terakhir, anda akan diberikan geran asal oleh syarikat kereta yang anda berurusan. Kemudian, anda perlu hadir ke cawangan JPJ berhampiran untuk mematikan hak milik peminjam.
Jadi, untuk meneruskan prosedur berikut, pastikan pihak pemberi pinjaman telah mengeluarkan surat pelepasan. Namun, lebih baik lagi surat tersebut terus mereka hantarkan kepada JPJ.
2. Prosedur selesaikan E-Batal di JPJ amat mudah sebenarnya. Perkara yang paling penting adalah anda harus menghubungi pihak pemberi pinjaman wang untuk belian kereta.
Pastikan anda bertanya sama ada surat pelepasan sudah dikeluarkan dan telah dihantar ke JPJ ataupun tidak. Jika sudah dihantar, terus ke cawangan JPJ berhampiran tempat tinggal anda.
3. Di cawangan JPJ tersebut, jangan lupa mengecop geran kereta anda mengikut prosedur mereka. Jangan risau, proses mengecop E-Batal bukanlah perkara yang rumit. Selepas geran tersebut telah di cop, kereta tersebut telah menjadi milik anda sepenuhnya. Mudah kan?
Ramai belum tahu
Ramai yang masih belum mengetahui perkara yang perlu dilakukan selepas habis bayar pinjaman kereta. Ada juga sehingga bertahun-tahun masih tidak membatalkan hak milik. Jadi, bagi anda yang masih belum batalkan hak milik kereta, sila tukarkan sekarang untuk memudahkan urusan pada kemudian hari.
Sumber: Nadia Izzati